,

Noboribetsu

INFO DAN SEJARAH

Noboribetsu ialah sebuah bandar di wilayah Iburi, Hokkaido dan merupakan sebahagian dari Taman Negara Shikotsu-Toya. Bandar ini terletak di barat daya Sapporo, barat Tomakomai dan timur laut Hakodate. Anggaran penduduk di bandar ini pada tahun 2016 ialah seramai 49,523 orang.

Nama bandar Noboribetsu berasal dari perkataan Ainu iaitu ‘nupur-pet’ yang bermaksud sungai berwarna gelap. Dengan adanya beberapa buah kolam air panas yang dipercayai boleh menyembuhkan sesetengah penyakit, Noboribetsu menjadi antara resort kolam air panas yang sangat terkenal di Jepun.

Lembah gunung berapi Jigokudani atau dikenali sebagai “Lembah Neraka” merupakan sumber air panas di kawasan ini. Terdapat beberapa tarikan di Noboribetsu yang wajib anda kunjungi. 

APA YANG MENARIK

  • Kolam Air Panas

Resort di Noboribetsu menawarkan sebanyak 11 jenis air yang dianggap sangat baik dan berkesan bagi merawat penyakit-penyakit tertentu. Para pelancong yang ingin mencuba kolam air panas boleh memilih sama ada ingin menginap di ryokan atau hotel. Namun anda tidak perlu risau jika anda tidak menginap di ryokan atau hotel kerana terdapat beberapa tempat mandi yang dibuka pada siang hari untuk tetamu yang tidak menginap. Biasanya bayaran yang dikenakan dari 700 yen – 2000 yen bergantung kepada tempat.

Kolam Air Panas
Kawasan Air Panas 
  • Jigokudani

Antara tempat yang mesti anda singgah apabila melancong ke Noboribetsu ialah Jigokudani yang merupakan sumber air panas yang pelbagai jenis di sini. Kawasan ini terletak di utara bandar Noboribetsu dan anda hanya perlu berjalan kaki selama beberapa minit untuk sampai ke sini. Di Jigokudani terdapat laluan pejalan kaki kayu di mana anda dapat menikmati pemandangan gunung berapi yang menakjubkan.

Jigokudani 
  • Oyunumagawa Natural Footbath

Setelah penat berjalan, kami sarankan anda untuk merehatkan kaki di kawasan rendaman kaki semulajadi Oyunumagawa yang merupakan mata air semulajadi. Pastikan anda memakai kasut yang selesa kerana anda perlu berjalan untuk jarak yang agak jauh di sini. Jangan lupa untuk membawa air minuman bersama anda. Di sini anda berpeluang untuk menikmati pemandangan alam semulajadi dengan air sungai yang mengalir.

Oyunumagawa Natural Footbath
  • Date Historical Village

Kawasan perkampungan ini merupakan taman tema sejarah yang menonjolkan kembali zaman Edo Jepun (1603-1868). Di sini terdapat replika rumah tradisional zaman Edo termasuk pintu gerbang, menara api dan juga kuil. Anda akan berasa seolah-olah berada di zaman tersebut terutamanya jika anda menyewa pakaian tradisional yang terdapat di sini. Anda boleh memilih untuk berpakaian petani, ninja atau watak simbolik pada zaman Edo. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sekitar taman tema Edo ini, ianya pasti akan meninggalkan kenangan yang sangat menarik untuk anda.

Anda juga berpeluang untuk melihat pertunjukan yang diadakan di sini seperti pertunjukan ninja di Kasumi Ninja House dan pertunjukan komedi dan pedang samurai di Pameran Samurai. Anda boleh menaiki teksi selama 10 dari Stesen Noboribetsu untuk ke taman tema sejarah ini. Anda juga boleh membeli cenderamata yang dijual di sini kerana terdapat pelbagai jeni kedai yang menjual cenderamata untuk anda pilih.

Date Historical Village ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 5 petang. Kami cadangkan untuk anda menjadikan ia sebagai destinasi terakhir anda kerana anda mungkin akan meluangkan masa yang agak lama di sini.  

Date Historical Village

AKSES

Stesen JR Noboribetsu terletak di pusat bandar manakala bandar kolam air panas dan Jigokudani terletak kira-kira 15 minit menaiki kereta atau bas dari stesen kereta api. Kos perjalanan menaiki teksi adalah sekitar 2000-2500 yen manakala kos perjalanan jika menaiki bas adalah 340 yen. Biasanya terdapat satu atau dua bas setiap jam.

Dari Tokyo

  • Kapal terbang:

Cara paling cepat untuk anda ke Noboribetsu ialah melalui penerbangan dari lapangan terbang Haneda, Tokyo ke lapangan terbang Shin-Chitose. Seterusnya anda perlu menaiki kereta api dari lapangan terbang Shin-Citose ke Noboribetsu.

Lapangan Terbang Shin-Chitose
  • Kereta api:

Anda boleh menaiki kereta api laju (shinkansen) JR Tohoku/Hokkaido dari Tokyo ke Shin-Hakodate-Hokuto selama 4 jam dan seterusnya menukar ke ekspres terhad Hokuto ke Stesen Noboribetsu. Tempoh perjalanan adalah sekitar 2 jam setengah. Kos perjalanan sehala adalah sekitar 26,000 yen. Untuk perjalanan ini anda boleh menggunakan Japan Rail Pass dan JR East South Hokkaido Rail Pass.

Dari Sapporo

  • Kereta api:

Anda boleh menaiki kereta api ekpres terhad dari Sapporo ke Noboribetsu selama kira-kira 1 jam dengan kos perjalanan sekita 4000 yen. Selain itu, terdapat pilihan yang lebih murah iaitu dengan menaiki kereta api tempatan yang mengambil masa 2 kali ganda lebih panjang berbanding kereta api ekspres dengan kos 2160 yen. Anda boleh menggunakan Japan Rail Pass dan Hokkaido Rail Pass.

  • Bas:

Selain kereta api, anda juga boleh menaiki bas Donan dari Stesen Sapporo ke Noboribetsu Onsen yang mengambil masa sekitar 100 minit dengan kos perjalanan 1950 yen. Anda juga boleh menaiki bas ekspres ke Muroran dan berhenti di Stesen Noboribetsu.

Perjalanan akan mengambil masa selama lebih kurang 100 minit dengan kos perjalanan sekitar 1850 yen untuk perjalanan sehala. Dari Stesen Noboribetsu anda perlu menaiki bas tempatan selama 15 minit untuk ke pusat bandar onsen dengan kos perjalanan 340 yen.

Bas Donan

MAKANAN HALAL

Mungkin agak sukar untuk anda mencari makanan halal di sekitar Noboribetsu, jadi di sini kami senaraikan beberapa restoran yang menghidangkan makanan halal serta ‘muslim friendly’ di kawasan berdekatan.

  • Horyu Ramen

Horyu Ramen merupakan salah satu restoren yang terkenal di Sapporo. Genghis Khan Miso Ramen adalah hidangan terkenal di sini yang dihidangkan dengan sup istimewa dan hirisan daging kambing. Harga ramen tersebut adalah antara 1100 yen – 1650 yen bergantung kepada kuantiti.  Horyu Ramen bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tetapi juga dikalangan penduduk tempatan.

Restoran Horyu Ramen
  • Kirin Beer Garden

Sebuah restoren muslim friendly yang menyajikan makanan halal di Sapporo. Antara menu yang istimewa di sini ialah Genghis Khan yang merupakan hidangan kambing yang diimport khas dari Australia. Anda hanya perlu memanggang hirisan daging kambing dengan sedikit garam dan anda akan menikmati hidangan daging kambing yang lembut dan menyelerakan. Anda tidak perlu risau tentang minuman kerana disini juga menyediakan minuman tanpa alkohol.

Set Hidangan Kambing

TEMPAT SOLAT

  • Ruang Solat di Lapangan Terbang Shin-Chitose

Bilik solat di lapangan terbang ini terdapat di 2F Bangunan Terminal Antarabangsa. Namun di sini tidak disediakan tempat untuk berwudhu jadi anda perlu mengambil wudhu di tandas terlebih dahulu. 

Ruang Solat
  • Date Historical Village

Ruang solat terletak di kawasan belakang bahagian kedai-kedai makan di Date Historical Village. Selain bersolat di ruangan solat yang disediakan, anda juga boleh mencari tempat lapang yang tidak mengganggu orang awam untuk menunaikan solat. Selain itu, anda juga boleh bersolat di dalam bilik persalinan pakaian di kedai-kedai baju atau pusat membeli belah. 

RUJUKAN

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Noboribetsu,_Hokkaido
  2. https://www.seejapan.co.uk/press-releases/consumer/2017/08/31/8-things-to-do-in-noboribetsu-japan-s-demon-town
  3. https://www.japan-guide.com/e/e6752.html
  4. https://www.inspirock.com/japan/noboribetsu/noboribetsu-date-historic-village-a912384809
  5. https://www.inspirock.com/japan/noboribetsu/kameda-memorial-park-a7392410345
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Berikan Pandangan Anda!