,

Shiroi Koibito Park

INFO DAN SEJARAH

Taman Shiroi Koibito merupakan sebuah taman tema coklat oleh syarikat coklat tempatan iaitu Ishiya. Ianya terletak di Hokkaido, Sapporo dan dibuka pada setiap hari. Taman ini terdiri daripada dua bahagian iaitu kawasan masuk percuma yang terdiri daripada kedai, kafe dan restoran. Kawasan berbayar pula merangkumi kawasan pameran berkaitan coklat dan terdapat beberapa tingkap besar untuk pelawat melihat proses pembuatan biskut di kilang.

Selain itu anda juga boleh membuat biskut anda sendiri di tempat yang disediakan. Bagi memudahkan anda, terdapat risalah disediakan dalam Bahasa Inggeris, Cina dan Thailand. Untuk pengetahuan anda, taman ini dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap pada penghujung bulan Mei 2019. Namun anda tidak perlu risau kerana taman ini masih dibuka seperti biasa untuk para pelancong.

APA YANG MENARIK

  • Menara Jam Automaton Sapporo (Gran Meister)

Menara jam ini merupakan simbol bagi Taman Shiroi Koibito. Watak-watak berbeza dari jam di menara ini akan keluar untuk melakukan perarakan yang dikenali sebagai Karnival Coklat. Pastikan anda tidak terlepas peluang untuk menyaksikannya!

Menara Jam Automaton Sapporo
  • Kereta Api Shiroi Koibito

Perjalanan selama 10 minit dengan menaiki kereta api Shiroi Koibito membolehkan para penumpang menikmati pemandangan taman yang indah. Kereta api tersebut dibina bermodelkan Benkeigo, iaitu lokomotif stim pertama di Hokkaido.

Tiket untuk dewasa ialah sebanyak 300 yen manakala bagi penumpang berumur bawah 12 tahun pula harga tiket sebanyak 200 yen dikenakan. Kanak-kanak bawah 2 tahun tidak dikenakan bayaran untuk menaiki kereta api ini. Namun harus diingatkan ada kalanya semasa musim sejuk kereta api Shiroi Koibito tidak beroperasi.

Kereta Api Shiroi Koibito
  • Rumah Gulliver

Anda berpeluang untuk melihat sendiri Rumah Gulliver iaitu rumah-rumah kecil yang terdapat di bahagian taman kawasan ini. Anda juga boleh memasuki rumah-rumah ini namun mungkin agak sukar bagi orang dewasa untuk masuk ke Rumah Gulliver ini kerana saiznya yang kecil. Bagi orang dewasa, anda perlu merendahkan badan atau merangkak untuk masuk ke dalam rumah tersebut.

Rumah Gulliver
  • Kilang Coklat

Tidak lengkap lawatan anda ke Taman Shiroi Koibito jika anda tidak meluangkan masa di kilang coklat di sini. Kami cadangkan agar anda luangkan masa untuk melihat sendiri proses pembuatan biskut Shiroi Koibito. Anda akan dikenakan sedikit bayaran untuk masuk ke kilang ini (600 yen untuk dewasa, 200 yen untuk kanak-kanak) manakala kanak-kanak yang berumur 3 tahun dan ke bawah tidak dikenakan sebarang bayaran.

Anda akan diberikan pas masuk yang mempunyai peta serta penerangan tentang kemudahan yang terdapat di dalam kilang tersebut. Selain itu anda juga berpeluang merasa sendiri sampel biskut Shiroi Koibito semasa sesi lawatan ke kilang. Apabila tiba di kilang, anda akan dapat melihat sendiri proses membuat biskut Shiroi Koibito.

Kilang Coklat
  • Anda juga berpeluang untuk membuat dan menghiasi sendiri biskut mengikut kreativiti anda. Anda boleh memilih sama ada ingin menghias biskut yang sudah siap dibakar atau anda juga boleh belajar untuk membuat biskut. Namun anda perlu mengisi borang terlebih dahulu untuk membuat tempahan bagi mengikuti kursus yang disediakan. Borang temapahan dalam talian disediakan dalam dua bahasa iaitu Bahsa Inggeris dan Jepun.  

AKSES

  • Kereta Api

Dari Stesen Odori anda perlu menaiki kereta api Subway Tozai Line ke Miyanosawa selama lebih kurang 20 minit. Seterusnya anda perlu berjalan kaki kira-kira 7 minit dari Stesen Miyanosawa untuk ke Taman Shiroi Koibito.

Kereta Api
  • Bas

Anda perlu menaiki bas menuju ke Otaru dari Terminal Bas JR Sapporo dan berhenti di perhentian bas Nishimachi kita 20-chome. Dari sini anda perlu berjalan kaki selama lebih kurang 5 minit untuk sampai ke Taman Shiroi Koibito. Terdapat 2 pilihan bas yang boleh anda naiki iaitu Bas Chuo atau Bas JR.

Bas JR

MAKANAN HALAL

  • Horyu Ramen

Horyu Ramen merupakan salah satu restoran yang terkenal di Sapporo. Genghis Khan Miso Ramen adalah hidangan terkenal di sini yang dihidangkan dengan sup istimewa dan hirisan daging kambing. Harga ramen tersebut adalah antara 1100 yen – 1650 yen bergantung kepada kuantiti.  

Horyu Ramen bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tetapi juga dikalangan penduduk tempatan. Restoran ini terletak di Susukino dan berada berdekatan dengan Stesen Susukino (Nanboku Subway Line). Dari stesen ini anda hanya perlu berjalan kaki selama lebih kurang 5 minit untuk sampai ke restoran ini.

Restoran Horyu Ramen
  • Nijo Market

Anda juga boleh mencuba makanan yang terdapat di Nijo Market yang terletak berdekatan dengan Stesen Odori. Di pasar ini terdapat pelbagai pilihan makanan laut dan kami cadangkan untuk anda mencuba telur ikan salmon yang terkenal di sini. Anda boleh meluangkan masa untuk bersarapan di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Shiroi Koibito.

Nijo Market

TEMPAT SOLAT

Terdapat ruang solat yang disediakan di Taman Shiroi Koibito ini seiring dengan pertambahan pelancong muslim ke sini. Bilik solat tersebut berada di tingkat 2 Tudor House. Sudah pasti anda akan dapat menunaikan solat dengan selesa kerana ruang solat wanita dan lelaki diasingkan. Selain itu tempat untuk mengambil wudhu juga disediakan di ruangan ini. Arah kiblat juga telah disediakan di sini. Bilik solat ini dibuka dari jam 9 pagi sehingga 7 petang.

Ruang Solat & Tempat Berwudhu

RUJUKAN

  1. https://matcha-jp.com/en/1485
  2. http://www.shiroikoibitopark.jp/english/souvenir-shop/#
  3. http://www.shiroikoibitopark.jp/english/
  4. https://www.japan-guide.com/e/e5310.html#section_get_there
  5. https://www.japan-guide.com/e/e5310.html#section_get_there
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Berikan Pandangan Anda!