Kiriman

Nara

INFO DAN SEJARAH

Bandar Nara merupakan salah satu bandar yang wajib dilawati jika anda ingin meneroka keindahan tinggalan sejarah negara Matahari Terbit dengan lebih mendalam. Seharian sudah mencukupi untuk anda menjelajah Nara yang hanya seluas sekitar 276.84 kilometer persegi. Namun, anda tidak akan merasa rugi meluangkan masa yang lebih panjang di bandar ini kerana anda pasti akan terpegun dengan keunikannya yang tersendiri.

 Bandar ini merupakan ibu kota Wilayah Nara yang terletak di bahagian utara, dan bersempadan dengan Wilayah Kyoto. Perjalanan ke Nara dari Kyoto dan Osaka hanyalah mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja. Untuk pengetahuan anda, Nara merupakan ibu kota pertama Jepun dan menjadi tempat tinggal maharaja Jepun sekitar tahun 710. Istana Heijo yang terletak di tengah bandar Nara diangkat sebagai tempat kediaman maharaja dan juga pusat pentadbiran pada waktu tersebut. Amatlah rugi jika anda tidak melawat Tapak Istana Heijo ini kerana nilai sejarah dan kebudayaannya yang amat bernilai, ia telah tersenarai sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pada Zaman Nara (710-784) ini juga,wujudnya era kosmopolitan.Negara Jepun pada ketika itu berinteraksi dengan Negara Cina dan negara-negara lain melalui Laluan Sutera. Hasil daripada interaksi dengan pelbagai negara terutamanya Cina dan Korea,maka wujudlah pelbagai kuil yang sangat unik.

Istana Heijo 

APA YANG MENARIK

Kebanyakan tempat-tempat menarik di Bandar Nara ini terletak berhampiran antara satu sama lain. Antaranya adalah “Todai-Ji”, “Kofuku-Ji”, Taman Nara, Muzium Nasional Nara, “Yoshiki-En” dan, “Isui-En”. Sebagai contoh,anda hanya perlu berjalan kaki selama sepuluh minit dari “Todai-Ji” untuk ke Taman Nara.

 Sebut sahaja Nara, “Nara Park”pasti akan muncul di benak fikiran sesiapa yang pernah ke Jepun. “Nara Park” ibarat rumah bagi ratusan ekor rusa. Anda boleh bersantai sambil membelai rusa yang bebas berkeliaran di taman ini. Jangan takut kerana mereka kebiasaannya sangat jinak. Selain daripada “Nara Park”, anda juga boleh menikmati keindahan taman berkonsepkan kejepunan iaitu “Yoshiki-En” dan, “Isui-En” yang terletak berhampiran. Bayaran masuk ke “Isui-En” adalah sebanyak 900 yen. “Yoshiki-En”pula menawarkan kemasukan percuma kepada pelancong asing.

Nara Park

Keindahan seni bina kuil juga menjadi daya tarikan utama di Nara. “Todai-Ji” juga termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dibina pada tahun 745 sebagai simbolik kekuasaan pemerintahan ketika itu. “Ji” bermaksud kuil agama Buddha. Apa yang menarik tentang kuil ini adalah struktur binaan kuil itu sendiri. Strukturnya yang diperbuat daripada kayu dan telah dinobatkan sebagai kuil berasaskan kayu yang terbesar di dunia. Kuil ini juga memegang rekod kuil yang mempunyai patung Buddha gangsa yang terbesar di dunia. Jika anda mengunjungi kuil ini pada bulan Mac, anda mungkin berpeluang untuk merasai aktiviti “Omizutori”. Selain “Todai-Ji”, “Kofuku-Ji”, “Toshodai-Ji” dan, “Yakushi-Ji” juga termasuk dalam senarai UNESCO. Penggemar tempat-tempat warisan dunia wajib berkunjung ke Nara.

Todai-Ji
Kofuku-Ji

 Selain kuil agama Buddha,anda juga dapat melihat kuil agama Shinto, “Kasuga Taisha” yang terkenal di sini. Kelainannya adalah kuil ini dihiasi dengan beratus tanglung gangsa hasil sumbangan pengikutnya. Dinyalakan hanya dua kali setahun iaitu pada awal Februari (Festival Setsubun Mantoro) dan juga pertengahan Ogos (Festival Obon Mantoro). Masuk adalah percuma namun,terdapat juga kawasan yang mengenakan bayaran seperti Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo (250yen-500yen) dan Muzium Kasuga Taisha (200yen-400yen). Anda dapat menikmati kecantikan bunga wisteria jika berkunjung ke Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo pada bulan Mei. Untuk mengetahui lebih lanjut sejarah agama Shinto, anda bolehlah melawat Muzium Kasuga Taisha. Info tentang agama Buddha pula boleh didapati di Muzium Nasional Nara.

Anda juga boleh menikmati pemandangan sekitar bandar Nara dari puncak Gunung Wakakusa yang berada di belakang Taman Nara dengan bayaran masuk serendah 150yen. Anda tidak akan berpeluang mendaki gunung ini jika berkunjung pada musim sejuk namun, anda berpeluang melihat upacara “Wakakusa Yamayaki” pada hari Sabtu minggu keempat setiap bulan Januari(musim sejuk). Acara ini turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.

 Kesimpulannya, jika anda suka berjalan kaki sambil menikmati kecantikan flora dan fauna,Bandar Nara adalah destinasi paling cocok buat anda.

AKSES

 Anda boleh menaiki pengangkutan awam untuk ke Nara. Jika anda dari Kyoto,cara yang terbaik adalah dengan menaiki keretapi. Anda ada dua pilihan iaitu samada menaiki “Japan Railway (JR) Line” atau “Kintetsu Line”. Kami menyarankan anda menggunakan Kintetsu kerana tempoh perjalanan paling singkat dan sangat selesa.

  1. “JR Nara Line”: Bertolak dari Stesen JR Kyoto, tiba di Stesen JR Nara.Perjalanan selama 45minit jika menaiki keretapi ekspres dan, 70minit jika menaiki keretapi biasa. Tambang adalah sebanyak 710yen.
  2. “Kintetsu Nara Line” (ekspres): Bertolak dari Stesen Kintetsu Kyoto (berada di bahagian selatan Stesen JR Kyoto), tiba di Stesen Kintetsu Nara. Perjalanan selama 35 minit. Tambang adalah sebanyak 1130yen.
Kereta Api

 Anda juga boleh menaiki keretapi dari Osaka untuk ke Nara. Anda boleh pilih antara “JR Line” atau “Kintetsu Line”.

  1. “JR Kanjo-Yamatoji Line”: Bertolak dari Stesen JR Osaka, tiba di Stesen JR Nara.Perjalanan selama 59minit dengan menaiki keretapi ekspres Yamatoji (Yamatoji Kaisoku). Tambang adalah sebanyak 800yen.
  2. “Kintetsu Nara Line” (ekspres): Bertolak dari Stesen Kintetsu Namba, tiba di Stesen Kintetsu Nara. Perjalanan selama 40minit.Tambang adalah sebanyak 560yen.

 Bagi sesiapa yang ingin terus ke Nara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai(KIX), anda boleh menaiki keretapi atau bas limosin.

  1. Bas Limosin: Bertolak dari hentian bas di luar balai ketibaan KIX,turun di Stesen JR Nara atau Stesen Kintetsu Nara.Perjalanan selama sejam 43minit. Tambang adalah sebanyak 2050yen.
  2. “JR Line”: Bertolak dari “JR Haruka Airport Express”, tukar ke “JR Yamatoji Kaisoku” di Stesen Tennoji dan turun di Stesen JR Nara.Perjalanan selama sejam 23minit (tidak termasuk masa pertukaran keretapi). Tambang adalah sebanyak 1480yen.
Bas Limosin

 Jika anda bertolak dari Tokyo,Nagoya,Kobe atau Hiroshima, cara terbaik adalah anda menaiki keretapi laju(shinkansen) ke Kyoto dan kemudian ikut cara seperti yang kami telah terangkan sebelum ini.

Shinkansen

MAKANAN HALAL

Bagi pelancong muslim,anda tidak perlu gusar untuk mencari kedai makanan halal di Nara. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi Google Maps serta Halal Navi. Jika anda ingin merasai ramen,anda boleh berkunjung ke Halal Ramen Naramachi Jinniyah. Anda juga boleh membeli makanan bentou(bekal) di Halal Deli. Selain makanan Jepun, anda boleh nikmati makanan dari pelbagai negara di restoran seperti RENESA Asian,Ashura dan Jay.Pastikan anda merancang perjalanan anda sambil melihat informasi terkini di Halal Navi ataupun Google Maps.

Halal Ramen Naramachi Jinniyah

TEMPAT SOLAT

 Walaupun Nara belum mempunyai masjid,anda tidak perlu khuatir kerana ruangan solat ada disediakan. Antara tempat yang mempunyai ruangan solat adalah Stesen JR Nara,Pusat Pelawat dan Penginapan Nara, Pusat Maklumat Pelancongan Bandar Nara, KAI dan, restoran Naramachi Jinniyah. Untuk lebih mudah,anda hanya perlu menyemak di aplikasi Japan Masjid Finder.

Ruang Solat di
Pusat Maklumat Pelancongan Bandar Nara

RUJUKAN

  1. https://www.visitnara.jp/
  2. https://www.insidekyoto.com/
  3. https://www.japan-guide.com/
  4. https://ja.wikipedia.org/wiki/%E5%A5%88%E8%89%AF%E5%B8%82/
  5. https://www.halalinjapan.com/
  6. http://www.masjid-finder.jp/
  7. https://www.google.com.my/maps/

,

Yokohama

Info dan sejarah

Yokohama merupakan salah satu tempat yang menjadi tarikan utama pelancong dan perlu dimasukkan ke dalam senarai tempat yang mesti dilawati apabila anda melancong ke Jepun.

Ianya terletak di selatan Tokyo dan mempunyai populasi penduduk sekitar 3.7 juta dan terkenal sebagai bandar pelabuhan. Dengan memiliki populasi penduduk yang ramai, ia menjadikan Yokohama bandar kedua terbesar di Jepun selepas Tokyo. Selain itu, ianya merupakan bandar utama di Kanagawa yang terletak di wilayah Kanto, Pulau Honshu.

Yokohama pada mulanya merupakan sebuah perkampungan nelayan sehingga penghujung zaman Edo dan ianya telah berkembang selepas pembukaan pelabuhan utama Yokohama iaitu pada 2 June 1859. Sehingga pertengahan zaman Showa, pelabuhan Yokohama terkenal sebagai pelabuhan export dan import barang mentah seperti kapas dan juga barangan lain seperti benang dan kain sutera.

Dengan adanya pusat pelabuhan dan pemandangan laut yang indah, ia mejadikan Yokohama tempat yang sesuai bagi anda yang inginkan suasana yang tenang dan persekitaran yang menarik. Selain itu, Yokohama juga menjadi tarikan pelancong kerana terdapat Chinatown terbesar di Jepun yang merupakan tempat membeli belah terkenal.

Terdapat beberapa acara menarik sepanjang tahun di yokohama. Anda boleh memilih untuk melawat Jepun pada masa-masa tertentu sebagai contoh, sambutan tahun baru cina pada bulan Januari/Februari dan cherry-blossom festival pada bulan Mac-April yang diadakan di Taman Sankei-en. Selain itu, Yokohama Port Festival juga diadakan sempena mengingati pembukaan semula pelabuhan diadakan pada bulan Ogos.

Apa Yang Menarik

Terdapat pelbagai tempat menarik di Yokohama antaranya ialah Sankeien Garden, Yokohama Landmark Tower, Yokohama Hakkeijima Sea Paradise, Yokohama Chinatown, Yokohama Marine Tower, Shin-Yokohama Ramen Museum, Yokohama Red Brick Warehouse dan Yokohama Cosmo World.  

Jika anda meminati suasana alam semula jadi dan traditional, Sankeien Garden merupakan pilihan yang tepat dimana ianya telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1906. Dengan memiliki 17 bangunan bersejarah yang unik dan cantik, ia menjadi daya tarikan utama pelancong dalam dan luar negara. Anda hanya perlu membayar tiket serendah 500 yen sahaja untuk masuk dan menikmati pemandangan indah di taman ini.

Sankeien Garden 

Selain itu, anda juga boleh membeli belah sambil menikmati angin laut di Minato Mirai 21 atau secara ringkasnya dikenali sebagai Minato Mirai (MM) yang bermaksud “pelabuhan masa depan” yang telah dibina sekitar tahun 1983. Ia merupakan pusat perdagangan utama di Yokohama. Di sini juga terletaknya Yokohama Landmark Tower yang merupakan bangunan kedua tertinggi di Jepun. Antara pusat membeli belah utama di Minato Mirai ialah Landmark Plaza dan juga Queen’s Square.

Minato Mirai 21

Selain itu, disini juga terdapat pusat membeli belah Red Brick Warehouse atau dikenali sebagai “akarenga soko” dalam bahasa Jepun. Bangunan ini juga mempunyai seni reka yang menarik dan unik dimana ianya terkenal dalam kalangan pelancong untuk bergambar.

Red Brick Warehouse 

Terdapat juga muzium yang terkenal disini iaitu Nippon Maru dan Yokohama Port Museum. Anda hanya perlu berjalan kaki selama lima minit dari Minato Mirai dan tiket untuk masuk ke muzium ini hanyalah sekitar 400 yen.

Selain itu, di sini juga terdapat muzium bertemakan makanan yang pertama didunia yang dibina pada tahun 1994 iaitu Shin-Yokohama Ramen Museum yang terletak berdekatan dengan stesen kereta api Shin-Yokohama. Tiket untuk masuk ke sini ialah sekitar 310 yen sahaja. Apa yang menarik di sini ialah mereka masih mengekalkan rasa ramen yang asli disamping reka bentuk dalaman muzium ini yang mengekalkan ciri-ciri klasik dan unik! Pelbagai menu ramen yang terkenal di Jepun terdapat di sini.

Shin-Yokohama Ramen Museum 

Jika anda ke Yokohama, anda wajib ke singgah ke Chinatown atau dikenali sebagai ‘yokohama chūkagai’ dalam bahasa Jepun kerana di sini terdapat banyak pilihan restoran dan kedai-kedai yang bertemakan Chinese-style untuk anda membeli belah.

Yokohama Chūkagai

Bagi anda yang melancong ke Jepun bersama keluarga, Yokohama Cosmo World adalah tempat yang sangat sesuai untuk dilawati kerana terdapat pelbagai tarikan disini termasuk pelbagai permainan untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Cosmo World terletak di komplek Minato Mirai yang terkenal dengan ‘Ferris wheel’ yang berketinggian 112.5 meter dan juga ‘roller coaster’.

Yokohama Cosmo World 

Selain itu terdapat pelbagai gerai makanan di sekitar kawasan permainan tersebut. Untuk masuk ke sini, anda tidak perlu membeli tiket kecuali jika anda berminat untuk mencuba permainan yang disediakan. Harga tiket utk setiap permainan adalah antara 200 yen hingga 800 yen.

Selain destinasi yang kami nyatakan di atas, tedapat banyak lagi tarikan di Yokohama yang pastinya sangat menarik untuk anda lawati.

Akses

Jika anda dari Tokyo, cara yang paling murah untuk ke Yokohama ialah dengan menaiki train menggunakan Toyoko Line. Untuk memendekkan masa perjalanan, anda perlu menaiki limited express atau express train yang hanya mengambil masa selama 25 minit dari stesen Shibuya dengan tambang sekitar 270 yen sahaja.

Selain itu, jika anda ingin lebih cepat sampai ke Yokohama dari stesen Tokyo, anda boleh menaiki train menggunakan JR Tokaido Line yang mengambil masa sekitar 25 minit, tambang sekitar 470 yen sahaja. Jika anda dari  stesen Shinagawa, anda hanya perlu membayar tambang sekitar 290 yen dan mengambil masa selama 20 minit untuk sampai di stesen Yokohama.

Anda juga boleh memilih untuk menaiki train menggunakan Keikyu Keihinkyuko Line dari stesen Shinagawa yang mengambil masa sekitar 20 minit untuk sampai di Yokohama. Tambang sekitar 300 yen sahaja.

Apabila anda sudah berada di Yokohama, anda boleh memilih untuk menaiki train, bas atau berjalan kaki untuk ke destinasi pilihan anda. Anda boleh berjalan kaki di sekitar bandar Yokohama sambil menikmati keindahan bandar serta tempat-tempat menarik di sini. Sebagai contoh, anda boleh berjalan kaki dari Minato Mirai untuk ke Yamashita Park.

Bagi anda yang tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman yang lebih menarik di Yokohama, anda boleh menaiki bot untuk ke beberapa destinasi. Bot yang dikenali sebagai Seabass  menghubungkan Yokohama Bay Quarter, Minato Mirai dan Yamashita Park.

Sea Bus

Makanan Halal

Pelancong muslim tidak perlu risau untuk mencari makanan halal di Yokohama kerana terdapat beberapa pilihan kedai dan jenis makanan. Antaranya ialah Ali Baba Kebab, Arabic Restaurant Al Ain, Delhi Dining, Indonesian Kitchen Iskandar, Amataro Minatomirai, Malay Asian Cuisine Yokohama-Motomachi dan banyak lagi.

Selain itu, jika anda ke Jepun sudah pasti anda ingin merasai makanan yang cukup sinonim di sini iaitu ramen. Di Yokohama anda boleh menikmati ramen halal di Shin-Yokohama Ramen Museum. Di muzium ini terdapat beberapa buah restoran yang menyediakan ramen halal untuk pelancong muslim yang boleh anda nikmati dengan harga 820 yen sehingga 900 yen.

Ramen 

Dengan pelbagai pilihan yang ada, terpulang kepada anda sama ada ingin makan di restoran atau dibeli secara “take-away”.

Tempat Solat

Selain makanan halal, sudah pasti masjid atau ruang solat menjadi keutamaan bagi muslim.

Di bandar Yokohama terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Ja’Me Masjid yang merupakan satu-satunya masjid di bandar ini. Masjid ini terletak berdekatan dengan stesen Higashi-Yamada.

 Ja’Me Masjid 

Selain itu, anda juga boleh solat di ruang solat yang disediakan oleh restoran yang anda kunjungi. Antara restoran yang menyediakan ruangan solat ialah Arabic Restaurant Al Ain, Delhi Dining dan Amataro Minatomirai. Shin-Yokohama Ramen Museum juga ada menyediakan ruang solat untuk muslim. 

Rujukan

  1. https://www.google.co.jp/destination?q=yokohama&rlz=1C1CHBF_enMY768MY768&site=search&output=search&dest_mid=/m/0kstw&sa=X&ved=0ahUKEwjly9TJkprYAhVFpZQKHXhcA6AQ6tEBCDEoBDAA
  2. https://www.japan-guide.com/e/e2360.html
  3. http://immasaitama.blogspot.jp/2010/09/yokohama-is-largest-second-city-in.html
  4. https://www.google.co.jp/destination?q=yokohama&rlz=1C1CHBF_enMY768MY768&site=search&output=search&dest_mid=/m/0kstw&sa=X&ved=0ahUKEwjly9TJkprYAhVFpZQKHXhcA6AQ6tEBCDEoBDAA
  5. https://savvytokyo.com/the-top-ten-places-to-visit-in-yokohama/
  6. https://en.wikipedia.org/wiki/Minato_Mirai_21#Overview
  7. http://www.yokohamajapan.com/muslim/restaurants/
,

Odaiba