Kiriman

,

Harajuku

INFO DAN SEJARAH

Jika anda membuat perancangan untuk melancong ke Jepun, pasti anda menginginkan destinasi menarik yang akan memberi anda kenangan yang tidak akan dilupakan. Kami mencadangkan Harajuku sebagai tempat yang wajib dilawati jika anda berada di Tokyo.

Di sini anda dapat melihat pelbagai jenis fesyen yang digayakan oleh anak-anak muda dan pelbagai jenis barangan fesyen boleh di dapati di sini. Di sini juga terdapat kuil yang terkenal dengan keunikannya yang tersendiri.

Harajuku terletak di sekitar stesen Harajuku Tokyo dan berada di antara Shibuya dan Shinjuku di Yamanote Line. Sebelum zaman Edo, Harajuku merupakan sebuah bandar kecil yang menjadi tempat persinggahan bagi pengguna lebuhraya Kamakura.

Harajuku juga menjadi tempat berkembangnya budaya Takenoko-zoku sekitar tahun 1980-an dan sehingga hari ini ia menjadi tempat untuk anak muda berkumpul. Semasa zaman pemerintahan Meiji, Harajuku telah berkembang sebagai kawasan penting bagi menghubungkan bandar Tokyo dengan wilayah sekitarnya. Stesen keretapi JR Harajuku telah dibuka pada tahun 1906 dan dihubungkan melalui Yamanote Line.

Selepas beberapa pasaraya dibuka sekitar tahun 1970-an, Harajuku menjadi terkenal sehingga mendapat liputan beberapa majalah fesyen. Kehadiran gadis-gadis yang dikenali sebagai Annon-zoku di sekitar Harajuku yang berpakaian seakan model majalah Anan dan non-no menarik orang ramai untuk menyaksikan fesyen yang digayakan.

APA YANG MENARIK

Di sini terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan dan sesuai untuk dilawati oleh semua golongan.

1. Harajuku Bridge

Harajuku terkenal dengan pelbagai gaya fesyen yang unik dan jika anda seorang yang meminati fesyen unik dan ingin mencuba pelbagai ‘cosplay’ anda boleh mendapatkannya di sini. Anda boleh melihat pelbagai gelagat dan fesyen yang digayakan apabila anda berjalan-jalan di sekitar Harajuku Bridge kerana di sinilah tempat mereka berkumpul terutama pada hujung minggu. Anda juga boleh mengambil gambar mereka menggayakan pelbagai cosplay, namun perlu mendapat izin mereka terlebih dahulu.

2. Pusat membeli-belah (Takeshita Dori, Omotesando, Daiso)

Takeshita Dori atau Takeshita Street merupakan tempat membeli belah yang sangat terkenal di Harajuku dan menjadi tumpuan pelancong. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai jenis pakaian, makanan dan aksesori dengan harga yang sangat berpatutan. Dengan pelbagai variasi barang yang boleh di dapati di sini, tidak hairanlah jalan sepanjang 500 meter ini sentiasa dipenuhi pengunjung.

Takeshita Dori

Bagi remaja yang berminat untuk mendapatkan aksesori dan fesyen pakaian yang unik, maka inilah tempat yang mesti anda kunjungi! Selain itu, tidak lengkap jika anda ke sini tanpa mencuba Harajuku Crepe pelbagai perisa yang boleh didapati dengan harga 500-1000 yen.

Bagi anda yang ingin mendapatkan barangan berjenama seperti Prada atau Channel pula anda boleh mendapatkannya di Omotesando.

Omotesando

Ramai antara kita mengetahui Daiso merupakan sebuah kedai serbaneka dengan harga yang berpatutan. Apa yang menarik di sini anda boleh mendapatkan pelbagai barangan dengan harga serendah 100 yen dan ini merupakan Daiso terbesar di Tokyo. Di sini juga anda boleh mendapatkan cenderamata sebagai buah tangan untuk dibawa pulang untuk keluarga dan saudara mara.

Selain itu, di sini juga terdapat pasaraya terkenal iaitu Laforet Harajuku untuk dikunjungi. Jadi anda boleh memilih tempat membeli-belah yang bersesuaian dengan citarasa anda.

3. Meiji Shrine (Meiji Jingu)

Jika anda ingin bersantai sambil merehatkan minda dari kesibukan kota, anda boleh menuju ke Meiji Shrine (Meiji Jingu). Kuil ini telah dibina pada zaman pemerintahan Meiji dan terletak di belakang stesen keretapi Harajuku. Di anggarkan sebanyak 100,000 pokok telah dikumpulkan dari seluruh Jepun dan ditanam di sini dan sehingga sekarang kuil ini masih digunakan sebagai tempat upacara keagamaan dan perkahwinan.

Di sini anda bukan sahaja boleh melihat bangunan kuil, tetapi juga Treasure Museum (Homotsuden), Meiji memorial Picture Gallery, National Stadium and Meiji Memorial Hall. Selain itu,di sini juga terdapat taman yang dikenali sebagai Iris Garden yang dipenuhi dengan bunga azalea semasa musim bunga dan 150 spesis bunga iris semasa musim panas.

Meiji Shrine

4. Yoyogi Park

Jika anda sudah sampai di Meiji Shrine, pastikan anda teruskan perjalanan ke Yoyogi Park yang terletak bersebelahan dengan kuil tersebut dan tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke sini. Anda hanya perlu berjalan kaki dari Meiji Shrine untuk sampai ke salah satu taman yang paling besar di Tokyo ini. Taman ini menjadi tumpuan para pelancong untuk menikmati keindahan bunga sakura sekitar pertengahan bulan Mac dan awal bulan April.

Yoyogi Park
Yoyogi Park

5. Cat Café

Bagi pencinta kucing, anda mesti meluangkan masa di MoCHA Harajuku kerana ianya merupakan Cat Café yang sangat terkenal dan dikatakan ianya merupakan yang terbaik di Tokyo. Seni bina kafe ini sangat menarik dan mempunyai ruang yang luas untuk menampung jumlah pelancong yang ramai. Terdapat lebih kurang 20 ekor kucing di sini yang pastinya akan mencuri hati anda.

MoCHA Harajuku Cat Café

AKSES

Untuk ke Harajuku, anda boleh menggunakan Stesen Harajuku (JR Yamanote Line) atau Stesen Meiji-jingumae (Tokyo Metro Chiyoda Line/Fukutoshi Line) yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

1. Dari Tokyo ke Harajuku:

Anda perlu menaiki keretapi dari stesen Tokyo menggunakan Yamanote Line terus ke stesen Harajuku selama 30 minit dengan tambang sekitar 170 yen.

2. Dari Shinjuku ke Harajuku:

Jika anda berada di Shinjuku, anda hanya perlu menaiki keretapi selama 4 minit sahaja melalui Yamanote Line dengan tambang serendah 140 yen.

3. Dari Shibuya ke Harajuku:

Anda hanya perlu membayar tambang sekitar 133 yen jika anda menaiki keretapi dari stesen Shibuya ke Harajuku menggunakan JR Yamanote Line selama 2 minit. Ianya lebih murah dan cepat berbanding anda menaiki teksi dengan tambang sekitar 700 yen.

Kereta Api

MAKANAN HALAL

Bagi pelancong muslim, anda tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana terdapat pelbagai pilihan restoran yang pasti akan memenuhi citarasa anda.

Terdapat beberapa kedai kebab halal di sekitar Harajuku, antaranya ialah King Kebab dan Kebab Box J. King Kebab ini terletak di Food Court Dream Station JOL Harajuku iaitu di tingkat dua. Terdapat pelbagai jenis kebab yang boleh dipilih di kedai ini.

Kebab Box J

Selain itu, MAMO Kebab yang terletak berdekatan dengan stesen JR Harajuku dan Metro Meiji-jingumae juga sering menjadi pilihan para pelancong kerana pelbagai variasi kebab boleh di dapati di sini.

Selain itu, anda juga boleh ke Shibuya dan Shinjuku untuk mendapatkan lebih banyak pilihan restoran makanan halal memandangkan kedua-dua kawasan ini terletak berdekatan Harajuku. Kami mencadangkan anda untuk mencuba Japanese Yakiniku di restoran Gyumon yang terletak di Shibuya. Anda perlu menaiki keretapi dari stesen Harajuku atau Meiji-jingumae selama 19 minit, tambang sekitar 170 yen. Perjalanan anda pasti sangat bermakna selepas anda dapat merasai sendiri keenakan yakiniku di restoran ini.

Yakiniku

Jika anda ingin mencuba makanan Pakistan dan India, anda boleh ke Siddique Shinjuku Nishiguchi Ekimae yang terletak di Shinjuku. Anda hanya perlu menaiki keretapi dari stesen Harajuku ke stesen Shinjuku selama 23 minit dengan tambang serendah 140 yen. Dari stesen Shinjuku, anda perlu berjalan kaki selama 7 minit untuk ke restoran ini.

TEMPAT SOLAT

Jika anda memilih untuk solat di masjid, anda boleh ke Tokyo Camii Turkish Cultural Center yang terletak di Yoyogi-Uehara yang merupakan masjid terbesar di Jepun. Masjid ini terletak berhampiran dengan Harajuku dan anda boleh sampai ke sini dengan menaiki keretapi di stesen Meiji-jingumae ke stesen Yoyogi-Uehara selama 21 minit, tambang 170 yen.

Tokyo Camii Turkish Cultural Center

Selain solat di masjid atau surau, anda boleh juga solat di mana-mana ruang yang membolehkan anda solat seperti di padang rumput, taman-taman awam atau kawasan yang tidak menjadi laluan orang ramai. Biasanya jika anda berada di pasaraya, anda boleh solat di dalam bilik persalinan atau kawasan tangga yang biasanya tidak digunakan.

RUJUKAN

Masjid Di Jepun