Kiriman

Nara

INFO DAN SEJARAH

Bandar Nara merupakan salah satu bandar yang wajib dilawati jika anda ingin meneroka keindahan tinggalan sejarah negara Matahari Terbit dengan lebih mendalam. Seharian sudah mencukupi untuk anda menjelajah Nara yang hanya seluas sekitar 276.84 kilometer persegi. Namun, anda tidak akan merasa rugi meluangkan masa yang lebih panjang di bandar ini kerana anda pasti akan terpegun dengan keunikannya yang tersendiri.

 Bandar ini merupakan ibu kota Wilayah Nara yang terletak di bahagian utara, dan bersempadan dengan Wilayah Kyoto. Perjalanan ke Nara dari Kyoto dan Osaka hanyalah mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja. Untuk pengetahuan anda, Nara merupakan ibu kota pertama Jepun dan menjadi tempat tinggal maharaja Jepun sekitar tahun 710. Istana Heijo yang terletak di tengah bandar Nara diangkat sebagai tempat kediaman maharaja dan juga pusat pentadbiran pada waktu tersebut. Amatlah rugi jika anda tidak melawat Tapak Istana Heijo ini kerana nilai sejarah dan kebudayaannya yang amat bernilai, ia telah tersenarai sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pada Zaman Nara (710-784) ini juga,wujudnya era kosmopolitan.Negara Jepun pada ketika itu berinteraksi dengan Negara Cina dan negara-negara lain melalui Laluan Sutera. Hasil daripada interaksi dengan pelbagai negara terutamanya Cina dan Korea,maka wujudlah pelbagai kuil yang sangat unik.

Istana Heijo 

APA YANG MENARIK

Kebanyakan tempat-tempat menarik di Bandar Nara ini terletak berhampiran antara satu sama lain. Antaranya adalah “Todai-Ji”, “Kofuku-Ji”, Taman Nara, Muzium Nasional Nara, “Yoshiki-En” dan, “Isui-En”. Sebagai contoh,anda hanya perlu berjalan kaki selama sepuluh minit dari “Todai-Ji” untuk ke Taman Nara.

 Sebut sahaja Nara, “Nara Park”pasti akan muncul di benak fikiran sesiapa yang pernah ke Jepun. “Nara Park” ibarat rumah bagi ratusan ekor rusa. Anda boleh bersantai sambil membelai rusa yang bebas berkeliaran di taman ini. Jangan takut kerana mereka kebiasaannya sangat jinak. Selain daripada “Nara Park”, anda juga boleh menikmati keindahan taman berkonsepkan kejepunan iaitu “Yoshiki-En” dan, “Isui-En” yang terletak berhampiran. Bayaran masuk ke “Isui-En” adalah sebanyak 900 yen. “Yoshiki-En”pula menawarkan kemasukan percuma kepada pelancong asing.

Nara Park

Keindahan seni bina kuil juga menjadi daya tarikan utama di Nara. “Todai-Ji” juga termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dibina pada tahun 745 sebagai simbolik kekuasaan pemerintahan ketika itu. “Ji” bermaksud kuil agama Buddha. Apa yang menarik tentang kuil ini adalah struktur binaan kuil itu sendiri. Strukturnya yang diperbuat daripada kayu dan telah dinobatkan sebagai kuil berasaskan kayu yang terbesar di dunia. Kuil ini juga memegang rekod kuil yang mempunyai patung Buddha gangsa yang terbesar di dunia. Jika anda mengunjungi kuil ini pada bulan Mac, anda mungkin berpeluang untuk merasai aktiviti “Omizutori”. Selain “Todai-Ji”, “Kofuku-Ji”, “Toshodai-Ji” dan, “Yakushi-Ji” juga termasuk dalam senarai UNESCO. Penggemar tempat-tempat warisan dunia wajib berkunjung ke Nara.

Todai-Ji
Kofuku-Ji

 Selain kuil agama Buddha,anda juga dapat melihat kuil agama Shinto, “Kasuga Taisha” yang terkenal di sini. Kelainannya adalah kuil ini dihiasi dengan beratus tanglung gangsa hasil sumbangan pengikutnya. Dinyalakan hanya dua kali setahun iaitu pada awal Februari (Festival Setsubun Mantoro) dan juga pertengahan Ogos (Festival Obon Mantoro). Masuk adalah percuma namun,terdapat juga kawasan yang mengenakan bayaran seperti Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo (250yen-500yen) dan Muzium Kasuga Taisha (200yen-400yen). Anda dapat menikmati kecantikan bunga wisteria jika berkunjung ke Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo pada bulan Mei. Untuk mengetahui lebih lanjut sejarah agama Shinto, anda bolehlah melawat Muzium Kasuga Taisha. Info tentang agama Buddha pula boleh didapati di Muzium Nasional Nara.

Anda juga boleh menikmati pemandangan sekitar bandar Nara dari puncak Gunung Wakakusa yang berada di belakang Taman Nara dengan bayaran masuk serendah 150yen. Anda tidak akan berpeluang mendaki gunung ini jika berkunjung pada musim sejuk namun, anda berpeluang melihat upacara “Wakakusa Yamayaki” pada hari Sabtu minggu keempat setiap bulan Januari(musim sejuk). Acara ini turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.

 Kesimpulannya, jika anda suka berjalan kaki sambil menikmati kecantikan flora dan fauna,Bandar Nara adalah destinasi paling cocok buat anda.

AKSES

 Anda boleh menaiki pengangkutan awam untuk ke Nara. Jika anda dari Kyoto,cara yang terbaik adalah dengan menaiki keretapi. Anda ada dua pilihan iaitu samada menaiki “Japan Railway (JR) Line” atau “Kintetsu Line”. Kami menyarankan anda menggunakan Kintetsu kerana tempoh perjalanan paling singkat dan sangat selesa.

  1. “JR Nara Line”: Bertolak dari Stesen JR Kyoto, tiba di Stesen JR Nara.Perjalanan selama 45minit jika menaiki keretapi ekspres dan, 70minit jika menaiki keretapi biasa. Tambang adalah sebanyak 710yen.
  2. “Kintetsu Nara Line” (ekspres): Bertolak dari Stesen Kintetsu Kyoto (berada di bahagian selatan Stesen JR Kyoto), tiba di Stesen Kintetsu Nara. Perjalanan selama 35 minit. Tambang adalah sebanyak 1130yen.
Kereta Api

 Anda juga boleh menaiki keretapi dari Osaka untuk ke Nara. Anda boleh pilih antara “JR Line” atau “Kintetsu Line”.

  1. “JR Kanjo-Yamatoji Line”: Bertolak dari Stesen JR Osaka, tiba di Stesen JR Nara.Perjalanan selama 59minit dengan menaiki keretapi ekspres Yamatoji (Yamatoji Kaisoku). Tambang adalah sebanyak 800yen.
  2. “Kintetsu Nara Line” (ekspres): Bertolak dari Stesen Kintetsu Namba, tiba di Stesen Kintetsu Nara. Perjalanan selama 40minit.Tambang adalah sebanyak 560yen.

 Bagi sesiapa yang ingin terus ke Nara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai(KIX), anda boleh menaiki keretapi atau bas limosin.

  1. Bas Limosin: Bertolak dari hentian bas di luar balai ketibaan KIX,turun di Stesen JR Nara atau Stesen Kintetsu Nara.Perjalanan selama sejam 43minit. Tambang adalah sebanyak 2050yen.
  2. “JR Line”: Bertolak dari “JR Haruka Airport Express”, tukar ke “JR Yamatoji Kaisoku” di Stesen Tennoji dan turun di Stesen JR Nara.Perjalanan selama sejam 23minit (tidak termasuk masa pertukaran keretapi). Tambang adalah sebanyak 1480yen.
Bas Limosin

 Jika anda bertolak dari Tokyo,Nagoya,Kobe atau Hiroshima, cara terbaik adalah anda menaiki keretapi laju(shinkansen) ke Kyoto dan kemudian ikut cara seperti yang kami telah terangkan sebelum ini.

Shinkansen

MAKANAN HALAL

Bagi pelancong muslim,anda tidak perlu gusar untuk mencari kedai makanan halal di Nara. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi Google Maps serta Halal Navi. Jika anda ingin merasai ramen,anda boleh berkunjung ke Halal Ramen Naramachi Jinniyah. Anda juga boleh membeli makanan bentou(bekal) di Halal Deli. Selain makanan Jepun, anda boleh nikmati makanan dari pelbagai negara di restoran seperti RENESA Asian,Ashura dan Jay.Pastikan anda merancang perjalanan anda sambil melihat informasi terkini di Halal Navi ataupun Google Maps.

Halal Ramen Naramachi Jinniyah

TEMPAT SOLAT

 Walaupun Nara belum mempunyai masjid,anda tidak perlu khuatir kerana ruangan solat ada disediakan. Antara tempat yang mempunyai ruangan solat adalah Stesen JR Nara,Pusat Pelawat dan Penginapan Nara, Pusat Maklumat Pelancongan Bandar Nara, KAI dan, restoran Naramachi Jinniyah. Untuk lebih mudah,anda hanya perlu menyemak di aplikasi Japan Masjid Finder.

Ruang Solat di
Pusat Maklumat Pelancongan Bandar Nara

RUJUKAN

  1. https://www.visitnara.jp/
  2. https://www.insidekyoto.com/
  3. https://www.japan-guide.com/
  4. https://ja.wikipedia.org/wiki/%E5%A5%88%E8%89%AF%E5%B8%82/
  5. https://www.halalinjapan.com/
  6. http://www.masjid-finder.jp/
  7. https://www.google.com.my/maps/

,

Universal Studio Japan (USJ)

INFO DAN SEJARAH

Universal Studio Japan (USJ) merupakan taman tema yang wajib dikunjungi jika anda ke Osaka. USJ yang mula dibuka pada tahun 2001 ini berada di tangga ke-4 dalam senarai TOP 25 THEMES PARK WORLDWIDE 2016.

Kami akan kongsikan sedikit panduan untuk anda merancang trip anda ke sini. Antara yang paling penting adalah datang seawal mungkin. Seeloknya datang sebelum USJ dibuka. Kebiasaannya USJ akan beroperasi dari jam 9pagi hingga 7petang. Anda boleh rujuk waktu operasi terkini di laman web rasmi USJ. Selain itu, penting untuk merancang tarikh anda ke sana.

Tarikh yang terbaik adalah pada hari biasa dan bukan pada musim cuti. Oleh kerana tempat ini selalu sesak, anda pasti akan beratur panjang di kaunter pembelian tiket. Untuk mengelak hal ini daripada berlaku, anda boleh membeli tiket terlebih dahulu secara atas talian. Anda boleh menyemak agensi yang menjual tiket di laman web rasmi USJ. Berwaspadalah ketika membeli tiket kerana tiket yang dijual oleh agensi selain daripada agensi yang berdaftar dengan USJ adalah tidak sah.

Anda boleh memilih tiket Universal Express Pass untuk mengelak beratur panjang di tempat yang menjadi tarikan utama. Jika anda membeli tiket pass biasa, anda perlu datang seawal mungkin dan beratur terlebih dahulu di tempat yang menjadi tarikan utama untuk memaksimakan keseronokan anda di USJ. Pastikan anda telah merancang dan menyusun perjalanan anda sepanjang berada di dalam USJ. Selain itu, bawa bersama peta lokasi USJ agar anda tidak sesat dan membuang masa. Untuk pengetahuan anda, ada sesetengah tempat menyediakan Single Rider Lines. Anda disarankan untuk beratur di barisan ini kerana barisannya selalu tidak panjang.

Untuk makluman anda, USJ merupakan kawasan beli-belah bebas cukai. Jadi, simpan segala resit pembelian anda dan tuntutlah di kaunter yang disediakan. Selain itu, pastikan anda memenuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di sini. Anda tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Anda boleh nikmati makanan yang anda bawa di kawasan berkelah yang telah disediakan di luar pintu utama USJ. Bagi perokok pula, pastikan anda merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja. Selain itu, anda juga dilarang memberi makan kepada burung-burung yang bebas berterbangan di dalam kawasan USJ. Marilah sama-sama menjaga nama baik negara walaupun ketika sedang melancong.

APA YANG MENARIK

Tarikan di USJ boleh dibahagikan kepada 5 kategori iaitu The Wizarding World of Harry Potter, Universal Wonderland, Ride Attraction, Show Attraction, dan Stage and Street Show.

1. The Wizarding World of Harry Potter

Antara yang menarik di sini adalah Harry Potter and the Forbidden Journey. Di sini anda akan dibawa menjelajah dunia Harry Potter menggunakan teknologi 4K3D. Anda pasti akan terpegun dengan kecanggihan teknologi yang digunakan kerana anda akan merasa dunia fantasi itu seakan nyata. Ia telah memenangi anugerah tarikan terbaik di dunia selama 5 tahun berturut-turut. Jika kunjungan anda adalah pada waktu puncak, anda pasti akan memerlukan Timed Entry Ticket. Selain itu, banyak lagi tempat yang menarik seperti Flight of the Hippogriff, Wand Magic, dan Three Broomsticks.

The Wizarding World of Harry Potter

2. Universal Wonderland

Di sini anda akan terhibur dengan pelbagai jenis tarikan yang bertemakan karakter kartun popular Snoopy, Hello Kitty, dan Sesame Street. Anda boleh menaiki The Flying Snoopy jika ingin merasa terbang di awangan. Bagi peminat Hello Kitty pula, jangan lepaskan peluang melihat koleksi rekaan terbaru Hello Kitty di Hello Kitty’s Ribbon Collection. Anda juga boleh mencuba Moppy’s Balloon Trip untuk menikmati pemandangan sekeliling dengan menaiki belon udara yang disediakan. Ada lebih daripada 20 tempat menarik yang boleh diterokai di Universal Wonderland ini. Jangan lupa untuk menggunakan sistem Yoyakunori (tempah dan naik). Melalui sistem ini, anda boleh berseronok sambil menunggu giliran.Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk laman web rasmi USJ.

Sesame Street

3. Ride Attraction

Terdapat 8 jenis Ride Attraction yang anda boleh naiki. Tarikan yang terbaru adalah Despicable Me Minion Mayhem. Selain itu terdapat The Amazing Adventures of Spider Man yang merupakan pemegang rekod tarikan terbaik di dunia selama 7 tahun berturut-turut. Ia juga turut menggunakan teknologi 4K3D yang mampu membuatkan pengunjung keliru antara realiti dan fantasi. Anda juga boleh terbang bebas di ruangan angkasa ditemani kerlipan bintang-bintang apabila menaiki Space Fantacy. Terdapat juga Hollywood Dream, The Flying Dinasour, Jurassic Park, dan JAWS yang akan membuat jantung anda berdegup kencang. Jangan lupa beratur di Single Rider Lines untuk menjimatkan masa.

Despicable Me Minion Mayhem
The Amazing Adventures of Spider Man 

4. Show Attraction

Anda boleh menonton wayang 3D dan 4D di bahagian Show Attraction. Terdapat 6 jenis tayangan di sini iaitu Terminator 2:3-D, WaterWorld, Backdraft, Universal Monsters Live Rock and Roll Show, Shrek’s 4D Adventure, dan Sesame Street 4D Movie Magic. Kami sarankan anda menonton tayangan Terminator yang mengisahkan pertembungan antara manusia dan cyborg. Tayangan ini amat digemari ramai. Pemegang Pass Ekspres bertuah kerana tidak perlu beratur panjang untuk menonton tayangan ini. Selain itu, Backdraft juga antara yang digemari ramai. Backdraft mengisahkan tentang kebakaran yang berlaku di depan mata. Anda akan merasa seolah-olah sedang terbakar.

WaterWorld
Backdraft

5. Stage Shows and Street Shows

USJ juga turut diserikan dengan persembahan pentas dan juga persembahan jalanan. Antara persembahan yang ada adalah Minion Hacha Mecha Greeting, R&B The Voice, dan Sesame Street Ultimate Dance.

AKSES

Sekiranya anda ingin ke USJ dari Stesen Osaka, pilihan yang terbaik adalah dengan menaiki keretapi.

  1. Keretapi (JR Osaka Loop Line -> JR Yumesaki Line): Bertolak dari Stesen Osaka, transit di Stesen Nishikujo, tiba di Stesen Universal Studio.  Perjalanan ini adalah yang paling pendek iaitu selama 27minit sahaja. Tambang adalah sebanyak 180yen. Anda hanya perlu berjalan kaki lebih kurang dua minit untuk sampai ke USJ.

Jika anda bertolak dari Lapangan Terbang Kansai (KIX), cara yang paling mudah adalah juga menaiki keretapi.

  1. Keretapi (JR Kansai Air Rapid -> JR Yumesaki Line): Bertolak dari Stesen Keretapi Lapangan Terbang Kansai, transit di Stesen Nishikujo, tiba di Stesen Universal Studio. Perjalanan mengambil masa sejam 27minit. Tambang adalah sebanyak 1190yen.

Bagi yang ingin bertolak dari Shin Osaka pula, anda perlu menaiki keretapi JR Tokkaido-Sanyo Main Line menuju ke Stesen Osaka. Perjalanan hanya mengambil masa selama 9minit dan kosnya hanyalah sebanyak 160yen. Pengunjung yang bertolak dari Kyoto juga boleh menaiki keretapi dari Stesen Kyoto menuju ke Stesen Osaka yang mengambil masa selama 37minit dan kos sebanyak 560yen.Seterusnya boleh rujuk perjalanan dari Stesen Osaka ke USJ yang dinyatakan sebelum ini.

Kereta Api

Jika anda dari Tokyo, kami sarankan anda menaiki keretapi laju.

  1. Keretapi laju (Keikyu Kukou Kaitoku Line -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak daripada Terminal Lapangan Terbang Domestik Haneda (Tokyo Ekspres), transit di Stesen Shinagawa, tiba di Shin Osaka. Perjalanan selama 3jam 18minit ini berkos 14027yen.
  2. Keretapi laju (JR Limited Narita Express -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak daripada Stesen Keretapi Lapangan Terbang Narita, transit di Stesen Tokyo, tiba di Shin Osaka. Perjalanan selama 4jam 25minit ini berkos 15980yen.
Shinkansen

MAKANAN HALAL

Anda mungkin tidak akan menjumpai kedai makanan halal di dalam USJ. Anda juga tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Jadi, kami menasihatkan anda untuk mengalas perut sebelum masuk ke USJ. Minuman seperti air mineral dan jus boleh dibeli di dalam USJ jika anda dahaga. Selepas anda keletihan berseronok di dalam USJ, anda boleh menjamu selera di Restoran Red Lobster yang terletak berhampiran dengan USJ (5minit berjalan kaki). Restoran ini menyediakan hidangan halal.

Restoran Red Lobster

TEMPAT SOLAT

USJ tidak menyediakan ruangan solat khas untuk muslim. Namun, anda boleh meminta ruang untuk solat di kaunter perkhidmatan tetamu. Ruang yang diberikan selalunya tidak ada bilik air, jadi kami sarankan anda mengambil wudhu di tandas terlebih dahulu.

Selain itu, untuk pengunjung yang mahukan kelainan, anda boleh sahaja solat secara terbuka di kawasan perkelahan yang disediakan di luar pintu utama USJ. Hanya perlu pastikan kawasan tersebut bersih dan tidak menggangu laluan pengguna lain.

RUJUKAN

  1. http://www.usj.co.jp/
  2. http://www.travelcaffeine.com/universal-studios-japan-tips/
  3. http://www.teaconnect.org/images/files/TEA_235_103719_170601.pdf
  4. https://www.halal-navi.com/