,

Furano

INFO DAN SEJARAH

Furano merupakan sebuah Bandar di Wilayah Hokkaido yang tekenal dengan landskap luar bandar yang sangat indah. Taman lavender seperti Ladang Tomita dan juga pemandangan Gunung Tokachi yang menakjubkan menjadikan bandar ini sebagai salah satu destinasi pilihan pelancong. Selain bunga poppy, teratai, dan bunga matahari juga terdapat di kawasan Nakafurano.

Furano Ropeway yang merupakan resort gondola menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari lembah dan dibuka sepanjang tahun. Ekonomi di bandar Furano bergantung kepada industri perlancongan. Hal ini kerana bandar ini banyak menerima pelancong untuk melawati ladang lavender dan juga resort ski serta penanaman anggur yang diuruskan secara perbandaran.

Selain itu, Furano juga terkenal dengan produk tenusu seperti susu dan keju dan produk Furan Delice yang merupakan produk terkenal di sini. Masa yang terbaik untuk anda berkunjung ke sini adalah pada bulan Julai iaitu apabila bunga lavender sedang berkembang cantik. Di samping itu, bandar ini juga menjadi pusat peranginan ski untuk melakukan aktiviti ski menuruni bukit.

TEMPAT MENARIK

Anda pasti tidak akan menyesal sekiranya anda bercuti ke sini kerana terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati.

  • Taman Bunga Furano

Pemandangan taman lavender yang begitu mengasyikkan membuatkan pelancong terus menerus berkunjung ke sini terutamanya pada musim panas. Lavender telah ditanam di Hokkaido selama lebih dari setengah abad dan bunga ini kebiasaanya akan mula berkembang pada akhir bulan Jun dan mencapai kemuncaknya dari sekitar pertengahan bulan Julai hingga awal bulan Ogos.

Selain Lavender, terdapat juga bunga lain seperti bunga poppy, bunga matahari dan teratai yang membuatkan Furano menjadi destinasi menarik walaupun diluar musim lavender. Bulan terbaik untuk melihat kecantikan bunga disini ialah antara bulan Jun dan September. 

Di wilayah ini terdapat banyak taman bunga yang tersedia untuk kunjungan pelancong tetapi tempat terbaik untuk anda melihat lavender ialah Ladang Tomita dimana tumbuhnya bunga lavender yang cantik dengan Pergunungan Tokachi yang menakjubkan sebagai latar belakang.

Tiada bayaran masuk dikenakan untuk ladang bunga di sini. Selain itu di sini juga disediakan kafe dan pelbagai produk yang berkaitan lavender. Ladang ini akan menjadi sibuk dan menerima kunjungan pelancong yang ramai sewaktu kemuncuk musim bunga serta lavender.

Ladang Tomita yang kedua dibuka pada tahun 2008 dan dikenali sebagai Lavender east. Lavender East terletak kira-kira empat kilometer di sebelah timur Ladang Tomito dan merupakan ladang lavender yang terluas di Furano yang merangkumi keluasan 14 hektar. Sekiranya anda berkunjung ke sini, anda berpeluang merasai perjalanan “Lavender Bus” iaitu anda akan dibawa menaiki bas selama 15 minit menyusuri ladang lavender yang mekar berkembang.

Selain itu, Kamifurano Bunga Tanah juga merupakan ladang lavender dan juga bunga-bunga yang lain. Kedudukannya yang unik di lereng bukit akan memberikan pemandangan yang indah dari kawasan gunung Tokachi ditambah dengan kecantikan bunga yang semulajadi.

Seandainya anda melawati ladang ini, anda akan merasai pengalaman menyusuri ladang bunga dengan traktor dan anda dapat merasai peluang memetik bunga lavender dengan tangan anda sendiri.

Ladang Tomita sentiasa dibuka kepada pelancong bermula jam 8.30 pagi sehingga pukul 5 petang dan tiada bayaran dikenakan. Untuk Lavender East, ladang ini hanya dibuka pada bulan Julai dari jam 9 pagi sehingga 4.30 petang dan akan ditutup padan bulan Ogos sehingga Jun. Bayaran sebanyak 200 yen dikenakan sekiranya anda menaiki bas untuk menyusuri ladang lavender.

Kamifurano Bunga Tanah pula akan ditutup kepada orang ramai pada penghujung bulan Disember sehingga pertengahan bulan Januari dan tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke ladang ini. Waktu operasi di ladang ini berbeza-beza mengikuti bulan dan pastikan anda memeriksa waktu operasi ladang ini sebelum melawatinya.

Ladang Tomita
Bunga Poppy
  • Biei

Merupakan sebuah Bandar kecil yang dikelilingi oleh bukit dan ladang yang luas sebagai landskap yang menakjubkan. Berbasikal ataupun memandu menyusuri bukit-bukit dan ladang-ladang bunga adalah salah satu cara yang anda boleh lakukan untuk menikmati pemandangan semulajadi di sini. Kawasan barat laut bandar ini dikenali sebagai “ Jalan Patchwork” manakala kawasan selatan Bandar ini dikenali sebagai “Jalan Panorama”.

Jalan Patchwork adalah kawasan yang indah di barat laut Bandar Biei dan dinamakan sempena ladang yang dapat dilihat dari atas jalan. Jalan ini mempamerkan landskap luar bandar yang indah sepanjang tahun.

Selain itu, Bukit Pemerhati Hokusei juga merupakan salah satu tarikan di sini. Bukit yang mempunyai struktur piramid ini memberikan pemandangan indah ladang Biei dan juga Bukit Zerebu yang merupakan sebuah taman bunga yang boleh anda lawati dengan hanya berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Bukit Zerebu sentiasa dibuka kepada umum dan tiada bayaran masuk dikenakan dan mula dibuka pada jam 9 pagi sehingga pukul 5 petang.

Jalan Panorama juga menawarkan keindahan luar biasa dan cara yang paling menarik untuk anda menikmati pemandangan disini adalah dengan berbasikal atau menaiki kereta.

Bukit Shikisai adalah taman bunga yang luas dengan pelbagai ladang bunga yang menghiasi disepanjang jalan bukit ini. Anda boleh menikmati pemandangan ini dengan berjalan kaki menyusuri jalan atau menyewa kereta buggy atau traktor.

Ladang Kanno juga merupakan salah satu taman bunga yang kecil yang sering menjadi tarikan pengunjung. Ladang ini akan ditutup pada pertengahan bulan Oktober sehingga pertengahan bulan Jun dan tiada bayaran masuk dikenakan. Bukit Shikisai dibuka bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 6 petang dan sentiasa dibuka sepanjang tahun. Tiada bayaran masuk dikenakan.

Bukit Shikisai
  • Kolam Biru (Blue Pond)

Selain pemandangan taman bunga yang menarik, kolam biru juga menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke sini. Pada awalnya kolam ini tidak dipromosi sebagai tempat pelancongan. Namun sejak kebelakangan ini ia menjadi sebahagian daripada sistem kawalan hakisan yang dibina untuk mencegah kerosakan kepada Biei sekiranya terjadi letusan dari Gunung Tokachidake yang berdekatan.

Kolam ini tidak banyak terdedah kepada pembangunan untuk pelancongan. Disini pelancong akan berjalan selama 5 hingga 10 minit melintasi hutan untuk ke kolam ini dan anda boleh menikmati pemandangan semulajadi yang menghijau sepanjang perjalanan.

Kolam Biru
  • Kilang Keju Furano

Kilang keju ini membolehkan pengunjung untuk melihat sendiri proses pengeluaran keju jenis camembert tempatan melalui cermin kaca besar. Anda berpelung untuk merasai keju hitam yang warnanya didapati daripada dakwat sotong di kilang ini.

Disamping pembuatan keju, terdapat juga kilang aiskrim dan juga kilang pizza serta kelas untuk membuat mentega, aiskrim, roti dan juga keju. Daripada stesen Furano, anda perlu menaiki kereta dan perjalanan hanya mengambil masa 5 minit sahaja.

Kilang ini dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang dan akan ditutup pada 31 disember hingga 3 januari. Tiada bayaran masuk dikenakan tetapi bayaran akan dikenakan sekiranya anda memasuki bengkel untuk membuat mentega, asikrim, roti atau keju.

Kilang Keju
  • Resort Ski Furano

Bandar ini juga terkenal dengan aktiviti ski dan Resort Ski Furano merupakan salah satu resort yang terkenal di sini. Resort ini merangkumi dua puncak yang bersambung menawarkan trek ski yang panjang serta menarik yang digunakan untuk perlumbaan piala dunia.

Selain itu, beberapa lereng yang lebih luas dan lembut membuatkan ia sesuai untuk sesiapa yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ski ini. Bagi mereka yang sudah mahir, trek-trek yang mencabar dan berbukit juga sesuai untuk mereka mengasah bakat disini.

Selain aktiviti ski, resort ini juga menyediakan Family snowland dimana anda boleh mencuba aktiviti salji yang lain seperti kereta salji, parasailing dan juga salji berakit. Di pangkalan resort ini terdapat dua hotel yang besar dengan pintu belakangnya membawa anda terus ke kawasan ski.

Akhir bulan November sehingga awal bulan Mei merupakan bulan yang sesuai untuk anda berkunjung ke sini. Bayaran masuk sebanyak 5700 yen akan dikenakan sekiranya anda mengambil pakej penuh manakala 5100 yen sekiranya anda mengambil pakej separuh hari. Tetapi hanya 2000 yen dikenakan sekiranya anda ingin berada disana pada malam hari sahaja.

Resort Ski

AKSES

Anda mempunyai dua pilihan untuk ke Bandar Furano sekiranya anda daripada Tokyo iaitu melalui penerbangan dan kereta api.

  • Penerbangan

Syarikat penerbangan JAL dan Air Do mengendalikan beberapa penerbangan sehari antara Lapangan Terbang Haneda Tokyo dan lapangan Terbang Asahikawa berdekatan dengan Furano. Kebiasaanya JAL akan menawarkan tiket sekitar 45,000 yen akan tetapi kebiasaanya anda akan mendapat potongan antara 17,000 sehingga 23,000 yen.

Anda boleh melakukan penjimatan dengan menaiki penerbangan Air Do yang kebiasaanya akan menawarkan harga tiket 20 peratus lebih murah dari JAL. Bas yang menghubungkan Lapangan terbang Asahikawa dengan Biei akan dikenakan tambang sebanyak 370 dengan masa perjalanan 15 minit. Manakala daripada furano dikenakan tambang sebanyak 770 yen dengan masa perjalanan yang lebih panjang iaitu 60 minit.

Kapal Terbang JAL
  • Kereta api

Anda akan melakukan pemindahan di Stesen Shin-Hakodate-Hokuto di Sapporo dan Takikawa sekiranya anda dari Tokyo dan ingin menuju ke Furano. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 10 jam dengan kos sekitar 29,000 yen satu hala dengan menggunakan Jepun Rail Pass.

Kereta Api

MAKANAN HALAL

Pelancong yang beragama islam tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana terdapat beberapa kedai makan yang menarik serta halal dapat dinikmati oleh pelancong muslim.

  • Syunnikusyunsai Tohachi

Restoran ini diusahakan oleh pengusaha sebuah kedai daging kambing. Daging kambing disukai oleh penduduk Hokkaido dan digunakan dalam masakan tempatan mereka.

Restoran ini menyajikan hidangan daging yang menarik dan unik seperti nasi didalam periuk batu yang akan menghasilkan bunyi daging yang dipanggang yang pasti akan membangkitkan selera anda. Anda harus mencuba Jingisukan goreng dan sayur yang berharga 980 yen yang menggunakan daging kambing yang halal dan sayur yang garing.

Hidangan Daging
  • Yotsuba Ramen

Restoran ini adalah restoran yang pakar dalam pembuatan ramen niboshi yang membuatkan anda berselera untuk mencuba ramen ini. Sup ramen di sini dibuat dari beberapa jenis ikan bilis yang dihasilkan di Setouchi dan Nagasaki. Tiada perasa atau bahan kimia ditambah semasa proses memasak. Harga ramen di restoran ini sekitar 750 yen semangkuk.

Ramen

TEMPAT SOLAT

Tempat solat juga menjadi keutamaan bagi pelancong muslim apabila melancong ke luar negara. Di sini terdapat beberapa tempat yang menyediakan ruangan solat yang menjadi kemudahan kepada pelancong muslim.

Seiring dengan penambahan bilangan pelancong muslim ke Furano, ruang solat telah disediakan di dalam Ladang Tomita. Ruang solat lengkap dengan tempat berwudhu terletak di tingkat 2 rumah Hanabito.

Selain itu, ruang solat juga ada disediakan di Stesen Kereta Api Asahikawa. Terletak di pusat maklumat pelancongan ruang solat ini juga lengkap dengan tempat mengambil wuduk.

Selain itu anda juga boleh menunaikan solat di bilik solat Lapangan Terbang Asahikawa yang terletak di tingkat tiga.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e6829.html
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Furano,_Hokkaido
  3. https://www.halalmedia.jp/archives/30870/hokkaido-asahikawa-map-for-muslim-is-completed/
  4. https://www.halalgourmet.jp/restaurant/895531
  5. https://www.halalmedia.jp/archives/27239/prayer-room-established-lavender-field-farm-tomita-hokkaido/
  6. https://www.halalmedia.jp/archives/23397/a-prayer-space-is-now-available-at-asahikawa-airport-in-hokkaido/2/
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Berikan Pandangan Anda!