Kiriman

,

Okurayama Ski Jump Observatory

INFO DAN SEJARAH

Lompat ski Okurayama adalah tempat melompat ski yang terletak di kawasan Miyanomori di Chuo-ku, Sapporo Hokkaido. Ia pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa acara sukan musim sejuk termasuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 1972 dan FIS Nordic Ski Championships 2007.

Ski Jump Observatory yang terletak di puncak bukit boleh dilawati dengan menaiki kerusi lif sekiranya stadium ini tidak digunakan untuk Piala Dunia atau aktiviti melompat ski yang lain. Di atas puncak bukit, anda boleh menikmati pemandangan panorama Sapporo yang luar biasa 300 meter di atas paras laut.

Okurayama Ski Jump Observatory akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi sehingga 6 petang pada 29 April sehingga 3 November dan dari jam 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada 4 November sehingga 28 April. Tempat ini akan ditutup pada 6 April sehingga 17 April. Bayaran masuk ke sini akan dikenakan sebanyak 500 yen untuk tiket kerusi lif dan sebanyak 1000 yen sekiranya anda menaiki kerusi lif dan mengunjungi muzium sukan musim salji.

APA YANG MENARIK

  • Muzium Sukan Musim Sejuk Sapporo (Muzium Olimpik Sapporo)

Muzium ini membolehkan pengunjung merasai dunia sukan musim sejuk dan menghidupkan semula keseronokan Sukan Olimpik Sapporo. Muzium ini terletak di kaki bukit Stadium Bola Sepak Okurayama yang menghadap ke Pusat Bandar Sapporo.

Di dalam muzium ini terdapat koleksi barang berharga yang berkaitan dengan Sukan Olimpik Musim Sejuk Sapporo 1972. Selain itu barang-barang untuk kejohanan Ski Nordik dan Sukan Musim Sejuk Universidad yang dianjurkan oleh Sapporo turut dipamerkan di muzium ini.

Terdapat juga seksyen muzium yang membolehkan para pelawat mensimulasikan pengalaman melompat ski, menunggang bola giring, dan berputar pada skate ais. Muzium ini bertujuan untuk mendedahkan pengunjung tentang sukan musim sejuk melalui pengetahuan dan pengalaman.

Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 600 yen. Muzium ini beroperasi dari jam 9 pagi sehingga 6 petang pada bulan Mei hingga Oktober. Manakala pada bulan November hingga April muzium ini dibuka dari jam 9.30 pagi sehingga petang.

Muzium Olimpik Sapporo
  • Rumah Kristal Okurayama

Pengunjung perlu menggunakan tangga bergerak dari tempat letak kereta ke tempat di mana terletaknya stadium. Rumah Kristal ini terletak berhampiran dengan pintu masuk manakala Muzium Sukan Musim Sejuk pula terletak di seberang Jalan.

Rumah Kristal ini merupakan sebuah bangunan yang menempatkan kedai cenderamata dan juga restoran yang boleh dikunjungi oleh pelancong. Anda boleh membeli cenderahati untuk diberi kepada ahli keluarga dan juga sebagai kenangan untuk diri sendiri.

Rumah Kristal Okurayama

AKSES

  • Bas

Tempat ini boleh dilawati dengan menaiki bas dari Stesen Maruyama Koen Tozai yang mengambil masa 5 minit dengan bayaran sebanyak 200 yen. Anda juga boleh menaiki bas yang bernombor 14 ke perhentian bas Okuraya Kyogijo Iriguchi yang mengambil masa 10 minit dengan bayaran 210 yen.

Bas Tempatan
  • Teksi

Selain bas, anda juga boleh menaiki teksi dari Stesen Sapporo ke tempat melompat ski yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dengan kos sekitar 2500 yen hingga 3000 yen.

Teksi

MAKANAN HALAL

Makanan halal pasti menjadi keutamaan bagi pelancong muslim yang berkunjung ke luar negara khususnya. Pada masa sekarang makanan halal tidak menjadi satu masalah buat pelancong muslim kerana semakin banyak restoran halal dan muslim friendly yang boleh didapati di Jepun.

  • Horyu Ramen

Anda tidak boleh meninggalkan Sapporo tanpa mencuba makanan asli Jepun iaitu ramen. Anda perlu mencuba Genghis Khan Miso Ramen sekiranya anda singgah di Horyu Ramen. Genghis Khan Miso Ramen adalah hidangan terkenal disini dihidangkan dengan sup istimewa dan hirisan daging kambing yang banyak.

Anda pasti akan merasa satu kepuasan apabila merasai hidangan istimewa dari mereka. Horyu Ramen bukan sahaja terkenal dikalangan pelancong tetapi juga terkenal dikalangan penduduk tempatan. Tidak hairan sekiranya anda perlu beratur panjang sekiranya anda ingin makan malam atau makan tengah hari di sini.

Restoran Horyu Ramen
  • Restoran Makanan India Jyoti

Sekiranya anda sudah bosan dengan makanan Jepun anda boleh mencuba restoran ini untuk merasai kelazatan makanan asli India. Restoran ini diasaskan oleh Mahavir San yang merupakan bekas pelajar di Jepun.

Restoran ini menyajikan makanan India seperti samosa, kari, dhal dan bermacam-macam jenis makanan asli orang india. Dengan cuaca yang sejuk, hidangan yang panas serta pedas pasti akan membangkitkan selera anda untuk menjamu selera.

Makanan India

TEMPAT SOLAT

Sekiranya anda seorang muslim dan berkunjung ke luar negara, tempat solat pasti menjadi keutamaan bagi anda. Di sini kami kongsikan tempat untuk anda menunaikan solat sekiranya anda berkunjung ke Okurayama, Sapporo. Untuk pengetahun anda, agak sukar untuk anda mencari bilik solat atau masjid di kawasan berdekatan.

Anda boleh menunaikan solat di masjid Sapporo. Ruangan solat serta tempat berwudhu yang terdapat di sini membuatkan anda lebih untuk menunaikan solat. Namun jarak antara kedua-dua tempat ini agak jauh. Masa perjalanan selama lebih kurang 20 minit diperlukan jika anda menaiki teksi. Jika anda menaiki kereta api, masa yang diperlukan adalah kira-kira 40 mini.

Anda juga boleh menunaikan solat di mana-mana kawasan lapang yang bersih dan tidak menganggu orang awam. Anda hanya perlu membawa sejadah dan memakai pakaian yang bersesuaian untuk dibawa solat.

Masjid Sapporo

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e5308.html
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Okurayama_Ski_Jump_Stadium
  3. http://www.sapporo.travel/find/sports/winter_sports_museum/?lang=en
  4. https://www.japan.travel/en/spot/2214/
  5. https://japanwalkersea.com/finding-halal-food-sapporo-hokkaido/


,

Furano

INFO DAN SEJARAH

Furano merupakan sebuah Bandar di Wilayah Hokkaido yang tekenal dengan landskap luar bandar yang sangat indah. Taman lavender seperti Ladang Tomita dan juga pemandangan Gunung Tokachi yang menakjubkan menjadikan bandar ini sebagai salah satu destinasi pilihan pelancong. Selain bunga poppy, teratai, dan bunga matahari juga terdapat di kawasan Nakafurano.

Furano Ropeway yang merupakan resort gondola menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari lembah dan dibuka sepanjang tahun. Ekonomi di bandar Furano bergantung kepada industri perlancongan. Hal ini kerana bandar ini banyak menerima pelancong untuk melawati ladang lavender dan juga resort ski serta penanaman anggur yang diuruskan secara perbandaran.

Selain itu, Furano juga terkenal dengan produk tenusu seperti susu dan keju dan produk Furan Delice yang merupakan produk terkenal di sini. Masa yang terbaik untuk anda berkunjung ke sini adalah pada bulan Julai iaitu apabila bunga lavender sedang berkembang cantik. Di samping itu, bandar ini juga menjadi pusat peranginan ski untuk melakukan aktiviti ski menuruni bukit.

TEMPAT MENARIK

Anda pasti tidak akan menyesal sekiranya anda bercuti ke sini kerana terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati.

  • Taman Bunga Furano

Pemandangan taman lavender yang begitu mengasyikkan membuatkan pelancong terus menerus berkunjung ke sini terutamanya pada musim panas. Lavender telah ditanam di Hokkaido selama lebih dari setengah abad dan bunga ini kebiasaanya akan mula berkembang pada akhir bulan Jun dan mencapai kemuncaknya dari sekitar pertengahan bulan Julai hingga awal bulan Ogos.

Selain Lavender, terdapat juga bunga lain seperti bunga poppy, bunga matahari dan teratai yang membuatkan Furano menjadi destinasi menarik walaupun diluar musim lavender. Bulan terbaik untuk melihat kecantikan bunga disini ialah antara bulan Jun dan September. 

Di wilayah ini terdapat banyak taman bunga yang tersedia untuk kunjungan pelancong tetapi tempat terbaik untuk anda melihat lavender ialah Ladang Tomita dimana tumbuhnya bunga lavender yang cantik dengan Pergunungan Tokachi yang menakjubkan sebagai latar belakang.

Tiada bayaran masuk dikenakan untuk ladang bunga di sini. Selain itu di sini juga disediakan kafe dan pelbagai produk yang berkaitan lavender. Ladang ini akan menjadi sibuk dan menerima kunjungan pelancong yang ramai sewaktu kemuncuk musim bunga serta lavender.

Ladang Tomita yang kedua dibuka pada tahun 2008 dan dikenali sebagai Lavender east. Lavender East terletak kira-kira empat kilometer di sebelah timur Ladang Tomito dan merupakan ladang lavender yang terluas di Furano yang merangkumi keluasan 14 hektar. Sekiranya anda berkunjung ke sini, anda berpeluang merasai perjalanan “Lavender Bus” iaitu anda akan dibawa menaiki bas selama 15 minit menyusuri ladang lavender yang mekar berkembang.

Selain itu, Kamifurano Bunga Tanah juga merupakan ladang lavender dan juga bunga-bunga yang lain. Kedudukannya yang unik di lereng bukit akan memberikan pemandangan yang indah dari kawasan gunung Tokachi ditambah dengan kecantikan bunga yang semulajadi.

Seandainya anda melawati ladang ini, anda akan merasai pengalaman menyusuri ladang bunga dengan traktor dan anda dapat merasai peluang memetik bunga lavender dengan tangan anda sendiri.

Ladang Tomita sentiasa dibuka kepada pelancong bermula jam 8.30 pagi sehingga pukul 5 petang dan tiada bayaran dikenakan. Untuk Lavender East, ladang ini hanya dibuka pada bulan Julai dari jam 9 pagi sehingga 4.30 petang dan akan ditutup padan bulan Ogos sehingga Jun. Bayaran sebanyak 200 yen dikenakan sekiranya anda menaiki bas untuk menyusuri ladang lavender.

Kamifurano Bunga Tanah pula akan ditutup kepada orang ramai pada penghujung bulan Disember sehingga pertengahan bulan Januari dan tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke ladang ini. Waktu operasi di ladang ini berbeza-beza mengikuti bulan dan pastikan anda memeriksa waktu operasi ladang ini sebelum melawatinya.

Ladang Tomita
Bunga Poppy
  • Biei

Merupakan sebuah Bandar kecil yang dikelilingi oleh bukit dan ladang yang luas sebagai landskap yang menakjubkan. Berbasikal ataupun memandu menyusuri bukit-bukit dan ladang-ladang bunga adalah salah satu cara yang anda boleh lakukan untuk menikmati pemandangan semulajadi di sini. Kawasan barat laut bandar ini dikenali sebagai “ Jalan Patchwork” manakala kawasan selatan Bandar ini dikenali sebagai “Jalan Panorama”.

Jalan Patchwork adalah kawasan yang indah di barat laut Bandar Biei dan dinamakan sempena ladang yang dapat dilihat dari atas jalan. Jalan ini mempamerkan landskap luar bandar yang indah sepanjang tahun.

Selain itu, Bukit Pemerhati Hokusei juga merupakan salah satu tarikan di sini. Bukit yang mempunyai struktur piramid ini memberikan pemandangan indah ladang Biei dan juga Bukit Zerebu yang merupakan sebuah taman bunga yang boleh anda lawati dengan hanya berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Bukit Zerebu sentiasa dibuka kepada umum dan tiada bayaran masuk dikenakan dan mula dibuka pada jam 9 pagi sehingga pukul 5 petang.

Jalan Panorama juga menawarkan keindahan luar biasa dan cara yang paling menarik untuk anda menikmati pemandangan disini adalah dengan berbasikal atau menaiki kereta.

Bukit Shikisai adalah taman bunga yang luas dengan pelbagai ladang bunga yang menghiasi disepanjang jalan bukit ini. Anda boleh menikmati pemandangan ini dengan berjalan kaki menyusuri jalan atau menyewa kereta buggy atau traktor.

Ladang Kanno juga merupakan salah satu taman bunga yang kecil yang sering menjadi tarikan pengunjung. Ladang ini akan ditutup pada pertengahan bulan Oktober sehingga pertengahan bulan Jun dan tiada bayaran masuk dikenakan. Bukit Shikisai dibuka bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 6 petang dan sentiasa dibuka sepanjang tahun. Tiada bayaran masuk dikenakan.

Bukit Shikisai
  • Kolam Biru (Blue Pond)

Selain pemandangan taman bunga yang menarik, kolam biru juga menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke sini. Pada awalnya kolam ini tidak dipromosi sebagai tempat pelancongan. Namun sejak kebelakangan ini ia menjadi sebahagian daripada sistem kawalan hakisan yang dibina untuk mencegah kerosakan kepada Biei sekiranya terjadi letusan dari Gunung Tokachidake yang berdekatan.

Kolam ini tidak banyak terdedah kepada pembangunan untuk pelancongan. Disini pelancong akan berjalan selama 5 hingga 10 minit melintasi hutan untuk ke kolam ini dan anda boleh menikmati pemandangan semulajadi yang menghijau sepanjang perjalanan.

Kolam Biru
  • Kilang Keju Furano

Kilang keju ini membolehkan pengunjung untuk melihat sendiri proses pengeluaran keju jenis camembert tempatan melalui cermin kaca besar. Anda berpelung untuk merasai keju hitam yang warnanya didapati daripada dakwat sotong di kilang ini.

Disamping pembuatan keju, terdapat juga kilang aiskrim dan juga kilang pizza serta kelas untuk membuat mentega, aiskrim, roti dan juga keju. Daripada stesen Furano, anda perlu menaiki kereta dan perjalanan hanya mengambil masa 5 minit sahaja.

Kilang ini dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang dan akan ditutup pada 31 disember hingga 3 januari. Tiada bayaran masuk dikenakan tetapi bayaran akan dikenakan sekiranya anda memasuki bengkel untuk membuat mentega, asikrim, roti atau keju.

Kilang Keju
  • Resort Ski Furano

Bandar ini juga terkenal dengan aktiviti ski dan Resort Ski Furano merupakan salah satu resort yang terkenal di sini. Resort ini merangkumi dua puncak yang bersambung menawarkan trek ski yang panjang serta menarik yang digunakan untuk perlumbaan piala dunia.

Selain itu, beberapa lereng yang lebih luas dan lembut membuatkan ia sesuai untuk sesiapa yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ski ini. Bagi mereka yang sudah mahir, trek-trek yang mencabar dan berbukit juga sesuai untuk mereka mengasah bakat disini.

Selain aktiviti ski, resort ini juga menyediakan Family snowland dimana anda boleh mencuba aktiviti salji yang lain seperti kereta salji, parasailing dan juga salji berakit. Di pangkalan resort ini terdapat dua hotel yang besar dengan pintu belakangnya membawa anda terus ke kawasan ski.

Akhir bulan November sehingga awal bulan Mei merupakan bulan yang sesuai untuk anda berkunjung ke sini. Bayaran masuk sebanyak 5700 yen akan dikenakan sekiranya anda mengambil pakej penuh manakala 5100 yen sekiranya anda mengambil pakej separuh hari. Tetapi hanya 2000 yen dikenakan sekiranya anda ingin berada disana pada malam hari sahaja.

Resort Ski

AKSES

Anda mempunyai dua pilihan untuk ke Bandar Furano sekiranya anda daripada Tokyo iaitu melalui penerbangan dan kereta api.

  • Penerbangan

Syarikat penerbangan JAL dan Air Do mengendalikan beberapa penerbangan sehari antara Lapangan Terbang Haneda Tokyo dan lapangan Terbang Asahikawa berdekatan dengan Furano. Kebiasaanya JAL akan menawarkan tiket sekitar 45,000 yen akan tetapi kebiasaanya anda akan mendapat potongan antara 17,000 sehingga 23,000 yen.

Anda boleh melakukan penjimatan dengan menaiki penerbangan Air Do yang kebiasaanya akan menawarkan harga tiket 20 peratus lebih murah dari JAL. Bas yang menghubungkan Lapangan terbang Asahikawa dengan Biei akan dikenakan tambang sebanyak 370 dengan masa perjalanan 15 minit. Manakala daripada furano dikenakan tambang sebanyak 770 yen dengan masa perjalanan yang lebih panjang iaitu 60 minit.

Kapal Terbang JAL
  • Kereta api

Anda akan melakukan pemindahan di Stesen Shin-Hakodate-Hokuto di Sapporo dan Takikawa sekiranya anda dari Tokyo dan ingin menuju ke Furano. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 10 jam dengan kos sekitar 29,000 yen satu hala dengan menggunakan Jepun Rail Pass.

Kereta Api

MAKANAN HALAL

Pelancong yang beragama islam tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana terdapat beberapa kedai makan yang menarik serta halal dapat dinikmati oleh pelancong muslim.

  • Syunnikusyunsai Tohachi

Restoran ini diusahakan oleh pengusaha sebuah kedai daging kambing. Daging kambing disukai oleh penduduk Hokkaido dan digunakan dalam masakan tempatan mereka.

Restoran ini menyajikan hidangan daging yang menarik dan unik seperti nasi didalam periuk batu yang akan menghasilkan bunyi daging yang dipanggang yang pasti akan membangkitkan selera anda. Anda harus mencuba Jingisukan goreng dan sayur yang berharga 980 yen yang menggunakan daging kambing yang halal dan sayur yang garing.

Hidangan Daging
  • Yotsuba Ramen

Restoran ini adalah restoran yang pakar dalam pembuatan ramen niboshi yang membuatkan anda berselera untuk mencuba ramen ini. Sup ramen di sini dibuat dari beberapa jenis ikan bilis yang dihasilkan di Setouchi dan Nagasaki. Tiada perasa atau bahan kimia ditambah semasa proses memasak. Harga ramen di restoran ini sekitar 750 yen semangkuk.

Ramen

TEMPAT SOLAT

Tempat solat juga menjadi keutamaan bagi pelancong muslim apabila melancong ke luar negara. Di sini terdapat beberapa tempat yang menyediakan ruangan solat yang menjadi kemudahan kepada pelancong muslim.

Seiring dengan penambahan bilangan pelancong muslim ke Furano, ruang solat telah disediakan di dalam Ladang Tomita. Ruang solat lengkap dengan tempat berwudhu terletak di tingkat 2 rumah Hanabito.

Selain itu, ruang solat juga ada disediakan di Stesen Kereta Api Asahikawa. Terletak di pusat maklumat pelancongan ruang solat ini juga lengkap dengan tempat mengambil wuduk.

Selain itu anda juga boleh menunaikan solat di bilik solat Lapangan Terbang Asahikawa yang terletak di tingkat tiga.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e6829.html
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Furano,_Hokkaido
  3. https://www.halalmedia.jp/archives/30870/hokkaido-asahikawa-map-for-muslim-is-completed/
  4. https://www.halalgourmet.jp/restaurant/895531
  5. https://www.halalmedia.jp/archives/27239/prayer-room-established-lavender-field-farm-tomita-hokkaido/
  6. https://www.halalmedia.jp/archives/23397/a-prayer-space-is-now-available-at-asahikawa-airport-in-hokkaido/2/
,

Niseko

 INFO DAN SEJARAH

Niseko adalah sebuah bandar yang terletak di Utara bahagian Hokkaido Jepun berhampiran dengan gunung berapi tidak aktif, Gunung Yotei. Niseko di kelilingi oleh pusat-pusat ski utama dan juga pelbagai resort peranginan air panas yang dikenali sebagai Onsen.

Niseko juga terkenal dengan sungai yang indah di Jepun yang dikenali sebagai jeram putih iaitu Sungai Shiribetsu. Oleh kerana kualiti saljinya yang turun di sini adalah yang terbaik, banyak resort ski telah dibina disini dan ia amat terkenal dikalangan peluncur-peluncur ski.

Sejak kebelakangan ini, bandar ini amat popular sebagai kawasan peranginan kerana pemandangan semulajadi nya yang menakjubkan dan juga senang diakses oleh pengunjung. Selain daripada laluan ski yang panjang, banyak resort di Niseko menawarkan pengembaraan musim sejuk untuk menjelajah laluan ski yang menjadi pilihan para pelancong.

Tempat peranginan ski Niseko semuanya terletak di Gunung Niseko-Annupuri. Tiga resort utama iaitu Grand Hirafu, Niseko Village dan Annupuri, meliputi sebahagian besar dari separuh tenggara gunung manakala beberapa pusat peranginan yang lebih kecil melambangkan perimeter mereka. Anda boleh menggunakan Pas Niseko All Mountain untuk akses kepada tiga resort ini.

TEMPAT MENARIK

  • Niseko Ski Resort

Tiga resort yang paling terkenal untuk aktiviti ski di sini ialah, Grand Hirafu, Niseko Village dan juga Annupuri.

1.     Grand Hirafu

Grand Hifaru merupakan pusat peranginan yang terbesar di Niseko dan satu-satunya resort yang mempunyai kawasan bandar yang besar di sekitar pangkalan utamanya iaitu Bandar Hirafu. Bandar ini mempunyai pelbagai hotel mewah, rumah percutian, dan juga restoran.

Masyarakat di bandar ini sangat mesra dengan pelancong dan anda pasti tidak akan merasa janggal melawati bandar ini. Pada waktu malam, bandar ini hidup dengan hiburan dan meriah dengan kunjungan pelancong.

Kebanyakan restoran di bandar ini menyajikan makanan barat dan kedai serbaneka disini juga menjual pelbagai jenis makanan yang diimport dari seluruh negara. Resort ini boleh di akses dari Stesen Kutchan selama 15 minit perjalanan dengan menaiki kereta api atau bas.

Masa yang sesuai untuk berkunjung ke sini adalah pada akhir bulan November sehingga awal bulan Mei. Untuk bayaran tiket anda akan dikenakan bayaran sebanyak 5900 yen untuk 1 hari, manakala untuk separuh hari anda perlu membayar sebanyak 4800 yen. Anda hanya perlu membayar 2700 yen sahaja sekiranya anda berkunjung pada waktu malam.

Grand Hifaru

2.     Resort Niseko Village Ski

Tempat peranginan yang seterusnya ialah Niseko village atau dahulunya dikenali sebagai Higashiyama. Resort ini terletak di barat Grand Hirafu dan menawarkan beberapa rumah penginapan dan dua hotel besar termasuklah Hilton Niseko Village. Restoran, bar, kedai serbaneka dan juga butik ada juga terdapat di sini.

Anda juga tidak perlu membazir duit untuk membeli peralatan ski kerana di sini ada menyediakan perkhidmataan sewaan peralatan ski. Untuk sampai ke sini, anda perlu menaiki kereta api atau bas selama 30 minit dari Stesen Kutchan.

Sekiranya anda berhajat untuk berkunjung ke sini, masa yang sesuai adalah pada awal bulan Disember hingga awal bulan April. Bayaran sebanyak 5900 yen dikenakan untuk pakej satu hari manakala bayaran sebanyak 5200 yen dikenakan untuk separuh hari. Sekiranya anda hanya mahu berkunjung pada waktu malam, anda hanya perlu membayar tiket sebanyak 2000 yen sahaja.

Niseko Village Ski Resort

3.     Resort Annupuri

Resort yang ketiga yang terletak paling barat ialah Resort Annupuri. Apa yang menariknya di resort ini adalah laluan skinya yang tidak begitu curam berbanding dua resort sebelumnya membuatkan ia terkenal dikalangan pelancong yang baru mencuba aktiviti ini.

Di pangakalan Annupuri ada terdapat hotel, banglow dan rumah percutian kecil untuk pelancong yang berkunjung ke sini. Akan tetapi oleh kerana kawasan ini kurang dikunjungi oleh pelancong, makanan dan hiburan pada waktu malam adalah sedikit terhad di resort ini.

Akhir bulan November sehingga awal bulan Mei adalah masa yang paling sesuai untuk berkunjung ke resort ini. Anda perlu menempuh perjalanan selama 45 minit dengan menaiki bas atau kereta api. Sekiranya anda ingin memandu kereta kesini, anda perlu memandu sejauh 8 kilometer dari pusat bandar Niseko.

Untuk bayaran masuk, sekiranya anda ingin berada di sini selama 1 hari anda perlu membayar sebanyak 5400 yen. Jika anda hanya ingin berada disini separuh hari sahaja anda perlu membayar sebanyak 4400 yen. Hanya 2200 yen sahaja dikenakan sekiranya anda hanya ingin berada di resort ini pada waktu malam sahaja.

Resort Annupuri
  • Menaiki Rakit di Sungai Shiribetsu

Niseko dianugerahkan dengan sebatang sungai yang mengalir melewati bandar dan tempat ini sangat sesuai untuk anda menghabiskan cuti musim panas dengan melakukan aktiviti di dalam air. Beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan sekiranya anda berkunjung ke sini seperti menaiki rakit dan perahu di sepanjang sungai.

Khidmat sewaan peralatan berakit ada disediakan disini. Selain menghabiskan cuti, aktiviti ini salah satu cara terbaik untuk anda menikmati dan mengambil gambar pemandangan Niseko tanpa perlu mendaki dan berjalan.

Perjalanan berakit bermula di kaki Gunung Yotei. Ia mengalir melalui kawasan pedalaman Niseko sepanjang lapan kilometer atau 1.5 jam perjalanan yang mencabar dan menarik. Bayaran dikenakan adalah sebanyak 3200 yen untuk seorang. Aktiviti ini hanya dibenarkan untuk pengunjung yang berumur 8 tahun dan ke atas.

Menaiki Rakit
  •     Milk Kobo

Anda berpeluang untuk merasai pelbagai jenis susu yang terbaik di Milk Kobo yang terletak di Kampung Niseko (Niseko Village). Selain itu anda juga berpeluang untuk merasai aiskrim dan juga pelbagai keju berkrim. Di sini juga ada menjual pelbagai produk tenusu seperti yogurt dan juga pastri seperti puff berkrim dan tart keju.

Untuk anda yang juga penggemar kopi, anda wajib singgah di Milk Kobo kerana di sini juga ada menyediakan pelbagai jenis kopi yang dibuat dengan susu asli tempatan. Kedai ini dibuka bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.

Milk Kobo
  •    Berbasikal Mengelilingi Bandar

Anda boleh menikmati pemandangan Niseko yang menakjubka dengan mengayuh basikal mengelilingi bandar. Aktiviti ini merupakan salah satu cara untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan di bandar dan dikawasan sekitarnya.

Terdapat beberapa basikal percuma di 6 lokasi di sekitar Bandar Niseko dan salah satu antaranya adalah Kiranoyu Onsen yang terletak di seberang stesen kereta api Niseko.

Berbasikal di Niseko
  • Gunung Yotei

Gunung Yotei merupakan puncak utama di Niseko dan terletak di Hirafu. Kemuncak gunung ini adalah pada ketinggian 1,898 meter dan anda boleh mendaki sehingga ke puncak gunung ini pada musim panas.

Puncak gunung ini juga dikenali sebagai Ezo Fuji kerana dikatakan kelihatan sama dengan Gunung Fuji. Namun sekiranya anda berkunjung ke sini pada musim sejuk, anda tidak akan berpeluang untuk mendaki gunung ini.

Gunung Yotei
  • Niseko Village PURE

PURE yang terletak di Kampung Niseko (Niseko Village) merupakan sebuah taman permainan dan anda boleh mencuba pelbagai aktivit lasak di sini pada musim panas dan juga sejuk. Tempat ini sangat menyeronokkan terutamanya sekiranya anda datang bersama anak-anak.

Anda boleh menikmati pengembaraan yang menyeronokkan seperti pengembaraan merentasi hutan. Selain itu, anda juga boleh menaiki belon udara panas yang membolehkan anda menimati dan mengambil gambar pemandangan yang menakjubkan bandar Niseko.

Selain pengembaraan hutan, aktiviti untuk seisi keluarga juga ada disediakan di sini seperti gelanggang tenis dan padang golf cakera. Aktiviti sebegini pasti akan mengeratkan lagi hubungan anda sesama keluarga.

PURE, Niseko Village
  •   Kolam air panas (Onsen)

Sekiranya anda berkunjung ke sini, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pusat percutian air panas. Banyak lokasi air panas (onsen) yang ada disini. Di sini kami sertakan beberapa onsen yang terkenal dikalangan pelancong.

1.     Yugokorotei

Terletak berhampiran pintu masuk Ski Moiwa, onsen ini menjadi kegemaran para pelancong selama bertahun-tahun. Yugokorotei mempunyai kawasan air panas yang romantik yang membolehkan anda duduk menikmati kehangatan air panas semulajadi dan merasai angin yang nyaman dengan pemandangan yang amat menakjubkan. Anda hanya perlu memandu selama 10 minit daripada Hirafu untuk sampai ke sini.

Onsen Yugokorotei

2.     Kanronomori

Terletak di kawasan Ski Annupuri, ia adalah salah satu dari beberapa hotel yang membolehkan anda menyewa onsen peribadi untuk 1 jam. Dengan cara ini anda dapat menikmati pengalaman ini bersama-sama keluarga atau pasangan anda.

Onsen Kanronomori

3.     Koikawa

Penduduk Jepun menyukai onsen ini sejak berabad lamanya. Koikawa merupakan onsen tertua di Niseko yang telah dibuka selama lebih dari 117 tahun sejal tahun 1899 lagi. Onsen ini sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan kerana dipercayai air di sini dapat mencantikkan kulit.

Onsen Koikawa

AKSES

  • Bas

Dari bulan Disember hingga Mac, beberapa syarikat bas termasuk Bas Hokkaido Chuo, Bas Niseko, Good Sports Whiteliner dan Hokkaido Access Network mengendalikan bas terus dari hotel di Pusat Bandar Sapporo ke Bandar Niseko. Di Bandar Niseko, bas akan berhenti di 3 resort ski utama iaitu Hirafu, Niseko Village dan Annupuri.

Masa perjalanan adalah sekitar 2.5 jam sehingga 4 jam bergantung kepada lokasi dan destinasi yang anda tuju. Tambang bas adalah berbeza-beza mengikut syarikat bas. Bas Hokkaido Chuo dan Bas Niseko mengenakan tambang sebanyak 2600 yen untuk perjalanan sehala manakala bas Good Sports Whiteliner dan Hokkaido Access Network mengenakan tambang sebanyak 4000 yen.

Di luar musim sejuk, terdapat pilihan bas terhad antara Sapporo dan Niseko yang disediakan oleh Rangkaian Akses Hokkaido. Bas-bas ini beroperasi pada hujung minggu, antara lewat bulan Jun dan akhir September dengan kos sekitar 2500 yen.

Bas Hokkaido Chuo
  • Kereta api

Sekiranya anda ingin merasai pengalaman menaiki kereta api, anda boleh menaiki kereta api tempatan dari Stesen Sapporo dan Stesen Kutchan. Namun kebanyakannya memerlukan anda untuk menukar kereta api di Otaru.

Dengan menaiki kereta api Niseko Liner anda akan melakukan pemindahan kereta api di Otaru dan perjalanan sehala akan mengambil masa kira-kira 100 minit dengan tambang sebanyak 1840 yen. Kereta api ini sepenuhnya termasuk dalam pas laluan Jepun dan pas laluan Hokkaido.

Stesen Kutchan dan Stesen Niseko merupakan stesen pertukaran pengangkutan awam di rantau ini. Dari stesen Kutchan terdapat bas ke Hirafu setiap 1-2 jam. Perjalanan dari Kutchan ke Niseko Village mengambil masa kira-kira 30 minit. Perjalanan ke Annupuri pula mengambil masa selama 45 minit.

Kereta Api Niseko Liner

MAKANAN HALAL

Agak sukar untuk anda mencari makanan halal di Niseko. Akan tetapi anda boleh membeli makanan laut yang mudah didapati di sini dan memasak sendiri. Anda juga boleh memaklumkan kepada pihak hotel mengenai pilihan makanan anda. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan makanan halal di bandar berdekatan iaitu Otaru.

  •   Donburichaya Otaru

Donburichaya merupakan satu-satunya restoran di Otaru yang menyajikan makanan halal kepada pelancong muslim. Menu utama di restoran ini adalah makanan laut terutamanya salmon. Hidangan salmon mentah, dimana kepingan tebal salmon mentah dihidangkan bersama nasi.

Sekiranya anda berkunjung ke sini anda harus mencuba salmon panggang bersama sos miso. Rasa sos miso yang manis membangkitkan lagi rasa enak salmon. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan dan anda dapat menikmati hidangan serendah 800 yen.

Donburichaya Otaru

TEMPAT SOLAT

Sebagai seorang muslim, anda pasti menitik beratkan tempat untuk bersolat. Di kawasan Niseko tiada masjid yang disediakan untuk pelancong muslim. Anda perlu memandu sejauh 75 km ke Otaru sekiranya anda ingin menunaikan solat di Masjid Otaru.

Selain itu, anda boleh berkunjung ke Restoran Donburichaya Otaru kerana restoran mesra muslim ini ada menyediakan ruangan solat untuk pengunjung. Ruangan solat ini juga mempunyai ruang khusus untuk mengambil wudhuk dan akan memberikan keselesaan kepada pengunjung untuk menunaikan solat.

Kami mencadangkan untuk anda menunaikan solat di mana-mana kawasan lapang yang bersih dan tidak mengganggu orang awam. Anda juga boleh solat di kawasan parkir kereta atau mana-mana ruang dan sudut yang jarang dilalui oleh orang ramai. Anda hanya perlu membawa sejadah dan kelengkapan untuk mendirikan solat. 

Ruang Solat Di
Restoran Donburichaya Otaru

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e6720.html
  2. https://www.thecrazytourist.com/15-best-things-to-do-in-niseko-japan/
  3. http://360niseko.com/destination/niseko-region/
  4. http://trip-n-travel.com/listicle/13124/
  5. https://www.tripadvisor.com.my/Attractions-g321549-Activities-Niseko_cho_Abuta_gun_Hokkaido.html#ATTRACTION_SORT_WRAPPER
  6. https://blog.halal-navi.com/en/muslim-friendly-ski-resorts-japan/
  7. https://www.halaltrip.com/city-guide-details/249/niseko/
  8. https://en.wikipedia.org/wiki/Niseko,_Hokkaido
  9. https://www.zekkeicollection.com/en/niseko-best-onsen/
,

Mount Moiwa

INFO DAN SEJARAH

Gunung Moiwa amat terkenal dikalangan pelancong untuk menikmati pemandangan Kota Sapporo dari dek pemerhatian yang terletak di puncak gunung ini. Selepas pengubahsuaian pada tahun2011, keseluruhan kawasan boleh dilawati oleh semua pelancong tanpa bayaran. Terdapat banyak kedai cenderahati dan restoran yang ada disini.

Untuk pengetahuan anda,Sapporo telah dipilih sebagai salah satu tempat yang terbaik untuk anda menikmati pemandangan di waktu malam. Gunung Moiwa yang berketinggian 531 meter membolehkan anda menikmati pemandangan luar biasa Kota Sapporo terutamanya selepas matahari terbenam.

Daya tarikan yang utama disini adalah apabila anda berada di puncak gunung ini, anda dapat menikmati pemandangan Bandar Sapporo dengan pandangan 360°.

Untuk sampai ke Puncak GunungMoiwa, anda boleh menggunakan kereta kabel (The Mount Moiwa Ropeway) untuk ke stesen pertukaran sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Moiwa dengan menaiki kereta kabel mini. Dek pemerhatian dan juga restoran yang menyajikan pemandangan Kota Sapporo yang indah terletak di puncak gunung. Selain restoran dan dek pemerhatian, di sini juga terdapat planetarium dan teater.

Kereta kabel untuk ke puncak gunung akan beroperasi bermula jam 10.30 pagi sehingga 10 malam. Akan tetapi pada bulan Disember sehingga Mac kereta kabel ini akan mula beroperasi pada jam11 pagi.

Bayaran sebanyak 1700 yen dikenakan untuk perjalanan dua hala menggunakan kereta kabel dan kereta kabel mini. Manakala sekiranya anda menaiki kereta kabel sahaja anda akan dikenakan bayaran sebanyak 1100 yen dan 600 yen sahaja sekiranya anda menaiki kereta kabel mini sahaja.

TEMPAT MENARIK

  • Kedai Hadiah Moimoi Omise 

Sebelum anda menuju ke puncak gunung dengan menaiki kereta kabel mini, anda harus singgah di stesen Moiwa Chufuku. Selain anda boleh menikmati pemandangan di stesen ini anda juga boleh membeli cederamata untuk dibawa pulang di Moimoi Omise.

Untuk pengetahuan anda, tiada kedai cenderamat yang terdapat di puncak gunung dan sekiranya anda berhajat untuk membeli sesuatu, anda boleh membelimya di kedai ini. Kedai ini menawarkan pelbagai cenderamata yang unik yang melambangkan keunikan Hokkaido dan juga Sapporo.

Kedai Hadiah Moimoi Omise
  • Loceng Nasib (Fortune Bell) dan Kunci Cinta (Love Padlock)

Selain disajikan denganpemandangan Bandar Sapporo yang menakjubkan dari aras tinggi, di puncak bukit ini juga mempunyai Loceng Nasib dan juga Kunci Cinta. Dikatakan oleh dongeng dahulu sekiranya pasangan bercinta yang datang ke sini mengunci cinta mereka di pemegang tangan dan membunyikan loceng nasib bersama, kebahagian akan bersama dengan mereka pada masa hadapan. Lovers sanctuary di dek pemerhatian yang terletak di puncak gunung sentiasa mendapat perhatian pasangan kekasih untuk mengikrar cinta mereka.

Loceng Nasib
Kunci Cinta
  • Gunung Moiwa Ski Resort

Niseko Moiwa Ski Resort merupakan resort yang terkenal di kawasan ini. Resort ini mula dibuka kepada umum pada tahun 1966 dan sejak itu resort ini menjadi tempat kegemaran untuk dilawati oleh penggemar sukan ski. Resort ini biasanya dibuka pada pertengahan bulan Disember hingga akhir bulan Mac.

Resort ini bukan sahaja terkenal dikalangan penggemar sukan salji tempatan malah turut disukai oleh peminat sukan ski dari seluruh dunia. Resort disini banyak dilawati oleh pengemar sukan ski professional kerana kualiti salji yang turun disini adalah antara yang terbaik di dunia. Ketebalan salji disini juga boleh mencapai sehingga ketinggian 4 meter.

Sekiranya anda bukan pemain ski professional anda jangan risau kerana disini disediakan kursus dari peringkat permulaan sehingga ke tahap tinggi. Anda tidak perlu membeli peralatan kerana khidmat sewaan peralatan ski disediakan disini.

Anda juga masih berpeluang untuk menikmati pemandangan semula jadi yang menakjubkan disini kerana resort di kawasan gunung ini terpelihara daripada pembangunan yang berskala besar dan alam semula jadinya dikekalkan.

Resort Ski
Resort Ski
  • 7 spot menarik untuk menikmati pemandangan di Gunung Moiwa

Stesen Pangkalan Gunung Moiwa

Stesen ini mempunyai 4 tingkat bangunan dan pintu masuknya terletak di bahagian bawah bangunan. Stesen berlepas kereta kabel terletak di tingkat 4 bangunan dan anda boleh menaiki lif dari tingkat bawah untuk ke stesen berlepas yang terletak di tingkat 4.

Stesen Pangkalan Gunung Moiwa

Kereta kabel (pangkalan stesen ke pertengahan stesen)

Tingkap kaca besar yang terdapat di kereta kabel membolehkan anda menikmati pemandangan menakjubkan hutan Moiwa yang belum diterokai.. Anda juga boleh menikmatipemandangan Bandar Sapporo yang cantik. Bayaran sebanyak 1100 yen dikenakan bagi orang dewasa manakala 550 yen dikenakan bagi kanak-kanak.

Kereta Kabel

Stesen Pertengahan Gunung Moiwa

Di stesen ini terdapatnya kereta Morris yang merupakan kereta kabel mini dan anda boleh berpindah daripada ke kereta kabel ke kereta kabel mini didalam stesen ini. Stesen ini mempunyai 2 tingkat bangunan dan terdapat sebuah kedai yan menjual pelbagai cenderamata daripada Sapporo dan Hokkaido.

Stesen Pertengahan Gunung Moiwa

Kereta Morris (Pertengahan stesen hingga ke Stesen Summit)

Kereta Morris (kereta kabel mini) merupakan sistem pengangkutan pertama didunia yang akan membawa anda merentasi hutan unutk menikmati pemandangan yang menakjubkan. Kereta kabel mini ini akan membawa anda daripada pertengahan gunung sehingga ke puncak gunung yang membolehkan anda menikmati pemandangan hutan yang menghijau. Bayaran sebanyal 600 yen dikenakan unutk dewasa manakala 300 yen dikenakan untuk kanak-kanak.

Kereta Morris

Stesen Summit Gunung Moiwa (Platfom Pemerhati Gunung Moiwa)

Stesen ini merupakan terminal untuk kereta kabel mini dan mempunyai 2 tingkat bangunan. Di sini ada disediakan lif di tingkat bawah sehingga ke tingkat paling atas bangunan yang membolehkan anda menikmati pemandangan 360 darjah Bandar Sapporo yang menakjubkan. Anda masih boleh menikmati pemandangan Bandaraya Sapporo yang menakjubkan daripada sini walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Stesen Summit

Platfom Pemerhati Summit (Restoran)

Platfom di puncak bukit ini terdapat sebuah restorant “THE JEWELS” yang sesuai untuk semua golongan dan daripada sini anda dapat menikmati pemandangan Kota Sapporo yang menakjubkan.

Restoran The Jewels

Platfom Pemerhati Summit (Planetarium)

Di dewan Star, terdapat sebuah planetarium yang sama seperti planetarium pencipta terkenal Takayuki Ohira yang dipamerkan disini.

Planetarium

AKSES

  • Pengangkutan Awam

Dari Susukino, anda boleh menaiki teksi Sapporo ke Stesen kereta kabel Iriguchi dengan bayaran 170 yen selama 25 minit dan ia amat senang untuk didapati. Dari stesen kereta kabel Iriguchi, anda boleh menaiki bas ulang-alik secara percuma ke stesen kereta kabel bawah yang mengambil masa selama 5 minit. Anda juga boleh berjalan kaki selama 5 minit dari perhentian trem kereta kabel Iriguchi ke kereta kabel Gunung Moiwa.

Teksi
  • Kereta 

Anda boleh menaiki kereta untuk ke Gunung Moiwa melalui lebuh raya kanko daripada barat daya terus ke tempat letak kereta yang terletak di puncak gunung. Kos sebanyak 660 yen akan dikenakan sekiranya anda menaiki kereta sewa untuk ke Gunung Moiwa.

MAKANAN HALAL

Anda mungkin akan mengalami sedikit kesulitan untuk mendapatkan makanan halal di sekitar kawasan Gunung Moiwa. Jadi kami cadangkan untuk anda ke restoran yang berdekatan. 

  • Farm To Table TERRA

Restoran ini menghidangkan kebanyakan makanan barat dengan menggunakan bahan-bahan tempatan. Anda tidak perlu risau kerana label muslim friendly sememangnya tertera di menu dan ia pastinya halal untuk anda nikmati.

Anda perlu mencuba burger kambing keju Jepun sekiranya berkunjung ke sini. Restoran ini juga sesuai untuk pengunjung vegetarian kerana mereka juga menyediakan hidangan berasaskan sayur dan juga kacang soya. Restoran ini terletak kira-kira setengah jam dari Gunung Moiwa dengan menaiki kereta api. 

Farm To Table TERRA
  • Horyu Ramen

Anda tidak boleh meninggalkanSapporo tanpa mencuba makanan asli Jepun iaitu Ramen. Anda perlu mencubaGenghis Khan Miso Ramen sekiranya anda singgah di Horyu Ramen. Genghis KhanMiso Ramen adalah hidangan terkenal di sini yang di hidangkan dengan sup istimewa dan hirisan daging kambing.

Anda pasti akan merasa satu kepuasan apabila merasai hidangan istimewa daripada mereka. Ramen di sini bukan sahaja mendapat tempat di hati penduduk tempatan, tetapi juga sangat terkenal di kalangan pelancong asing. Tidak hairan sekiranya anda perlu beratur panjang sekiranya anda mengunjungi restoran ini untuk makan malam atau makan tengah hari.

Restoran Horyu Ramen

TEMPAT SOLAT

Anda boleh menunaikan solat di masjid Sapporo. Ruangan solat yang selesa dan tempat wuduk yang disediakan pasti membuatkan anda dapat menunaikan solat dengan selesa.

Jika anda mengalami kekangan untuk ke masjid, anda juga boleh menunaikan solat di mana-mana kawasan lapang yang bersih dan tidak menganggu orang awam. Anda hanya perlu membawa sejadah dan memakai pakaian yang bersesuaian untuk dibawa solat.

Masjid Sapporo

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e5309.html
  2. http://niseko-moiwa.jp/aboutmoiwa/
  3. https://www.vikipandit.com/lovers-sanctuary-on-mt-moiwa/
  4. https://www.fun-japan.jp/my/articles/8993
  5. https://hokkaido-labo.com/en/moiwa-mountain-night-view-585
  6. http://www.uu-hokkaido.com/corporate/moiwa.shtml
,

Kyoto

INFO DAN SEJARAH

Jepun merupakan sebuah negara maju yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong dengan ciri-ciri tradisional dan budaya yang sentiasa dikekalkan. Salah satu lokasi yang sentiasa menjadi pilihan para pelancong ialah Kyoto. Ia merupakan sebuah bandar yang terletak di tengah-tengah pulau Honshu dan antara tempat yang mesti dikunjungi apabila melancong ke Jepun. Dengan populasi seramai 1.5 juta orang, Kyoto termasuk dalam 10 bandar terbesar di Jepun dan merupakan ibu negara Jepun dari tahun 794 sehingga 1868.

Kyō, Miyako atau Kyō no Miyako merupakan nama yang diberikan untuk bandar ini sehingga abad ke-11 apabila bandar ini dinamakan Kyoto. Peperangan, gempa bumi dan kebakaran yang berlaku di Kyoto pada abad ke-11 telah memusnahkan banyak tempat di sini. Namun bandar yang memiliki nilai sejarah yang sangat berharga ini telah terselamat dari perang dunia kedua dan terlepas dari serangan bom. Banyak tempat bersejarah di Kyoto seperti kuil dapat dikekalkan sehingga hari ini.

Dengan adanya 1,600 kuil dan 400 “Shinto shrine”, taman-taman dan istana yang masih kekal hingga ke hari ini, Kyoto menjadi antara sebuah bandar yang paling terjaga di Jepun. Selain terkenal dengan ciri-ciri tradisional, Kyoto juga merupakan tempat berkembangnya industri teknologi maklumat dan barangan elektronik.

APA YANG MENARIK

Antara destinasi yang menjadi tarikan utama pelancong ialah:

  • Kiyomizu-dera/Pure Water Temple

Kuil Buddha ini merupakan salah satu kuil yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong asing dan tempatan kerana kedudukannya di lereng gunung. Ianya terletak di gunung Otawa di timur Kyoto dan dinamakan sempena air terjun Otawa yang jernih. Air terjun ini terletak di bahagian bawah dewan utama kuil dan biasanya pengunjung akan meminum air tersebut menggunakan cawan yang disediakan. Kuil yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadi ini telah tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO. Anda boleh melihat pemandangan indah di sekitar kawasan bawah kuil ini terutamanya semasa musim bunga yang dipenuhi bunga sakura dan juga musim luruh. Kuil ini dibuka untuk pengunjung sekitar jam 6 pagi sehingga 6 petang dengan bayaran masuk sekitar 300 yen.

Kiyomizu-dera
  • Kinkaku-ji (Golden Pavilion)

Kuil Kinkakuji yang juga dikenali sebagai Rokuonji merupakan kuil Zen terletak di utara Kyoto dan  sangat terkenal dalam kalangan pengunjung kerana reka bentuknya yang unik. Sebahagian besar kuil ini disaluti daun emas dan yang pasti ianya kelihatan sangat cantik untuk anda bergambar kenang-kenangan di sini. Kuil ini telah dibina di dalam tasik yang menjadikan ia lebih unik namun pengunjung tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan kuil ini. Kuil yang merupakan tempat beristirehat shogun Ashikaga Yoshimitsu ini telah dibina pada tahun 1397. Ianya beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk sebanyak 400 yen.

Kinkaku-ji (Golden Pavilion)
  • Fushimi Inari-taisha

Fushimi Inari-taisha merupakan kuil utama Inari yang terletak di kaki gunung Inari yang berketinggian 233 meter. Selain itu, kuil Shinto yang terletak di wilayah Fushimi ini sangat terkenal dengan beribu ‘torii gates’ yang berwarna oren kemerahan di sepanjang perjalanan ke gunung Inari. Ianya telah disumbangkan oleh individu dan syarikat-syarikat Jepun seperti yang tertulis di setiap ‘torii gates’ tersebut. Terdapat kedai cenderamata dan makanan di sepanjang perjalanan anda melalui ‘torii gate’ untuk mendaki ke atas gunung tersebut dan anda akan dapat melihat pemandangan Kyoto apabila berada di puncak. Biasanya anda memerlukan masa selama 3-4 jam untuk sampai di puncak dan turun semula ke bawah. Tempat ini dibuka setiap hari selama 24 jam dan masuk adalah percuma.

Fushimi Inari-taisha
Torii gates
  • Nijo Castle

Istana ini telah dibina pada tahun 1603 oleh Tokugawa leyasu yang merupakan shogun pertama pada zaman Edo. Pembinaan istana ini telah siap selepas 23 tahun dan telah dibuka kepada umum sebagai tempat bersejarah selepas kejatuhan Tokugawa Shonugate pada tahun 1867. Istana Nijo termasuk dalam senarai tapak warisan dunia (UNESCO) pada tahun 1994 kerana nilai sejarahnya yang tersendiri. Istana ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Honmaru, Ninomaru dan taman yang mengelilingi dua kawasan tersebut. Bayaran untuk masuk ke sini adalah sebanyak 600 yen. Keindahan istana dan taman yang terdapat di sini pastinya sangat berbaloi untuk anda lawati.

Nijo Castle
  • Arashiyama Bamboo Grove

Jika anda ingin tenangkan fikiran dan menikmati pemandangan alam semula jadi yang kehijauan, di sinilah tempatnya! Suasana yang sejuk dan dikelilingi oleh pokok-pokok buluh di kiri dan kanan anda sepanjang berada di sini pastinya akan membuatkan anda berasa tenang. Untuk sampai ke sini anda boleh menggunakan jalan utama Arashiyama yang terletak berdekatan pintu masuk kuil Tenryu-ji. Anda pasti berasa teruja dengan perjalanan anda untuk sampai ke atas kerana di puncak bukit ini terletaknya Okochi-Sanso Villa yang sangat cantik.

Arashiyama Bamboo Grove

Anda harus merancang perjalanan anda dengan sebaiknya kerana di Kyoto terdapat banyak lagi tempat menarik untuk anda lawati antaranya ialah Gion, Nishiki Market, Kyoto Imperial Palace dan Kyoto National Museum.

AKSES

  • Dari Tokyo ke Kyoto

Anda boleh menaiki keretapi berkelajuan tinggi menggunakan JR Tokaido Shinkansen dengan tambang sekitar 13,080-14,000 yen bergantung kepada jenis ‘shinkansen’ yang anda naiki.

  • Nozomi trains (140 minit)
  • Hikari trains (160 minit)
  • Kodama trains (4 jam)
Shinkansen 

Anda juga boleh menaiki bas dari Tokyo ke Kyoto yang mengambil masa sekitar 7-8 jam. Biasanya tambang bas sekitar 3,500-10,000 yen bergantung kepada jenis bas yang anda naiki.

Selain itu, anda boleh menaiki kapal terbang dari lapangan terbang Haneda atau Narita ke Kansai International Airport, Osaka selama satu jam setengah. Seterusnya anda perlu menaiki JR Airport Express Haruka Train untuk ke Kyoto selama 75 minit.

  • Semasa berada di Kyoto, anda boleh menggunakan perkhidmatan bas (Kyoto City Bus/Kyoto Bus) untuk ke sesuatu destinasi.
  • Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan Subway semasa berada di Kyoto:
  • Karasuma Line
  • Tozai Line
  • Japan Railways juga merupakan pilihan terbaik anda semasa berada di sini terutamanya jika anda ingin ke Arashiyama (Sagano Line) atau Fushimi Inari Shrine (Nara Line).
Kyoto City Bus

MAKANAN HALAL

Terdapat pelbagai pilihan makanan halal yang boleh didapati di sekitar Kyoto dan anda perlu merancang untuk memilih restoran yang berdekatan dengan tempat anda lawati bagi memudahkan perjalanan anda.

  • Ayam-Ya

Bagi peminat ramen, restoran ini pasti tidak mengecewakan anda kerana terdapat pelbagai pilihan di sini dengan harga yang berpatutan (700-1000 yen). Anda perlu berjalan kaki sekitar 10 minit dari stesen Kyoto untuk ke sini.

Ayam-Ya
  • Halal ramen Gion Naritaya (Higashiyama-ku, Kyoto-shi)

Restoran ramen dibuka dari 11 pagi sehingga 10 malam. Jika dari stesen Gion Shijo, anda perlu berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit untuk ke sini. (Harga: 700 yen-1000 yen).

  • Naritaya Halal Yakiniku (Higashiyama-ku, Kyoto)

Jika anda ingin mencuba Japanese yakiniku, restoran ini menyediakan hidangan daging wagyu halal dan beroperasi dari 11.30 pagi sehingga 10 malam.

Selain itu, terdapat beberapa lagi restoran halal di sekitar Kyoto seperti Istanbul Saray, Raju Kyodai-mae, Asian Kitchen Salam dan Ali Baba.

TEMPAT SOLAT

Mencari lokasi untuk solat sentiasa menjadi keutamaan bagi pelancong muslim di luar negara. Apabila melancong ke Jepun, khususnya Kyoto anda tidak perlu risau kerana di sini terdapat beberapa tempat untuk solat.

  • Kyoto Tower

Menara ini terletak berhampiran dengan stesen Kyoto dan anda hanya perlu berjalan kaki selama beberapa minit untuk sampai ke sini. Ruang solat terletak di tingkat tiga bangunan ini dan anda perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada staf di Kansai Tourist Information Center sebelum menggunakan ruang solat tersebut. Di sini terdapat ruang untuk berwudhu dan ruang solat untuk lelaki dan perempuan juga diasingkan.

Ruang Solat
  • Anda juga boleh menggunakan ruang solat yang disediakan di restoran Ayam-Ya Halal Ramen.  
  • Restoran Gion Naritaya juga ada menyediakan ruang solat bagi memudahkan pelanggan muslim menunaikan solat.

RUJUKAN

  1. http://www.halalmedia.jp/archives/15470/muslim-friendly-restaurant-and-prayer-room-around-kyoto-station/2/
  2. https://kyoto.travel/en
  3. https://www.tripadvisor.com.my/Restaurants-g298564-zfz10751-Kyoto_Kyoto_Prefecture_Kinki.html
  4. https://www.japan-guide.com/e/e2158.html#section_main_content
  5. https://japancheapo.com/travel/fushimi-inari-shrine-makes-japans-no-1-attraction/
  6. https://theculturetrip.com/asia/japan/articles/the-top-10-things-to-do-and-see-in-kyoto/