,

Nippori

INFO DAN SEJARAH

Nippori atau dikenali sebagai Nishi-Nippori terletak berdekatan dengan Wilayah Arakawa di timur Tokyo. Nippori menjadi laluan bagi pelbagai kereta api termasuk Yamanote, Keisei dan Joban Line dengan kedua-dua stesen Nishi-Nippori, Nippori dan Mikawashima. Selain itu, stesen Nishi Nippori juga merupakan terminal Keisei Skyliner ke Lapangan Terbang Narita.

Di Nippori terdapat spot untuk anda melihat pemandangan Gunung Fuji tanpa memanjat kawasan tinggi, iaitu Nippori Fujimizaka. Dari sini anda akan dapat melihat fenomena ‘Diamond Fuji’. Fenomena ini terjadi apabila matahari terbit tepat di atas puncak gunung.

Nippori juga sangat terkenal dengan bandar tekstil kerana di sini terdapat lebih kurang 100 buah kedai yang menjual pelbagai jenis kain dan alatan menjahit. Pelancong yang berkunjung ke Nippori biasanya akan singgah di sini untuk membeli-belah.

APA YANG MENARIK

  • Nippori Sen-i Gai

Nippori Sen-i Gai dikenali sebagai bandar tekstil di Nippori di mana terdapat banyak kedai kain yang menjual pelbagai jenis fabrik. Kami mencadangkan agar anda tetapkan jenis kain yang anda mahukan kerana anda pasti akan rambang mata apabila berada di hadapan deretan kedai kain. Pelbagai variasi warna, jenis dan fungsi kain dijual di sini.

Kami sarankan untuk anda meluangkan lebih masa di sini untuk membuat perbandingan harga kain atau alatan jahit yang anda inginkan. Setiap kedai menawarkan harga yang berbeza walaupun untuk barangan yang sama. Jadi anda perlu bijak membuat pilihan dan cari kedai yang biasa mengadakan promosi.

Tomato Fabric adalah antara kedai kain yang sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dan penduduk tempatan. Selain terdapat pelbagai pilihan kain, kedai ini juga menawarkan fabrik dengan harga yang berpatutan. Kami syorkan anda untuk berkunjung ke sini jika ingin mendapatkan kain yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Kedai Kain Sekitar Nippori
Kedai Fabrik Tomato
  • Kuil Tennoji

Kuil Tennoji merupakan salah satu kuil yang tertua di kawasan Yanaka, Tokyo. Kuil ini merupakan kuil Tendai Buddha dan dibina pada tahun 1274. Ianya terletak di sempadan Perkuburan Yanaka dan menghadap Stesen Nippori. Sekarang kuil ini mempunya reka bentuk moden dan landskap yang mengagumkan. Untuk pengetahuan anda, ianya dibuka seawal jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Kuil Tennoji
  • Muzium Asakura Choso

Muzium ini merupakan tempat kediaman Asakura Fumio, iaitu seorang tokoh arca Jepun moden yang terkemuka. Muzium ini terdiri dari 3 tingkat bangunan yang direka pada tahun 1936. Reka bentuknya menggabungkan tema seni bina moden, kontemporari dan juga tradisional Jepun.

Batu-batu yang indah serta taman air yang terdapat di sini menjadi tumpuan utama para pelancong. Anda hanya perlu berjalan kaki sejauh 300m dari Stesen Nippori untuk sampai ke sini. Muzium ini dibuka dari jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Muzium Asakura Choso
  • Kuil Nezu

Kuil Nezu telah dibina pada tahun 1705 dan merupakan sebuah kuil Shinto yang terletak di Bunkyō, Tokyo. Untuk pengetahuan anda, ia terkenal dengan Festival Azalea yang diadakan dari awal April hingga awal Mei.

Di sini anda akan dapat melihat keindahan bunga Azalea di lereng bukit dari bulan Mac sehingga Mei. Jadi jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke sini jika anda melawat Nippori sepanjang tempoh tersebut. Jarak Kuil Nezu dari Stesen Nippori ialah sekitar 1.3km.

Kuil Nezu

AKSES

Stesen Nippori adalah hab kereta api utama utara barat Ueno dan stesen akses utama untuk melawat kawasan bersejarah Yanaka. Stesen ini merupakan persimpangan utama laluan JR dan Keisei, JR Yamanote, Joban Line dan Keihin-Tohoku Line. Laluan Utama Keisei untuk ke Ueno, Aoto, Funabashi, dan Lapangan Terbang Narita juga bersilang di Stesen Nippori. Laluan Keihin-Tohoku menghubungkan Nippori ke stesen Tokyo, Shinagawa, Kawasaki dan Yokohama.

  • Dari Tokyo ke Nippori: Anda boleh menaiki kereta api JR Yamanote ke Stesen Nippori selama 12 minit dengan kadar tambang sebanyak 160 yen.
  • Dari Akihabara ke Nippori: Anda boleh menaiki kereta api JR Yamanote dari Stesen Akihabara ke Stesen Nippori selama 12 minit dengan kadar tambang sekitar 160 yen.
  • Dari Lapangan Terbang Narita ke Nippori: Nippori adalah antara destinasi yang agak mudah untuk diakses dari Lapangan Terbang Narita. Dari lapangan terbang ini anda perlu menaiki kereta api Keisei Skyliner selama 36 minit dengan tambang sebanyak 2,470 yen.
Stesen Nippori

MAKANAN HALAL

  • Restoran Halal Sakura

Ia merupakan restoran Uyghur asli yang dibuka oleh pemilik dari Uyghur, dan memperoleh pensijilan halal dari Nippon Asia Halal Association (NAHA). Semua makanan dan ramuan di sini bebas dari alkohol dan daging babi. Restoran ini juga tidak menyediakan minuman beralkohol. Ianya terletak berdekatan Stesen Nippori dan Stesen JR Uguisudani.

Terdapat pelbagai pilihan makanan Jepun seperti ramen, yakiniku, Uyghur BBQ dan beberapa menu lain lagi di restoren ini. Restoran ini dibuka dari jam 11 pagi sehingga 11 malam. Menu daging lembu Jepun (Wagyu) juga terdapat di restoran ini dengan harga sekitar 2580 yen.

Restoran Halal Sakura

TEMPAT SOLAT

Bagi memudahkan anda untuk menunaikan solat, kami mencadangkan untuk anda menggunakan ruang solat yang disediakan oleh pihak Restoran Halal Sakura. Ruang solat di restoran ini terletak di tingkat 2.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://www.fun-japan.jp/my/articles/1540
  2. https://www.halalmedia.jp/archives/28373/halalsakura/
  3. https://www.gotokyo.org/en/spot/940/
  4. https://tokyocheapo.com/locations/central-tokyo/nippori/
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Berikan Pandangan Anda!