,

Okurayama Ski Jump Observatory

INFO DAN SEJARAH

Lompat ski Okurayama adalah tempat melompat ski yang terletak di kawasan Miyanomori di Chuo-ku, Sapporo Hokkaido. Ia pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa acara sukan musim sejuk termasuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 1972 dan FIS Nordic Ski Championships 2007.

Ski Jump Observatory yang terletak di puncak bukit boleh dilawati dengan menaiki kerusi lif sekiranya stadium ini tidak digunakan untuk Piala Dunia atau aktiviti melompat ski yang lain. Di atas puncak bukit, anda boleh menikmati pemandangan panorama Sapporo yang luar biasa 300 meter di atas paras laut.

Okurayama Ski Jump Observatory akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi sehingga 6 petang pada 29 April sehingga 3 November dan dari jam 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada 4 November sehingga 28 April. Tempat ini akan ditutup pada 6 April sehingga 17 April. Bayaran masuk ke sini akan dikenakan sebanyak 500 yen untuk tiket kerusi lif dan sebanyak 1000 yen sekiranya anda menaiki kerusi lif dan mengunjungi muzium sukan musim salji.

APA YANG MENARIK

  • Muzium Sukan Musim Sejuk Sapporo (Muzium Olimpik Sapporo)

Muzium ini membolehkan pengunjung merasai dunia sukan musim sejuk dan menghidupkan semula keseronokan Sukan Olimpik Sapporo. Muzium ini terletak di kaki bukit Stadium Bola Sepak Okurayama yang menghadap ke Pusat Bandar Sapporo.

Di dalam muzium ini terdapat koleksi barang berharga yang berkaitan dengan Sukan Olimpik Musim Sejuk Sapporo 1972. Selain itu barang-barang untuk kejohanan Ski Nordik dan Sukan Musim Sejuk Universidad yang dianjurkan oleh Sapporo turut dipamerkan di muzium ini.

Terdapat juga seksyen muzium yang membolehkan para pelawat mensimulasikan pengalaman melompat ski, menunggang bola giring, dan berputar pada skate ais. Muzium ini bertujuan untuk mendedahkan pengunjung tentang sukan musim sejuk melalui pengetahuan dan pengalaman.

Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 600 yen. Muzium ini beroperasi dari jam 9 pagi sehingga 6 petang pada bulan Mei hingga Oktober. Manakala pada bulan November hingga April muzium ini dibuka dari jam 9.30 pagi sehingga petang.

Muzium Olimpik Sapporo
  • Rumah Kristal Okurayama

Pengunjung perlu menggunakan tangga bergerak dari tempat letak kereta ke tempat di mana terletaknya stadium. Rumah Kristal ini terletak berhampiran dengan pintu masuk manakala Muzium Sukan Musim Sejuk pula terletak di seberang Jalan.

Rumah Kristal ini merupakan sebuah bangunan yang menempatkan kedai cenderamata dan juga restoran yang boleh dikunjungi oleh pelancong. Anda boleh membeli cenderahati untuk diberi kepada ahli keluarga dan juga sebagai kenangan untuk diri sendiri.

Rumah Kristal Okurayama

AKSES

  • Bas

Tempat ini boleh dilawati dengan menaiki bas dari Stesen Maruyama Koen Tozai yang mengambil masa 5 minit dengan bayaran sebanyak 200 yen. Anda juga boleh menaiki bas yang bernombor 14 ke perhentian bas Okuraya Kyogijo Iriguchi yang mengambil masa 10 minit dengan bayaran 210 yen.

Bas Tempatan
  • Teksi

Selain bas, anda juga boleh menaiki teksi dari Stesen Sapporo ke tempat melompat ski yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dengan kos sekitar 2500 yen hingga 3000 yen.

Teksi

MAKANAN HALAL

Makanan halal pasti menjadi keutamaan bagi pelancong muslim yang berkunjung ke luar negara khususnya. Pada masa sekarang makanan halal tidak menjadi satu masalah buat pelancong muslim kerana semakin banyak restoran halal dan muslim friendly yang boleh didapati di Jepun.

  • Horyu Ramen

Anda tidak boleh meninggalkan Sapporo tanpa mencuba makanan asli Jepun iaitu ramen. Anda perlu mencuba Genghis Khan Miso Ramen sekiranya anda singgah di Horyu Ramen. Genghis Khan Miso Ramen adalah hidangan terkenal disini dihidangkan dengan sup istimewa dan hirisan daging kambing yang banyak.

Anda pasti akan merasa satu kepuasan apabila merasai hidangan istimewa dari mereka. Horyu Ramen bukan sahaja terkenal dikalangan pelancong tetapi juga terkenal dikalangan penduduk tempatan. Tidak hairan sekiranya anda perlu beratur panjang sekiranya anda ingin makan malam atau makan tengah hari di sini.

Restoran Horyu Ramen
  • Restoran Makanan India Jyoti

Sekiranya anda sudah bosan dengan makanan Jepun anda boleh mencuba restoran ini untuk merasai kelazatan makanan asli India. Restoran ini diasaskan oleh Mahavir San yang merupakan bekas pelajar di Jepun.

Restoran ini menyajikan makanan India seperti samosa, kari, dhal dan bermacam-macam jenis makanan asli orang india. Dengan cuaca yang sejuk, hidangan yang panas serta pedas pasti akan membangkitkan selera anda untuk menjamu selera.

Makanan India

TEMPAT SOLAT

Sekiranya anda seorang muslim dan berkunjung ke luar negara, tempat solat pasti menjadi keutamaan bagi anda. Di sini kami kongsikan tempat untuk anda menunaikan solat sekiranya anda berkunjung ke Okurayama, Sapporo. Untuk pengetahun anda, agak sukar untuk anda mencari bilik solat atau masjid di kawasan berdekatan.

Anda boleh menunaikan solat di masjid Sapporo. Ruangan solat serta tempat berwudhu yang terdapat di sini membuatkan anda lebih untuk menunaikan solat. Namun jarak antara kedua-dua tempat ini agak jauh. Masa perjalanan selama lebih kurang 20 minit diperlukan jika anda menaiki teksi. Jika anda menaiki kereta api, masa yang diperlukan adalah kira-kira 40 mini.

Anda juga boleh menunaikan solat di mana-mana kawasan lapang yang bersih dan tidak menganggu orang awam. Anda hanya perlu membawa sejadah dan memakai pakaian yang bersesuaian untuk dibawa solat.

Masjid Sapporo

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e5308.html
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Okurayama_Ski_Jump_Stadium
  3. http://www.sapporo.travel/find/sports/winter_sports_museum/?lang=en
  4. https://www.japan.travel/en/spot/2214/
  5. https://japanwalkersea.com/finding-halal-food-sapporo-hokkaido/


0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Berikan Pandangan Anda!