Destinasi Menarik Di Osaka – JomJapan | Percutian Muslim Ke Jepun
Tempat menarik di Osaka? Tips melancong di Osaka? Kami kongsikan kepada anda destinasi menarik di Kyoto di JomJapan.com !

,

Osaka

INFO DAN SEJARAH

Osaka adalah bandar metropolitan kedua terbesar di Jepun selepas Tokyo. Dengan jumlah penduduk seramai lebih 19 juta orang, Osaka juga dikenali sebagai bandar metropolitan yang terbesar di dunia. Osaka dahulunya dikenali sebagai Naniwa dan telah menjadi kuasa ekonomi wilayah Kansai selama berabad lamanya.

Perkembangan pesat yang berlaku di Jepun menjadikan Osaka semakin dikenali di kalangan pelancong dari seluruh dunia. Terdapat banyak tempat menarik yang boleh anda lawati apabila melancong ke sini dan pastinya anda akan mencipta kenangan yang indah sepanjang berada di sini.

Osaka akan menjadi tuan rumah Expo 2025 yang akan berlangsung selama dua bulan. Ini merupakan kali kedua Osaka menjadi tuan rumah selepas tahun 1970.

TEMPAT MENARIK

  • Universal Studio Japan (USJ)

Sekiranya anda melancong ke sini bersama-sama keluarga, anda perlu mengunjungi taman tema ini. Tahukah anda bahawa USJ merupakan taman tema Universal Studio yang pertama dibina di luar Amerika Syarikat dan ia juga merupakan yang pertama di Asia.

Taman tema ini mula dibuka kepada umum pada bulan Mac 2001 dan merupakan taman hiburan yang paling banyak dilawati oleh pelancong selepas Tokyo Disney Resort. USJ juga merupakan satu-satunya Universal Studios di Asia yang mempunyai tarikan The Warzing World of Harry Potter.

USJ dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 10 pagi sehingga pukul 6 petang. Kami cadangkan anda melihat jadual serta kalendar cuti Jepun untuk merancang perjalanan anda ke sini supaya anda tidak terperangkap dalam kesesakan orang ramai.

Sekarang taman tema ini dibahagikan kepada sembilan bahagian iaitu Hollywood, New York, San Francisco, Jurassic Park, Waterworld, Amity Village, Minion Park, Universal Wonderland dan The Wizarding World of Harry Potter.

Universal Studio Japan
  • Osaka Aquarium Kaiyukan

Akuarium ini terletak di kawasan Teluk Tempozan di kawasan Teluk Osaka dan merupakan salah satu akuarium di Jepun yang paling hebat. Ia memperkenalkan pelbagai bentuk kehidupan yang mendiami Rim Pasifik dengan cara yang teratur dan mengagumkan.

Anda akan memulakan lawatan anda ke akuarium ini di tingkat 8. Sesetengah tangki di sepanjang beberapa tingkat, membolehkan untuk melihat haiwan dari kedalaman dan perspektif yang berbeza.

Kehidupan marin dipamerkan didalam 15 tangki yang berbeza dan masing-masing mewakili rantau tertentu di Lingkaran Pasifik. Tangki pusat ataupun Tangki tengah mewakili Lautan Pasifik juga merupakan tempat Hiu Paus dan menjadi daya tarikan utama disini.

Akuarium ini dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 9 malam. Pada bulan Mei, Oktober dan pertengahan Julai Ogos akuarium ini dibuka pada jam 9.30 pagi. Tiket masuk ke akuarium ini adalah sebanyak 2300 Yen.

Osaka Aquarium Kaiyukan
  • Istana Osaka

Istana Osaka menempatkan muzium bermaklumat mengenai sejarah istana dan Toyotomi Hideyoshi.Menara istana ini dikelilingi oleh gerbang, menara, dinding batu yang mengagumkan dan kerusi.

Taman Nishinomaru yang merangkumi bekas “kubu barat” yang merupakan taman dengan terdapatnya 600 buah poko ceri, bekas rumah tetamu Osaka dan pemandangan yang mempesonakan.

Kawasan Sekeliling Istana ini merangkumi kira-kira dua kilometer persegi dengan terdapat banyak kawasan hijau, kemudahan sukan, arena pelbagai guna (Dewan Osakajo) dan kuil yang didedikasikan untuk Toyotomi Hideyoshi.

Taman ini sangat popular dikalangan pelancong dan penduduk temoatan apabila tibanya musim bunga ceri (Cherry Blossom) yang biasanya akan terjadi pada awal bulan april.

Menara Istana dibuka setiap hari kecuali pada 28 Disember hingga 1 januari dan dibuka mulai jam 9 pagi sehingga 5 petang dan anda akan dikenakan bayaran sebanyak 600 yen. Taman Nishinomaru pula dibuka setiap hari kecuali hari isnin dan juga tahun baru.

Taman ini mula dibuka jam 9 pagi hingga 5 petang dan akan dilanjutkan sehingga jam 9 malam pada musim bunga ceri. Anda akan dikenakan bayaran sebanyak 200 yen untuk memasuki Taman ini.

Istana Osaka
  • Minami (Namba)

Minami yang terletak di sekitar Stesen Namba merupakan salah satu daripada dua pusat bandar utama di Osaka. Ia adalah daerah hiburan paling terkenal di bandar dan menawarkan pilihan makanan dan membeli belah.

Daerah ini mudah untuk anda lawati kerana terdapat tiga saluran kereta api bawah tanah dan terminal bas lebuh raya yang boleh membawa anda kesini. 

Namba
  • Dotonbori

Sekiranya anda ingin menikmati kesibukan dan keindahan waktu malam di Bandar Osaka anda boleh melawati Dotonbori. Dotonbori tidak pernah ditutup kerana terdapatnya restoran yang dibuka 24 jam.

Ia juga merupakan kawasan membeli belah dan hiburan yang terkenal dan juga terkenal dengan destinasi makan. Pada waktu malam, kawasan ini akan dilimpahi oleh beratus-ratus lampu neon yang menambahkan lagi daya tarikan kawasan ini.

Dotonbori
  • Arkib Membeli belah Shinsaibashi

Di sini merupakan pusat membeli belah utama di Bandar Osaka. Arkib ini panjangnya lebih kurang 600 meter  dan terdapat beraatus-ratus kedai yang boleh anda kunjungi untuk membeli belah.

Kawasan ini unik berbeza dengan tempat lain kerana ia menggabungkan rangkaian kedai runcit, dan butik terkenl dengan gedung membeli belah dan label fesyen terkenal. Kedai-kedai di sekitar ini di buka sekitar jam 10 pagi hingga 9 malam.

Shinsaibashi
  •  Taman Namba

Taman Namba direka dan dibina untuk menjadi pemecah alam semula jadi di tengah-tengah landskap bandar yang luas. Ia mepunyai 120 penyewa, pawagam dan di atas bumbung terdapatnya sebuah taman.

Pelbagai restoran termasuk restoran Korea, Itali dan Vietnam. Oleh kerana terdapat banyak kedai berlainan, waktu operasinya juga berlainan. Akan tetapi majoriti kedai-kedai disini di buka pada jam 11 pagi sehingga 11 malam.

Taman Namba
  •   Taman Minoo

Taman Minoo merupakan lembah berhutan terletak di pinggir Osaka di utara bandar. Taman ini adalah salah satu tempat terbaik di wilayah kansai sewaktu musim luruh untuk menikmati pemaandangan musin luruh dalam suasana semula jadi. Warna dedaun luruh ini terbaik untuk dilihat sewaktu pertengaahan bulan November.

Dari pusat bandar Umeda anda akan mengambil masa selama 30 minit sebelum sampai ke taman ini. Terdapat sepanjang 3 kilometer laluan mendaki di taman ini yang anda akan susuri sepanjang Sungai Minoo.

Laluan pendakian bermula berhampiran stesen Hankyu Minoo terus menuju ke Air Terjun Minoo. Dengan ketinggian 33 meter, air terjun ini merupakan salh satu daya tarikan utama di taman ini. Perjalanan melalui laluan pendakian ini tidak terlalu mencabar dan anda akan mengambil masa selama kira-kira 45 minit berjalan kaki untuk sampai ke akhir.

Anda akan melalui beberapa kedai, gudang dan kuil pada separuh perjalanan anda dan anda akan menempuh lalauan yang sedikit sukar, curam dan di kelilingi oleh pokok pada separuh lagi perjalanan anda.  

Semasa musim luruh, kedai-kedai di sepanjang jalan akan menjual makanan ringan yang dipanggil momiji tempura yang merupakan daun maple yang digoreng dalam adunan. Anda boleh melawati taman ini bila-bila masa kerana taman ini dibuka 24 jam dan tidak dikenakan bayaran masuk.

Taman Minoo
  •      Muzium Seni Nasional Osaka

Muzium ini mempunyai dua bangunan bawah tanah di pulau Nakanoshima di Tengah Osaka. Muzium ini menekankan kepada seni kontemporari Jepun dan luar negaradengan pameran dari koleksi muzium dan pameran khas.

Muzium ini dibuka kepada umum pada tahun 2007 dan direka untuk mewakili pembesaran dan bentuk buluh. Kemudahan ini dahulunya ditempatkan di Muzium Seni Halu Ekspo yang dibina untuk Ekspo Osaka pada tahun 1970. Muzium ini dibuka bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang dan akan ditutup setiap hari isnin. Kadar bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Muzium sebanyak 430 Yen.

Muzium Seni Nasional Osaka

AKSES

  •   Kereta api laju (Shinkansen)

Stesen Tokyo (Tokyo dan Shinagawa) dan Osaka (Stesen Shin-Osaka) disambungkan oleh JR Tokaido Shinkansen. Kereta api Nozomi memerlukan kira-kira 155 minit untuk sampai ke Stesen Shin-Osaka dari Tokyo manakala kereta api Hikari kira-kira tiga jam perjalanan dan kereta api Kodama mengambil masa kira-kira empat jam.

Tiket satu arah biasa adalah 13,620 yen sekiranya anda tidak menempah  tempat duduk anda di mana-mana kereta api, manakala 14,200 yen sekiranya anda menempah tempat duduk anda  di kereta api Hikari atau Kereta api Kodama. Manakala bayaran sekitar 14,500 yen untuk tempat duduk yang ditempah di kereta api Nozomi.

Kos 7 hari Pas Kereta Api Jepun kira-kira sama dengan tiket perjalanan biasa. Laluan Kereta Api Jepun adalah sah di gunakan untuk kereta api Hikari dan Kodama, tetapi tidak di kereta api Nozomi.

Dengan “Rancangan Ekonomi Puratto Kodama”, anda boleh memulakan perjalanan antara Tokyo dan Osaka dengan kerusi yang tempah awal dengan kereta api Kodama dengan hanya 10,500 yen, tetapi anda perlu membeli rancangan ini sekurang-kurangnya satu hari lebih awal dari agensi-agensi perjalanan JR Tokai.

Shinkansen
  • Bas ekspres

Perjalanan sehala menaiki bus lebuh raya daripada Tokyo ke Osaka akan mengambil masa selama 8 jam perjalanan. Anda jangan risau, bas lebuh raya ini sentiasa ada pada waktu siang atau malam.

Ekspres Willer merupakan bas yang biasanya menawarkan diskaun dan harga dikenakan bermula daripada 3500 yen. Manakala untuk bas premium harga yang dikenakan boleh menceccah sehingga 10,000 yen.

Bas Ekspres
  • Penerbangan

Pelbagai syarikat penerbangan beroperasi di antara Tokyo dan Osaka dan sebahagian besar penerbangan menggunakan Lapangan Terbang Haneda Tokyo dan Lapangan Terbang Itami di Osaka. Hanya sebahagian kecil penerbangan menggunakan Lapangan Terbang Narita Tokyo dan Lapangan Terbang Kansai Osaka.

Tambang sehala dengan penerbangan konvensional adalah kira-kira 23,000 yen. Anda akan mendapat sekitar 4000 yen diskaun melalui penerbangan terpilih tetapi kebanyakannya menggunakan Lapangan Terbang Narita dan Lapangan Terbang Kansai yang kurang berpusat dan tempoh penerbangan adalah selama 1 jam.

Lapangan Terbang Narita
  • Kereta Api Tempatan

Anda akan menempuh perjalanan dari Tokyo ke Osaka selama sembilan sehingga sepuluh jam sekiranya anda menaiki kereta api tempatan. Kebiasaanya ia akan melibatkan kira-kira empat pemindahan kereta api sebelum anda sampai ke destinasi. Tambang kereta api tempatan biasanya sekitar 2370 yen sehingga 8750 yen mengikut bajet yang anda peruntukkan.

Kereta Api Tempatan

MAKANAN HALAL

Pelancong yang beragama islam tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan halal disini kerana terdapat beberapa kedai makan yang menarik serta halal dapat dinikmati oleh pelancong.

  • Ayam Ya Namba

Restoran ini terletak berhampiran dengan tempat membeli-belah dan menyajikan ramen yang penuh berperisa dengan sup yang berasakan kacang soya. Sekiranya anda sampai kesini, anda harus mencuba sup mereka dan masukkan telur dan sos pedas. Anda pasti tidak akan melupakan keenakan sajian ini.

Restoran ini juga menyajikan ramen kering. Campurkan semua bahan, mi dan sos sebelum anda makan ramen kering ini. Anda pasti akan teringat makanan enak ini selepas pulang bercuti. Harga sajian ini bermula daripada serendah 680 yen satu hidangan.

Ayam Ya Namba
  • Matsuri

Sekiranya anda datang ke Jepun rugi sekiranya anda tidak mencuba makanan terkenal di sana iaitu takoyaki. Matsuri yang bermaksud perayaan dalam bahasa Jepun dan menyajikan makanan Jepun yang terkenal seperti takoyaki, okonomiyaki dan ramen.

Di restoran ini anda boleh membuat takoyaki anda sendiri dan anda pasti mencipta kenangan yang indah disini. Selain itu, restoran ini juga menyajikan ramen vegetarian yang tidak berasakan produk haiwan. Harga sajian diantara 680 yen sehingga 4000 yen.

Matsuri
  • The U-Don

The U-Don terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai dan restoran ini menyajikan sanuki udon, yang merupakan sejenis mi tepung gandum yang tebal dari rantau Shikoku. Di sini ia mengamalkan konsep layan diri.

Pertama sekali anda perlu ambil dulang dan pilih jenis hidangan udon yang anda suka. Seterusnya, teruskan ke bahagian makanan yang hangat di mana anda boleh memilih pilihan anda seperti bola ikan, lobak rebus dan pelbagai tempura. Bayaran untuk hidangan disini sekitar 450 yen sehingga 760 yen.

Udon
  • Bulls

Sekiranya anda seorang penggemar daging, anda wajib sehingga di Bulls untuk shabu-shabu halal, steak dan sukiyaki. Bagi pelancong muslim, anda tidak perlu risau kerana mereka menggunakan dapur dan peralatan memasak yang berbeza khusus untuk makanan halal. Mereka juga menyimpan daging secara berasingan.

Untuk harga sajian, 1500 yen dikena untuk makanan tengah hari (Set Tengah Hari Sukiyaki). Manakala untuk makan malam anda akan dikenakan 5000 yen ( Sukiyaki dan shabu-shabu) dan 3500 yen (Sukiyaki dan Shabu-Shabu untuk satu orang) dan 3500 yen untuk set stek.

Bulls

TEMPAT SOLAT

Tempat solat juga menjadi keutamaan bagi pelancong muslim apabila melancong ke luar negara. Di Osaka terdapat beberapa tempat yang menyediakan ruangan solat yang menjadi kemudahan kepada pelancong muslim.

Di dalam bandar Namba juga disediakan ruangan untuk solat bagi pengunjung-pengunjung yang beragama Islam. Terletak di tingkat B1 dan pengunjung yang ingin menggunakannya perlu mengisi borang di pusat khidmat pelanggan di tingkat yang sama.

Di Stesen Osaka terdapat ruangan solat yang disediakan untuk kemudahan pengunjung-pengunjung terutamanya yang beragama Islam. Terletak di tingkat satu South Gate Plaza dan sama seperti di Namba City, penggunjung yang ingin menggunakan kemudahan ini perlu mengisi borang di pusat khidmat pelanggan terlebih dahulu.

Satu ruangan solat telah disediakan di Pusat Informasi Pelancong Kansai yang terletak di tingkat 3 pusat membeli-belah Tommy Hilfiger Shinsaibashi. Ianya terletak di dalam Shinsaibashisuji Shopping Arcade yang mana terdapat pelbagai kedai dan restoran dan antara tempat tumpuan pelancong dalam dan luar Jepun.

Bilik Solat

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e4006.html
  2. https://www.halaltrip.com/other/blog/best-places-to-visit-osaka/
  3. https://japanbudgettrip.com.my/tempat-solat-sekitar-osaka-dan-kyoto/
  4. https://www.havehalalwilltravel.com/blog/best-halal-japanese-osaka/
  5. https://tokyocheapo.com/travel/transport/tokyo-to-osaka-fast-cheap/
  6. https://en.wikipedia.org/wiki/Osaka
  7. https://wikitravel.org/en/Osaka
, ,

Hiroshima

INFO DAN SEJARAH

Peristiwa pada tarikh 6 Ogos 1945 telah menjadikan Hiroshima bandar pertama yang musnah akibat bom atom. Jika anda berpeluang untuk melancong ke Jepun, kami sarankan anda berkunjung ke Bandar Hiroshima. Anda pasti akan lebih termotivasi untuk memelihara keamanan yang dikecapi kini setelah melihat kesan Perang Dunia ke-2 yang amat dahsyat di Hiroshima.

Hiroshima merupakan ibu kota Wilayah Hiroshima yang terletak di bahagian barat daya kepulauan Jepun. Ia adalah pulau yang terbesar di Negara Jepun, sesuai dengan namanya “Hiroshima” (Pulau yang Luas). Hampir keseluruhan bandar ini musnah gara-gara bom atom yang dijatuhkan oleh pasukan tentera udara Amerika Syarikat pada penghujung Perang Dunia ke-2.

Namun, dengan perancangan yang teliti dan keazaman rakyatnya yang jitu, Hiroshima bangkit semula sebagai Bandar Keamanan dalam tempoh masa yang singkat. Anda juga tidak perlu bimbang akan kesan radiasi di kawasan ini kerana bacaan radiasinya telah kembali ke paras normal.

APA YANG MENARIK

Tarikan utama Bandar Hiroshima semestinya Taman Memorial Keamanan Hiroshima (Hiroshima Peace Memorial Park). Kawasan yang pernah sibuk satu ketika dahulu, terletak di tengah-tengah pusat ledakan dan telah musnah akibat letupan bom atom. Taman ini dibina sempena memperingati mangsa-mangsa yang telah terkorban serta menjadi simbolik kepada keperluan untuk mengekalkan keamanan. Di sekitar taman ini juga terdapat banyak monumen penting, tugu peringatan, dan muzium yang berkaitan dengan peristiwa hitam itu.

Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Kubah Bom Atom, Loceng Keamanan (Peace Bell), Tugu Keamanan Kanak-Kanak, Api Keamanan (Flame of Peace), Muzium Memorial Keamanan Hiroshima, Dewan Nasional Memorial Keamanan Hiroshima, dan Pintu Gerbang Keamanan (Gates of Peace). Anda hanya perlu berjalan kaki untuk melawat tempat-tempat yang menarik ini kerana lokasinya adalah berdekatan antara satu sama lain.

 Taman Memorial Keamanan Hiroshima  
Loceng Keamanan
Api Keamanan

Anda boleh menyelami peristiwa pengeboman Hiroshima dengan lebih mendalam apabila mengunjungi Muzium Memorial Keamanan Hiroshima. Terdapat juga pameran barang-barang peribadi milik mangsa pengeboman yang sangat meruntun hati. Antaranya adalah jam tangan yang waktunya terhenti tepat waktu 8.15 pagi, waktu bom atom jatuh ke bumi Hiroshima. Yuran masuk adalah sebanyak 200yen.

Namun ketika ini bangunan utama ditutup sementara waktu untuk proses penyelenggaraan. Akan dibuka semula pada musim bunga tahun 2019. Tetapi jangan risau, anda masih boleh mempelajari serba sedikit sejarah pengeboman Hiroshima serta melihat barang-barang tinggalan ketika pengeboman di bangunan sebelah timur. Selain muzium, anda juga boleh berkunjung ke Dewan Nasional Memorial Keamanan Hiroshima. Masuk adalah percuma. Tempat ini dibina sebagai tanda memperingati mangsa yang terlibat dengan pengeboman di Hiroshima dan juga Nagasaki.

Muzium Memorial Keamanan Hiroshima

Anda juga boleh melihat serpihan bangunan Muzium Produksi Hiroshima yang hampir musnah dalam letupan bom atom yang telah berlaku. Bangunan tersebut telah dibaik pulih dan kini dikenali sebagai Kubah Bom Atom. Ia juga termasuk dalam senarai Tapak Warisan UNESCO. Tujuan bangunan tersebut dibaik pulih dan dipelihara adalah sebagai tanda memperingati peristiwa yang telah berlaku.

Terdapat juga Api Keamanan yang tidak pernah padam sejak ia dinyalakan pada bulan Ogos tahun 1964. Ia menjadi simbolik anti nuklear. Api ini hanya akan dipadamkan apabila dunia bebas daripada ancaman nuklear. Jangan lupa untuk melihat monumen-monumen yang ada di sekitar Taman Memorial ini. Setiap monumen mempunyai kisah tersendiri yang sangat menyayat hati.

Kubah Bom Atom

Setelah penat menyelami kisah tragis pengeboman Hiroshima, anda boleh bawa anak-anak ke Muzium Kanak-Kanak Hiroshima. Masuk adalah percuma namun bayaran masuk ke planetarium dikenakan terhadap orang dewasa. Di sini kanak-kanak dapat bermain sambil belajar tentang sains disamping dapat melihat penguin dan pelbagai hidupan laut yang lain. Anda juga boleh ke Muzium Kesenian Hiroshima yang terletak tidak jauh (5minit jalan kaki) dari Muzium Kanak-Kanak.

Muzium ini mempamerkan Lukisan Moden Eropah serta Lukisan Minyak Jepun (Japanese Oil Painting). Bayaran masuk ke muzium ini adalah sebanyak 1300yen. Selain itu, anda juga boleh menikmati keindahan Istana Hiroshima yang terletak di kawasan berhampiran. Istana ini telah dibina semula selepas hancur dalam serangan bom atom.

Anda boleh mempelajari serba sedikit budaya samurai di istana ini. Taman Shukkei (Shukkei-En) juga antara tempat wajib yang harus anda lawat. Landskap taman ini sangat unik kerana mempunyai unsur gabungan alam semulajadi seperti lembah, gunung, dan hutan. Bayaran masuk hanyalah sebanyak 260yen. Anda dapat merasai upacara minum teh orang Jepun yang agak unik dan kompleks di sini.

 Muzium Kanak-Kanak Hiroshima
 Taman Shukkei 

Bagi peminat kereta, anda bolehlah berkunjung ke Muzium Mazda. Di sini, anda dapat melihat semua model keluaran Mazda. Anda juga dapat mengetahui teknologi yang digunakan oleh Mazda dalam penghasilan keretanya. Masuk adalah percuma namun diingatkan anda haruslah menempah terlebih dahulu sesi lawatan ke muzium tersebut. Tempahan boleh dibuat melalui telefon ataupun e-mel. Selain itu, anda juga boleh jalan-jalan di “Hondori Street” yang agak popular dalam kalangan pelancong. Laluan ini dibuka hanya untuk pejalan kaki sahaja dan terdapat kedai serta restoran di kiri dan kanan jalan.

Muzium Mazda

AKSES

Anda boleh menaiki kenderaan awam untuk ke Bandar Hiroshima. Jika anda dari Tokyo, cara yang paling murah dan mudah adalah menaiki bas. Namun, anda harus bersabar kerana perjalanan mengambil masa hampir 12jam. Jika anda inginkan tempoh perjalanan yang singkat, anda boleh cuba menaiki keretapi laju (shinkansen) ataupun menaiki kapal terbang.

Tiket kapal terbang kebiasaannya dua kali ganda mahal berbanding tiket keretapi laju. Namun, anda boleh membeli tiket dengan separuh harga ketika promosi berlangsung. Rajin-rajinlah membandingkan harga tiket dari masa ke semasa.

  1. Bas Ekspres (Chukoku JR Bus-New Breeze Gou-Hiroshima BC Line): Bertolak dari Stesen Bas Tokyo Eki Mae (Platform Yaesu South Exit 5), tiba di pintu masuk Stesen Shinkansen Hiroshima. Perjalanan selama 11jam 52minit. Tambang adalah sebanyak 11900yen.
  2. Shinkansen (JR Shinkansen Nozomi no47-Hakata Line): Bertolak dari Stesen Tokyo (Line16), tiba di Stesen Hiroshima (Line11). Perjalanan selama 3jam 53minit. Tambang adalah sebanyak 18040yen.
  3. Kapal terbang: Bertolak dari Lapangan Terbang Haneda, tiba di Lapangan Terbang Hiroshima. Perjalanan selama 1jam 30minit. Tambang adalah sebanyak 34890yen.
Shinkansen
Lapangan Terbang Hiroshima

Jika anda dari Osaka, pilihan yang terbaik adalah menaiki bas ekspres ataupun keretapi laju. Pilihan di tangan anda, murah ataupun perjalanan singkat.

  1. Bas Ekspres (USJ-Osaka-Hiroshima): Bertolak dari Stesen Bas Osaka Eki Mae, tiba di pintu masuk Stesen Shinkansen Hiroshima. Perjalanan selama 5jam 43minit. Tambang adalah sebanyak 5000yen.
  2. Shinkansen (JR Tokai Route-Sanyo Main Line -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak dari Stesen Osaka, transit di Shin-Osaka, tiba di Stesen Hiroshima. Perjalanan selama 1jam 54minit. Tambang adalah sebanyak 9710yen.

Jika anda dari Kyoto, kami sarankan anda menaiki keretapi laju. Anda akan bertolak dari Stesen Kyoto dan tiba di Stesen Hiroshima dengan menaiki JR Shinkansen Nozomi. Tambang adalah sebanyak 10570yen. Tempoh perjalanan adalah selama 2jam.

MAKANAN HALAL

Jika anda berkunjung ke Bandar Hiroshima, anda boleh akses ke kedai makanan halal dengan mudah. Terdapat lebih kurang tujuh buah restoran yang menyediakan makanan halal di sini. Antaranya adalah Restoran Racoolto, Restoran Namaste, Restoran Curry Elephant, Restoran Kanak, Restoran Mr. Istanbul, dan Restoran Warung Matahari. Anda boleh rujuk laman sesawang Halal Navi untuk maklumat lebih lanjut.

Restoran Warung Matahari

TEMPAT SOLAT

Anda boleh solat di surau berdekatan dengan Hospital Universiti Hiroshima. Selain itu, restoran halal seperti Restoran Kanak juga menyediakan ruang solat. Rancang perjalanan anda dengan betul agar anda dapat menunaikan kewajipan lima waktu dengan selesa. Anda boleh rujuk aplikasi Japan Masjid Finder untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://www.halalinjapan.com/
  2. http://www.masjid-finder.jp/
  3. https://www.google.com.my/maps/
  4. https://www.pref.hiroshima.lg.jp/uploaded/attachment/188742.pdf
  5. http://visithiroshima.net/
  6. https://www.japan-guide.com/
  7. https://en.wikipedia.org/wiki/Hiroshima
  8. http://www.planetware.com/tourist-attractions-/hiroshima-jpn-cg-hiro.htm

,

Universal Studio Japan (USJ)

INFO DAN SEJARAH

Universal Studio Japan (USJ) merupakan taman tema yang wajib dikunjungi jika anda ke Osaka. USJ yang mula dibuka pada tahun 2001 ini berada di tangga ke-4 dalam senarai TOP 25 THEMES PARK WORLDWIDE 2016.

Kami akan kongsikan sedikit panduan untuk anda merancang trip anda ke sini. Antara yang paling penting adalah datang seawal mungkin. Seeloknya datang sebelum USJ dibuka. Kebiasaannya USJ akan beroperasi dari jam 9pagi hingga 7petang. Anda boleh rujuk waktu operasi terkini di laman web rasmi USJ. Selain itu, penting untuk merancang tarikh anda ke sana.

Tarikh yang terbaik adalah pada hari biasa dan bukan pada musim cuti. Oleh kerana tempat ini selalu sesak, anda pasti akan beratur panjang di kaunter pembelian tiket. Untuk mengelak hal ini daripada berlaku, anda boleh membeli tiket terlebih dahulu secara atas talian. Anda boleh menyemak agensi yang menjual tiket di laman web rasmi USJ. Berwaspadalah ketika membeli tiket kerana tiket yang dijual oleh agensi selain daripada agensi yang berdaftar dengan USJ adalah tidak sah.

Anda boleh memilih tiket Universal Express Pass untuk mengelak beratur panjang di tempat yang menjadi tarikan utama. Jika anda membeli tiket pass biasa, anda perlu datang seawal mungkin dan beratur terlebih dahulu di tempat yang menjadi tarikan utama untuk memaksimakan keseronokan anda di USJ. Pastikan anda telah merancang dan menyusun perjalanan anda sepanjang berada di dalam USJ. Selain itu, bawa bersama peta lokasi USJ agar anda tidak sesat dan membuang masa. Untuk pengetahuan anda, ada sesetengah tempat menyediakan Single Rider Lines. Anda disarankan untuk beratur di barisan ini kerana barisannya selalu tidak panjang.

Untuk makluman anda, USJ merupakan kawasan beli-belah bebas cukai. Jadi, simpan segala resit pembelian anda dan tuntutlah di kaunter yang disediakan. Selain itu, pastikan anda memenuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di sini. Anda tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Anda boleh nikmati makanan yang anda bawa di kawasan berkelah yang telah disediakan di luar pintu utama USJ. Bagi perokok pula, pastikan anda merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja. Selain itu, anda juga dilarang memberi makan kepada burung-burung yang bebas berterbangan di dalam kawasan USJ. Marilah sama-sama menjaga nama baik negara walaupun ketika sedang melancong.

APA YANG MENARIK

Tarikan di USJ boleh dibahagikan kepada 5 kategori iaitu The Wizarding World of Harry Potter, Universal Wonderland, Ride Attraction, Show Attraction, dan Stage and Street Show.

1. The Wizarding World of Harry Potter

Antara yang menarik di sini adalah Harry Potter and the Forbidden Journey. Di sini anda akan dibawa menjelajah dunia Harry Potter menggunakan teknologi 4K3D. Anda pasti akan terpegun dengan kecanggihan teknologi yang digunakan kerana anda akan merasa dunia fantasi itu seakan nyata. Ia telah memenangi anugerah tarikan terbaik di dunia selama 5 tahun berturut-turut. Jika kunjungan anda adalah pada waktu puncak, anda pasti akan memerlukan Timed Entry Ticket. Selain itu, banyak lagi tempat yang menarik seperti Flight of the Hippogriff, Wand Magic, dan Three Broomsticks.

The Wizarding World of Harry Potter

2. Universal Wonderland

Di sini anda akan terhibur dengan pelbagai jenis tarikan yang bertemakan karakter kartun popular Snoopy, Hello Kitty, dan Sesame Street. Anda boleh menaiki The Flying Snoopy jika ingin merasa terbang di awangan. Bagi peminat Hello Kitty pula, jangan lepaskan peluang melihat koleksi rekaan terbaru Hello Kitty di Hello Kitty’s Ribbon Collection. Anda juga boleh mencuba Moppy’s Balloon Trip untuk menikmati pemandangan sekeliling dengan menaiki belon udara yang disediakan. Ada lebih daripada 20 tempat menarik yang boleh diterokai di Universal Wonderland ini. Jangan lupa untuk menggunakan sistem Yoyakunori (tempah dan naik). Melalui sistem ini, anda boleh berseronok sambil menunggu giliran.Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk laman web rasmi USJ.

Sesame Street

3. Ride Attraction

Terdapat 8 jenis Ride Attraction yang anda boleh naiki. Tarikan yang terbaru adalah Despicable Me Minion Mayhem. Selain itu terdapat The Amazing Adventures of Spider Man yang merupakan pemegang rekod tarikan terbaik di dunia selama 7 tahun berturut-turut. Ia juga turut menggunakan teknologi 4K3D yang mampu membuatkan pengunjung keliru antara realiti dan fantasi. Anda juga boleh terbang bebas di ruangan angkasa ditemani kerlipan bintang-bintang apabila menaiki Space Fantacy. Terdapat juga Hollywood Dream, The Flying Dinasour, Jurassic Park, dan JAWS yang akan membuat jantung anda berdegup kencang. Jangan lupa beratur di Single Rider Lines untuk menjimatkan masa.

Despicable Me Minion Mayhem
The Amazing Adventures of Spider Man 

4. Show Attraction

Anda boleh menonton wayang 3D dan 4D di bahagian Show Attraction. Terdapat 6 jenis tayangan di sini iaitu Terminator 2:3-D, WaterWorld, Backdraft, Universal Monsters Live Rock and Roll Show, Shrek’s 4D Adventure, dan Sesame Street 4D Movie Magic. Kami sarankan anda menonton tayangan Terminator yang mengisahkan pertembungan antara manusia dan cyborg. Tayangan ini amat digemari ramai. Pemegang Pass Ekspres bertuah kerana tidak perlu beratur panjang untuk menonton tayangan ini. Selain itu, Backdraft juga antara yang digemari ramai. Backdraft mengisahkan tentang kebakaran yang berlaku di depan mata. Anda akan merasa seolah-olah sedang terbakar.

WaterWorld
Backdraft

5. Stage Shows and Street Shows

USJ juga turut diserikan dengan persembahan pentas dan juga persembahan jalanan. Antara persembahan yang ada adalah Minion Hacha Mecha Greeting, R&B The Voice, dan Sesame Street Ultimate Dance.

AKSES

Sekiranya anda ingin ke USJ dari Stesen Osaka, pilihan yang terbaik adalah dengan menaiki keretapi.

  1. Keretapi (JR Osaka Loop Line -> JR Yumesaki Line): Bertolak dari Stesen Osaka, transit di Stesen Nishikujo, tiba di Stesen Universal Studio.  Perjalanan ini adalah yang paling pendek iaitu selama 27minit sahaja. Tambang adalah sebanyak 180yen. Anda hanya perlu berjalan kaki lebih kurang dua minit untuk sampai ke USJ.

Jika anda bertolak dari Lapangan Terbang Kansai (KIX), cara yang paling mudah adalah juga menaiki keretapi.

  1. Keretapi (JR Kansai Air Rapid -> JR Yumesaki Line): Bertolak dari Stesen Keretapi Lapangan Terbang Kansai, transit di Stesen Nishikujo, tiba di Stesen Universal Studio. Perjalanan mengambil masa sejam 27minit. Tambang adalah sebanyak 1190yen.

Bagi yang ingin bertolak dari Shin Osaka pula, anda perlu menaiki keretapi JR Tokkaido-Sanyo Main Line menuju ke Stesen Osaka. Perjalanan hanya mengambil masa selama 9minit dan kosnya hanyalah sebanyak 160yen. Pengunjung yang bertolak dari Kyoto juga boleh menaiki keretapi dari Stesen Kyoto menuju ke Stesen Osaka yang mengambil masa selama 37minit dan kos sebanyak 560yen.Seterusnya boleh rujuk perjalanan dari Stesen Osaka ke USJ yang dinyatakan sebelum ini.

Kereta Api

Jika anda dari Tokyo, kami sarankan anda menaiki keretapi laju.

  1. Keretapi laju (Keikyu Kukou Kaitoku Line -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak daripada Terminal Lapangan Terbang Domestik Haneda (Tokyo Ekspres), transit di Stesen Shinagawa, tiba di Shin Osaka. Perjalanan selama 3jam 18minit ini berkos 14027yen.
  2. Keretapi laju (JR Limited Narita Express -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak daripada Stesen Keretapi Lapangan Terbang Narita, transit di Stesen Tokyo, tiba di Shin Osaka. Perjalanan selama 4jam 25minit ini berkos 15980yen.
Shinkansen

MAKANAN HALAL

Anda mungkin tidak akan menjumpai kedai makanan halal di dalam USJ. Anda juga tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Jadi, kami menasihatkan anda untuk mengalas perut sebelum masuk ke USJ. Minuman seperti air mineral dan jus boleh dibeli di dalam USJ jika anda dahaga. Selepas anda keletihan berseronok di dalam USJ, anda boleh menjamu selera di Restoran Red Lobster yang terletak berhampiran dengan USJ (5minit berjalan kaki). Restoran ini menyediakan hidangan halal.

Restoran Red Lobster

TEMPAT SOLAT

USJ tidak menyediakan ruangan solat khas untuk muslim. Namun, anda boleh meminta ruang untuk solat di kaunter perkhidmatan tetamu. Ruang yang diberikan selalunya tidak ada bilik air, jadi kami sarankan anda mengambil wudhu di tandas terlebih dahulu.

Selain itu, untuk pengunjung yang mahukan kelainan, anda boleh sahaja solat secara terbuka di kawasan perkelahan yang disediakan di luar pintu utama USJ. Hanya perlu pastikan kawasan tersebut bersih dan tidak menggangu laluan pengguna lain.

RUJUKAN

  1. http://www.usj.co.jp/
  2. http://www.travelcaffeine.com/universal-studios-japan-tips/
  3. http://www.teaconnect.org/images/files/TEA_235_103719_170601.pdf
  4. https://www.halal-navi.com/