Kiriman

, ,

Hiroshima

INFO DAN SEJARAH

Peristiwa pada tarikh 6 Ogos 1945 telah menjadikan Hiroshima bandar pertama yang musnah akibat bom atom. Jika anda berpeluang untuk melancong ke Jepun, kami sarankan anda berkunjung ke Bandar Hiroshima. Anda pasti akan lebih termotivasi untuk memelihara keamanan yang dikecapi kini setelah melihat kesan Perang Dunia ke-2 yang amat dahsyat di Hiroshima.

Hiroshima merupakan ibu kota Wilayah Hiroshima yang terletak di bahagian barat daya kepulauan Jepun. Ia adalah pulau yang terbesar di Negara Jepun, sesuai dengan namanya “Hiroshima” (Pulau yang Luas). Hampir keseluruhan bandar ini musnah gara-gara bom atom yang dijatuhkan oleh pasukan tentera udara Amerika Syarikat pada penghujung Perang Dunia ke-2.

Namun, dengan perancangan yang teliti dan keazaman rakyatnya yang jitu, Hiroshima bangkit semula sebagai Bandar Keamanan dalam tempoh masa yang singkat. Anda juga tidak perlu bimbang akan kesan radiasi di kawasan ini kerana bacaan radiasinya telah kembali ke paras normal.

APA YANG MENARIK

Tarikan utama Bandar Hiroshima semestinya Taman Memorial Keamanan Hiroshima (Hiroshima Peace Memorial Park). Kawasan yang pernah sibuk satu ketika dahulu, terletak di tengah-tengah pusat ledakan dan telah musnah akibat letupan bom atom. Taman ini dibina sempena memperingati mangsa-mangsa yang telah terkorban serta menjadi simbolik kepada keperluan untuk mengekalkan keamanan. Di sekitar taman ini juga terdapat banyak monumen penting, tugu peringatan, dan muzium yang berkaitan dengan peristiwa hitam itu.

Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti Kubah Bom Atom, Loceng Keamanan (Peace Bell), Tugu Keamanan Kanak-Kanak, Api Keamanan (Flame of Peace), Muzium Memorial Keamanan Hiroshima, Dewan Nasional Memorial Keamanan Hiroshima, dan Pintu Gerbang Keamanan (Gates of Peace). Anda hanya perlu berjalan kaki untuk melawat tempat-tempat yang menarik ini kerana lokasinya adalah berdekatan antara satu sama lain.

 Taman Memorial Keamanan Hiroshima  
Loceng Keamanan
Api Keamanan

Anda boleh menyelami peristiwa pengeboman Hiroshima dengan lebih mendalam apabila mengunjungi Muzium Memorial Keamanan Hiroshima. Terdapat juga pameran barang-barang peribadi milik mangsa pengeboman yang sangat meruntun hati. Antaranya adalah jam tangan yang waktunya terhenti tepat waktu 8.15 pagi, waktu bom atom jatuh ke bumi Hiroshima. Yuran masuk adalah sebanyak 200yen.

Namun ketika ini bangunan utama ditutup sementara waktu untuk proses penyelenggaraan. Akan dibuka semula pada musim bunga tahun 2019. Tetapi jangan risau, anda masih boleh mempelajari serba sedikit sejarah pengeboman Hiroshima serta melihat barang-barang tinggalan ketika pengeboman di bangunan sebelah timur. Selain muzium, anda juga boleh berkunjung ke Dewan Nasional Memorial Keamanan Hiroshima. Masuk adalah percuma. Tempat ini dibina sebagai tanda memperingati mangsa yang terlibat dengan pengeboman di Hiroshima dan juga Nagasaki.

Muzium Memorial Keamanan Hiroshima

Anda juga boleh melihat serpihan bangunan Muzium Produksi Hiroshima yang hampir musnah dalam letupan bom atom yang telah berlaku. Bangunan tersebut telah dibaik pulih dan kini dikenali sebagai Kubah Bom Atom. Ia juga termasuk dalam senarai Tapak Warisan UNESCO. Tujuan bangunan tersebut dibaik pulih dan dipelihara adalah sebagai tanda memperingati peristiwa yang telah berlaku.

Terdapat juga Api Keamanan yang tidak pernah padam sejak ia dinyalakan pada bulan Ogos tahun 1964. Ia menjadi simbolik anti nuklear. Api ini hanya akan dipadamkan apabila dunia bebas daripada ancaman nuklear. Jangan lupa untuk melihat monumen-monumen yang ada di sekitar Taman Memorial ini. Setiap monumen mempunyai kisah tersendiri yang sangat menyayat hati.

Kubah Bom Atom

Setelah penat menyelami kisah tragis pengeboman Hiroshima, anda boleh bawa anak-anak ke Muzium Kanak-Kanak Hiroshima. Masuk adalah percuma namun bayaran masuk ke planetarium dikenakan terhadap orang dewasa. Di sini kanak-kanak dapat bermain sambil belajar tentang sains disamping dapat melihat penguin dan pelbagai hidupan laut yang lain. Anda juga boleh ke Muzium Kesenian Hiroshima yang terletak tidak jauh (5minit jalan kaki) dari Muzium Kanak-Kanak.

Muzium ini mempamerkan Lukisan Moden Eropah serta Lukisan Minyak Jepun (Japanese Oil Painting). Bayaran masuk ke muzium ini adalah sebanyak 1300yen. Selain itu, anda juga boleh menikmati keindahan Istana Hiroshima yang terletak di kawasan berhampiran. Istana ini telah dibina semula selepas hancur dalam serangan bom atom.

Anda boleh mempelajari serba sedikit budaya samurai di istana ini. Taman Shukkei (Shukkei-En) juga antara tempat wajib yang harus anda lawat. Landskap taman ini sangat unik kerana mempunyai unsur gabungan alam semulajadi seperti lembah, gunung, dan hutan. Bayaran masuk hanyalah sebanyak 260yen. Anda dapat merasai upacara minum teh orang Jepun yang agak unik dan kompleks di sini.

 Muzium Kanak-Kanak Hiroshima
 Taman Shukkei 

Bagi peminat kereta, anda bolehlah berkunjung ke Muzium Mazda. Di sini, anda dapat melihat semua model keluaran Mazda. Anda juga dapat mengetahui teknologi yang digunakan oleh Mazda dalam penghasilan keretanya. Masuk adalah percuma namun diingatkan anda haruslah menempah terlebih dahulu sesi lawatan ke muzium tersebut. Tempahan boleh dibuat melalui telefon ataupun e-mel. Selain itu, anda juga boleh jalan-jalan di “Hondori Street” yang agak popular dalam kalangan pelancong. Laluan ini dibuka hanya untuk pejalan kaki sahaja dan terdapat kedai serta restoran di kiri dan kanan jalan.

Muzium Mazda

AKSES

Anda boleh menaiki kenderaan awam untuk ke Bandar Hiroshima. Jika anda dari Tokyo, cara yang paling murah dan mudah adalah menaiki bas. Namun, anda harus bersabar kerana perjalanan mengambil masa hampir 12jam. Jika anda inginkan tempoh perjalanan yang singkat, anda boleh cuba menaiki keretapi laju (shinkansen) ataupun menaiki kapal terbang.

Tiket kapal terbang kebiasaannya dua kali ganda mahal berbanding tiket keretapi laju. Namun, anda boleh membeli tiket dengan separuh harga ketika promosi berlangsung. Rajin-rajinlah membandingkan harga tiket dari masa ke semasa.

  1. Bas Ekspres (Chukoku JR Bus-New Breeze Gou-Hiroshima BC Line): Bertolak dari Stesen Bas Tokyo Eki Mae (Platform Yaesu South Exit 5), tiba di pintu masuk Stesen Shinkansen Hiroshima. Perjalanan selama 11jam 52minit. Tambang adalah sebanyak 11900yen.
  2. Shinkansen (JR Shinkansen Nozomi no47-Hakata Line): Bertolak dari Stesen Tokyo (Line16), tiba di Stesen Hiroshima (Line11). Perjalanan selama 3jam 53minit. Tambang adalah sebanyak 18040yen.
  3. Kapal terbang: Bertolak dari Lapangan Terbang Haneda, tiba di Lapangan Terbang Hiroshima. Perjalanan selama 1jam 30minit. Tambang adalah sebanyak 34890yen.
Shinkansen
Lapangan Terbang Hiroshima

Jika anda dari Osaka, pilihan yang terbaik adalah menaiki bas ekspres ataupun keretapi laju. Pilihan di tangan anda, murah ataupun perjalanan singkat.

  1. Bas Ekspres (USJ-Osaka-Hiroshima): Bertolak dari Stesen Bas Osaka Eki Mae, tiba di pintu masuk Stesen Shinkansen Hiroshima. Perjalanan selama 5jam 43minit. Tambang adalah sebanyak 5000yen.
  2. Shinkansen (JR Tokai Route-Sanyo Main Line -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak dari Stesen Osaka, transit di Shin-Osaka, tiba di Stesen Hiroshima. Perjalanan selama 1jam 54minit. Tambang adalah sebanyak 9710yen.

Jika anda dari Kyoto, kami sarankan anda menaiki keretapi laju. Anda akan bertolak dari Stesen Kyoto dan tiba di Stesen Hiroshima dengan menaiki JR Shinkansen Nozomi. Tambang adalah sebanyak 10570yen. Tempoh perjalanan adalah selama 2jam.

MAKANAN HALAL

Jika anda berkunjung ke Bandar Hiroshima, anda boleh akses ke kedai makanan halal dengan mudah. Terdapat lebih kurang tujuh buah restoran yang menyediakan makanan halal di sini. Antaranya adalah Restoran Racoolto, Restoran Namaste, Restoran Curry Elephant, Restoran Kanak, Restoran Mr. Istanbul, dan Restoran Warung Matahari. Anda boleh rujuk laman sesawang Halal Navi untuk maklumat lebih lanjut.

Restoran Warung Matahari

TEMPAT SOLAT

Anda boleh solat di surau berdekatan dengan Hospital Universiti Hiroshima. Selain itu, restoran halal seperti Restoran Kanak juga menyediakan ruang solat. Rancang perjalanan anda dengan betul agar anda dapat menunaikan kewajipan lima waktu dengan selesa. Anda boleh rujuk aplikasi Japan Masjid Finder untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://www.halalinjapan.com/
  2. http://www.masjid-finder.jp/
  3. https://www.google.com.my/maps/
  4. https://www.pref.hiroshima.lg.jp/uploaded/attachment/188742.pdf
  5. http://visithiroshima.net/
  6. https://www.japan-guide.com/
  7. https://en.wikipedia.org/wiki/Hiroshima
  8. http://www.planetware.com/tourist-attractions-/hiroshima-jpn-cg-hiro.htm

,

Kyoto

INFO DAN SEJARAH

Jepun merupakan sebuah negara maju yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong dengan ciri-ciri tradisional dan budaya yang sentiasa dikekalkan. Salah satu lokasi yang sentiasa menjadi pilihan para pelancong ialah Kyoto. Ia merupakan sebuah bandar yang terletak di tengah-tengah pulau Honshu dan antara tempat yang mesti dikunjungi apabila melancong ke Jepun. Dengan populasi seramai 1.5 juta orang, Kyoto termasuk dalam 10 bandar terbesar di Jepun dan merupakan ibu negara Jepun dari tahun 794 sehingga 1868.

Kyō, Miyako atau Kyō no Miyako merupakan nama yang diberikan untuk bandar ini sehingga abad ke-11 apabila bandar ini dinamakan Kyoto. Peperangan, gempa bumi dan kebakaran yang berlaku di Kyoto pada abad ke-11 telah memusnahkan banyak tempat di sini. Namun bandar yang memiliki nilai sejarah yang sangat berharga ini telah terselamat dari perang dunia kedua dan terlepas dari serangan bom. Banyak tempat bersejarah di Kyoto seperti kuil dapat dikekalkan sehingga hari ini.

Dengan adanya 1,600 kuil dan 400 “Shinto shrine”, taman-taman dan istana yang masih kekal hingga ke hari ini, Kyoto menjadi antara sebuah bandar yang paling terjaga di Jepun. Selain terkenal dengan ciri-ciri tradisional, Kyoto juga merupakan tempat berkembangnya industri teknologi maklumat dan barangan elektronik.

APA YANG MENARIK

Antara destinasi yang menjadi tarikan utama pelancong ialah:

  • Kiyomizu-dera/Pure Water Temple

Kuil Buddha ini merupakan salah satu kuil yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong asing dan tempatan kerana kedudukannya di lereng gunung. Ianya terletak di gunung Otawa di timur Kyoto dan dinamakan sempena air terjun Otawa yang jernih. Air terjun ini terletak di bahagian bawah dewan utama kuil dan biasanya pengunjung akan meminum air tersebut menggunakan cawan yang disediakan. Kuil yang terkenal dengan pemandangan alam semulajadi ini telah tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO. Anda boleh melihat pemandangan indah di sekitar kawasan bawah kuil ini terutamanya semasa musim bunga yang dipenuhi bunga sakura dan juga musim luruh. Kuil ini dibuka untuk pengunjung sekitar jam 6 pagi sehingga 6 petang dengan bayaran masuk sekitar 300 yen.

Kiyomizu-dera
  • Kinkaku-ji (Golden Pavilion)

Kuil Kinkakuji yang juga dikenali sebagai Rokuonji merupakan kuil Zen terletak di utara Kyoto dan  sangat terkenal dalam kalangan pengunjung kerana reka bentuknya yang unik. Sebahagian besar kuil ini disaluti daun emas dan yang pasti ianya kelihatan sangat cantik untuk anda bergambar kenang-kenangan di sini. Kuil ini telah dibina di dalam tasik yang menjadikan ia lebih unik namun pengunjung tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan kuil ini. Kuil yang merupakan tempat beristirehat shogun Ashikaga Yoshimitsu ini telah dibina pada tahun 1397. Ianya beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk sebanyak 400 yen.

Kinkaku-ji (Golden Pavilion)
  • Fushimi Inari-taisha

Fushimi Inari-taisha merupakan kuil utama Inari yang terletak di kaki gunung Inari yang berketinggian 233 meter. Selain itu, kuil Shinto yang terletak di wilayah Fushimi ini sangat terkenal dengan beribu ‘torii gates’ yang berwarna oren kemerahan di sepanjang perjalanan ke gunung Inari. Ianya telah disumbangkan oleh individu dan syarikat-syarikat Jepun seperti yang tertulis di setiap ‘torii gates’ tersebut. Terdapat kedai cenderamata dan makanan di sepanjang perjalanan anda melalui ‘torii gate’ untuk mendaki ke atas gunung tersebut dan anda akan dapat melihat pemandangan Kyoto apabila berada di puncak. Biasanya anda memerlukan masa selama 3-4 jam untuk sampai di puncak dan turun semula ke bawah. Tempat ini dibuka setiap hari selama 24 jam dan masuk adalah percuma.

Fushimi Inari-taisha
Torii gates
  • Nijo Castle

Istana ini telah dibina pada tahun 1603 oleh Tokugawa leyasu yang merupakan shogun pertama pada zaman Edo. Pembinaan istana ini telah siap selepas 23 tahun dan telah dibuka kepada umum sebagai tempat bersejarah selepas kejatuhan Tokugawa Shonugate pada tahun 1867. Istana Nijo termasuk dalam senarai tapak warisan dunia (UNESCO) pada tahun 1994 kerana nilai sejarahnya yang tersendiri. Istana ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Honmaru, Ninomaru dan taman yang mengelilingi dua kawasan tersebut. Bayaran untuk masuk ke sini adalah sebanyak 600 yen. Keindahan istana dan taman yang terdapat di sini pastinya sangat berbaloi untuk anda lawati.

Nijo Castle
  • Arashiyama Bamboo Grove

Jika anda ingin tenangkan fikiran dan menikmati pemandangan alam semula jadi yang kehijauan, di sinilah tempatnya! Suasana yang sejuk dan dikelilingi oleh pokok-pokok buluh di kiri dan kanan anda sepanjang berada di sini pastinya akan membuatkan anda berasa tenang. Untuk sampai ke sini anda boleh menggunakan jalan utama Arashiyama yang terletak berdekatan pintu masuk kuil Tenryu-ji. Anda pasti berasa teruja dengan perjalanan anda untuk sampai ke atas kerana di puncak bukit ini terletaknya Okochi-Sanso Villa yang sangat cantik.

Arashiyama Bamboo Grove

Anda harus merancang perjalanan anda dengan sebaiknya kerana di Kyoto terdapat banyak lagi tempat menarik untuk anda lawati antaranya ialah Gion, Nishiki Market, Kyoto Imperial Palace dan Kyoto National Museum.

AKSES

  • Dari Tokyo ke Kyoto

Anda boleh menaiki keretapi berkelajuan tinggi menggunakan JR Tokaido Shinkansen dengan tambang sekitar 13,080-14,000 yen bergantung kepada jenis ‘shinkansen’ yang anda naiki.

  • Nozomi trains (140 minit)
  • Hikari trains (160 minit)
  • Kodama trains (4 jam)
Shinkansen 

Anda juga boleh menaiki bas dari Tokyo ke Kyoto yang mengambil masa sekitar 7-8 jam. Biasanya tambang bas sekitar 3,500-10,000 yen bergantung kepada jenis bas yang anda naiki.

Selain itu, anda boleh menaiki kapal terbang dari lapangan terbang Haneda atau Narita ke Kansai International Airport, Osaka selama satu jam setengah. Seterusnya anda perlu menaiki JR Airport Express Haruka Train untuk ke Kyoto selama 75 minit.

  • Semasa berada di Kyoto, anda boleh menggunakan perkhidmatan bas (Kyoto City Bus/Kyoto Bus) untuk ke sesuatu destinasi.
  • Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan Subway semasa berada di Kyoto:
  • Karasuma Line
  • Tozai Line
  • Japan Railways juga merupakan pilihan terbaik anda semasa berada di sini terutamanya jika anda ingin ke Arashiyama (Sagano Line) atau Fushimi Inari Shrine (Nara Line).
Kyoto City Bus

MAKANAN HALAL

Terdapat pelbagai pilihan makanan halal yang boleh didapati di sekitar Kyoto dan anda perlu merancang untuk memilih restoran yang berdekatan dengan tempat anda lawati bagi memudahkan perjalanan anda.

  • Ayam-Ya

Bagi peminat ramen, restoran ini pasti tidak mengecewakan anda kerana terdapat pelbagai pilihan di sini dengan harga yang berpatutan (700-1000 yen). Anda perlu berjalan kaki sekitar 10 minit dari stesen Kyoto untuk ke sini.

Ayam-Ya
  • Halal ramen Gion Naritaya (Higashiyama-ku, Kyoto-shi)

Restoran ramen dibuka dari 11 pagi sehingga 10 malam. Jika dari stesen Gion Shijo, anda perlu berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit untuk ke sini. (Harga: 700 yen-1000 yen).

  • Naritaya Halal Yakiniku (Higashiyama-ku, Kyoto)

Jika anda ingin mencuba Japanese yakiniku, restoran ini menyediakan hidangan daging wagyu halal dan beroperasi dari 11.30 pagi sehingga 10 malam.

Selain itu, terdapat beberapa lagi restoran halal di sekitar Kyoto seperti Istanbul Saray, Raju Kyodai-mae, Asian Kitchen Salam dan Ali Baba.

TEMPAT SOLAT

Mencari lokasi untuk solat sentiasa menjadi keutamaan bagi pelancong muslim di luar negara. Apabila melancong ke Jepun, khususnya Kyoto anda tidak perlu risau kerana di sini terdapat beberapa tempat untuk solat.

  • Kyoto Tower

Menara ini terletak berhampiran dengan stesen Kyoto dan anda hanya perlu berjalan kaki selama beberapa minit untuk sampai ke sini. Ruang solat terletak di tingkat tiga bangunan ini dan anda perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada staf di Kansai Tourist Information Center sebelum menggunakan ruang solat tersebut. Di sini terdapat ruang untuk berwudhu dan ruang solat untuk lelaki dan perempuan juga diasingkan.

Ruang Solat
  • Anda juga boleh menggunakan ruang solat yang disediakan di restoran Ayam-Ya Halal Ramen.  
  • Restoran Gion Naritaya juga ada menyediakan ruang solat bagi memudahkan pelanggan muslim menunaikan solat.

RUJUKAN

  1. http://www.halalmedia.jp/archives/15470/muslim-friendly-restaurant-and-prayer-room-around-kyoto-station/2/
  2. https://kyoto.travel/en
  3. https://www.tripadvisor.com.my/Restaurants-g298564-zfz10751-Kyoto_Kyoto_Prefecture_Kinki.html
  4. https://www.japan-guide.com/e/e2158.html#section_main_content
  5. https://japancheapo.com/travel/fushimi-inari-shrine-makes-japans-no-1-attraction/
  6. https://theculturetrip.com/asia/japan/articles/the-top-10-things-to-do-and-see-in-kyoto/

Nara

INFO DAN SEJARAH

Bandar Nara merupakan salah satu bandar yang wajib dilawati jika anda ingin meneroka keindahan tinggalan sejarah negara Matahari Terbit dengan lebih mendalam. Seharian sudah mencukupi untuk anda menjelajah Nara yang hanya seluas sekitar 276.84 kilometer persegi. Namun, anda tidak akan merasa rugi meluangkan masa yang lebih panjang di bandar ini kerana anda pasti akan terpegun dengan keunikannya yang tersendiri.

 Bandar ini merupakan ibu kota Wilayah Nara yang terletak di bahagian utara, dan bersempadan dengan Wilayah Kyoto. Perjalanan ke Nara dari Kyoto dan Osaka hanyalah mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja. Untuk pengetahuan anda, Nara merupakan ibu kota pertama Jepun dan menjadi tempat tinggal maharaja Jepun sekitar tahun 710. Istana Heijo yang terletak di tengah bandar Nara diangkat sebagai tempat kediaman maharaja dan juga pusat pentadbiran pada waktu tersebut. Amatlah rugi jika anda tidak melawat Tapak Istana Heijo ini kerana nilai sejarah dan kebudayaannya yang amat bernilai, ia telah tersenarai sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pada Zaman Nara (710-784) ini juga,wujudnya era kosmopolitan.Negara Jepun pada ketika itu berinteraksi dengan Negara Cina dan negara-negara lain melalui Laluan Sutera. Hasil daripada interaksi dengan pelbagai negara terutamanya Cina dan Korea,maka wujudlah pelbagai kuil yang sangat unik.

Istana Heijo 

APA YANG MENARIK

Kebanyakan tempat-tempat menarik di Bandar Nara ini terletak berhampiran antara satu sama lain. Antaranya adalah “Todai-Ji”, “Kofuku-Ji”, Taman Nara, Muzium Nasional Nara, “Yoshiki-En” dan, “Isui-En”. Sebagai contoh,anda hanya perlu berjalan kaki selama sepuluh minit dari “Todai-Ji” untuk ke Taman Nara.

 Sebut sahaja Nara, “Nara Park”pasti akan muncul di benak fikiran sesiapa yang pernah ke Jepun. “Nara Park” ibarat rumah bagi ratusan ekor rusa. Anda boleh bersantai sambil membelai rusa yang bebas berkeliaran di taman ini. Jangan takut kerana mereka kebiasaannya sangat jinak. Selain daripada “Nara Park”, anda juga boleh menikmati keindahan taman berkonsepkan kejepunan iaitu “Yoshiki-En” dan, “Isui-En” yang terletak berhampiran. Bayaran masuk ke “Isui-En” adalah sebanyak 900 yen. “Yoshiki-En”pula menawarkan kemasukan percuma kepada pelancong asing.

Nara Park

Keindahan seni bina kuil juga menjadi daya tarikan utama di Nara. “Todai-Ji” juga termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dibina pada tahun 745 sebagai simbolik kekuasaan pemerintahan ketika itu. “Ji” bermaksud kuil agama Buddha. Apa yang menarik tentang kuil ini adalah struktur binaan kuil itu sendiri. Strukturnya yang diperbuat daripada kayu dan telah dinobatkan sebagai kuil berasaskan kayu yang terbesar di dunia. Kuil ini juga memegang rekod kuil yang mempunyai patung Buddha gangsa yang terbesar di dunia. Jika anda mengunjungi kuil ini pada bulan Mac, anda mungkin berpeluang untuk merasai aktiviti “Omizutori”. Selain “Todai-Ji”, “Kofuku-Ji”, “Toshodai-Ji” dan, “Yakushi-Ji” juga termasuk dalam senarai UNESCO. Penggemar tempat-tempat warisan dunia wajib berkunjung ke Nara.

Todai-Ji
Kofuku-Ji

 Selain kuil agama Buddha,anda juga dapat melihat kuil agama Shinto, “Kasuga Taisha” yang terkenal di sini. Kelainannya adalah kuil ini dihiasi dengan beratus tanglung gangsa hasil sumbangan pengikutnya. Dinyalakan hanya dua kali setahun iaitu pada awal Februari (Festival Setsubun Mantoro) dan juga pertengahan Ogos (Festival Obon Mantoro). Masuk adalah percuma namun,terdapat juga kawasan yang mengenakan bayaran seperti Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo (250yen-500yen) dan Muzium Kasuga Taisha (200yen-400yen). Anda dapat menikmati kecantikan bunga wisteria jika berkunjung ke Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo pada bulan Mei. Untuk mengetahui lebih lanjut sejarah agama Shinto, anda bolehlah melawat Muzium Kasuga Taisha. Info tentang agama Buddha pula boleh didapati di Muzium Nasional Nara.

Anda juga boleh menikmati pemandangan sekitar bandar Nara dari puncak Gunung Wakakusa yang berada di belakang Taman Nara dengan bayaran masuk serendah 150yen. Anda tidak akan berpeluang mendaki gunung ini jika berkunjung pada musim sejuk namun, anda berpeluang melihat upacara “Wakakusa Yamayaki” pada hari Sabtu minggu keempat setiap bulan Januari(musim sejuk). Acara ini turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.

 Kesimpulannya, jika anda suka berjalan kaki sambil menikmati kecantikan flora dan fauna,Bandar Nara adalah destinasi paling cocok buat anda.

AKSES

 Anda boleh menaiki pengangkutan awam untuk ke Nara. Jika anda dari Kyoto,cara yang terbaik adalah dengan menaiki keretapi. Anda ada dua pilihan iaitu samada menaiki “Japan Railway (JR) Line” atau “Kintetsu Line”. Kami menyarankan anda menggunakan Kintetsu kerana tempoh perjalanan paling singkat dan sangat selesa.

  1. “JR Nara Line”: Bertolak dari Stesen JR Kyoto, tiba di Stesen JR Nara.Perjalanan selama 45minit jika menaiki keretapi ekspres dan, 70minit jika menaiki keretapi biasa. Tambang adalah sebanyak 710yen.
  2. “Kintetsu Nara Line” (ekspres): Bertolak dari Stesen Kintetsu Kyoto (berada di bahagian selatan Stesen JR Kyoto), tiba di Stesen Kintetsu Nara. Perjalanan selama 35 minit. Tambang adalah sebanyak 1130yen.
Kereta Api

 Anda juga boleh menaiki keretapi dari Osaka untuk ke Nara. Anda boleh pilih antara “JR Line” atau “Kintetsu Line”.

  1. “JR Kanjo-Yamatoji Line”: Bertolak dari Stesen JR Osaka, tiba di Stesen JR Nara.Perjalanan selama 59minit dengan menaiki keretapi ekspres Yamatoji (Yamatoji Kaisoku). Tambang adalah sebanyak 800yen.
  2. “Kintetsu Nara Line” (ekspres): Bertolak dari Stesen Kintetsu Namba, tiba di Stesen Kintetsu Nara. Perjalanan selama 40minit.Tambang adalah sebanyak 560yen.

 Bagi sesiapa yang ingin terus ke Nara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai(KIX), anda boleh menaiki keretapi atau bas limosin.

  1. Bas Limosin: Bertolak dari hentian bas di luar balai ketibaan KIX,turun di Stesen JR Nara atau Stesen Kintetsu Nara.Perjalanan selama sejam 43minit. Tambang adalah sebanyak 2050yen.
  2. “JR Line”: Bertolak dari “JR Haruka Airport Express”, tukar ke “JR Yamatoji Kaisoku” di Stesen Tennoji dan turun di Stesen JR Nara.Perjalanan selama sejam 23minit (tidak termasuk masa pertukaran keretapi). Tambang adalah sebanyak 1480yen.
Bas Limosin

 Jika anda bertolak dari Tokyo,Nagoya,Kobe atau Hiroshima, cara terbaik adalah anda menaiki keretapi laju(shinkansen) ke Kyoto dan kemudian ikut cara seperti yang kami telah terangkan sebelum ini.

Shinkansen

MAKANAN HALAL

Bagi pelancong muslim,anda tidak perlu gusar untuk mencari kedai makanan halal di Nara. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi Google Maps serta Halal Navi. Jika anda ingin merasai ramen,anda boleh berkunjung ke Halal Ramen Naramachi Jinniyah. Anda juga boleh membeli makanan bentou(bekal) di Halal Deli. Selain makanan Jepun, anda boleh nikmati makanan dari pelbagai negara di restoran seperti RENESA Asian,Ashura dan Jay.Pastikan anda merancang perjalanan anda sambil melihat informasi terkini di Halal Navi ataupun Google Maps.

Halal Ramen Naramachi Jinniyah

TEMPAT SOLAT

 Walaupun Nara belum mempunyai masjid,anda tidak perlu khuatir kerana ruangan solat ada disediakan. Antara tempat yang mempunyai ruangan solat adalah Stesen JR Nara,Pusat Pelawat dan Penginapan Nara, Pusat Maklumat Pelancongan Bandar Nara, KAI dan, restoran Naramachi Jinniyah. Untuk lebih mudah,anda hanya perlu menyemak di aplikasi Japan Masjid Finder.

Ruang Solat di
Pusat Maklumat Pelancongan Bandar Nara

RUJUKAN

  1. https://www.visitnara.jp/
  2. https://www.insidekyoto.com/
  3. https://www.japan-guide.com/
  4. https://ja.wikipedia.org/wiki/%E5%A5%88%E8%89%AF%E5%B8%82/
  5. https://www.halalinjapan.com/
  6. http://www.masjid-finder.jp/
  7. https://www.google.com.my/maps/

,

Universal Studio Japan (USJ)

INFO DAN SEJARAH

Universal Studio Japan (USJ) merupakan taman tema yang wajib dikunjungi jika anda ke Osaka. USJ yang mula dibuka pada tahun 2001 ini berada di tangga ke-4 dalam senarai TOP 25 THEMES PARK WORLDWIDE 2016.

Kami akan kongsikan sedikit panduan untuk anda merancang trip anda ke sini. Antara yang paling penting adalah datang seawal mungkin. Seeloknya datang sebelum USJ dibuka. Kebiasaannya USJ akan beroperasi dari jam 9pagi hingga 7petang. Anda boleh rujuk waktu operasi terkini di laman web rasmi USJ. Selain itu, penting untuk merancang tarikh anda ke sana.

Tarikh yang terbaik adalah pada hari biasa dan bukan pada musim cuti. Oleh kerana tempat ini selalu sesak, anda pasti akan beratur panjang di kaunter pembelian tiket. Untuk mengelak hal ini daripada berlaku, anda boleh membeli tiket terlebih dahulu secara atas talian. Anda boleh menyemak agensi yang menjual tiket di laman web rasmi USJ. Berwaspadalah ketika membeli tiket kerana tiket yang dijual oleh agensi selain daripada agensi yang berdaftar dengan USJ adalah tidak sah.

Anda boleh memilih tiket Universal Express Pass untuk mengelak beratur panjang di tempat yang menjadi tarikan utama. Jika anda membeli tiket pass biasa, anda perlu datang seawal mungkin dan beratur terlebih dahulu di tempat yang menjadi tarikan utama untuk memaksimakan keseronokan anda di USJ. Pastikan anda telah merancang dan menyusun perjalanan anda sepanjang berada di dalam USJ. Selain itu, bawa bersama peta lokasi USJ agar anda tidak sesat dan membuang masa. Untuk pengetahuan anda, ada sesetengah tempat menyediakan Single Rider Lines. Anda disarankan untuk beratur di barisan ini kerana barisannya selalu tidak panjang.

Untuk makluman anda, USJ merupakan kawasan beli-belah bebas cukai. Jadi, simpan segala resit pembelian anda dan tuntutlah di kaunter yang disediakan. Selain itu, pastikan anda memenuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di sini. Anda tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Anda boleh nikmati makanan yang anda bawa di kawasan berkelah yang telah disediakan di luar pintu utama USJ. Bagi perokok pula, pastikan anda merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja. Selain itu, anda juga dilarang memberi makan kepada burung-burung yang bebas berterbangan di dalam kawasan USJ. Marilah sama-sama menjaga nama baik negara walaupun ketika sedang melancong.

APA YANG MENARIK

Tarikan di USJ boleh dibahagikan kepada 5 kategori iaitu The Wizarding World of Harry Potter, Universal Wonderland, Ride Attraction, Show Attraction, dan Stage and Street Show.

1. The Wizarding World of Harry Potter

Antara yang menarik di sini adalah Harry Potter and the Forbidden Journey. Di sini anda akan dibawa menjelajah dunia Harry Potter menggunakan teknologi 4K3D. Anda pasti akan terpegun dengan kecanggihan teknologi yang digunakan kerana anda akan merasa dunia fantasi itu seakan nyata. Ia telah memenangi anugerah tarikan terbaik di dunia selama 5 tahun berturut-turut. Jika kunjungan anda adalah pada waktu puncak, anda pasti akan memerlukan Timed Entry Ticket. Selain itu, banyak lagi tempat yang menarik seperti Flight of the Hippogriff, Wand Magic, dan Three Broomsticks.

The Wizarding World of Harry Potter

2. Universal Wonderland

Di sini anda akan terhibur dengan pelbagai jenis tarikan yang bertemakan karakter kartun popular Snoopy, Hello Kitty, dan Sesame Street. Anda boleh menaiki The Flying Snoopy jika ingin merasa terbang di awangan. Bagi peminat Hello Kitty pula, jangan lepaskan peluang melihat koleksi rekaan terbaru Hello Kitty di Hello Kitty’s Ribbon Collection. Anda juga boleh mencuba Moppy’s Balloon Trip untuk menikmati pemandangan sekeliling dengan menaiki belon udara yang disediakan. Ada lebih daripada 20 tempat menarik yang boleh diterokai di Universal Wonderland ini. Jangan lupa untuk menggunakan sistem Yoyakunori (tempah dan naik). Melalui sistem ini, anda boleh berseronok sambil menunggu giliran.Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk laman web rasmi USJ.

Sesame Street

3. Ride Attraction

Terdapat 8 jenis Ride Attraction yang anda boleh naiki. Tarikan yang terbaru adalah Despicable Me Minion Mayhem. Selain itu terdapat The Amazing Adventures of Spider Man yang merupakan pemegang rekod tarikan terbaik di dunia selama 7 tahun berturut-turut. Ia juga turut menggunakan teknologi 4K3D yang mampu membuatkan pengunjung keliru antara realiti dan fantasi. Anda juga boleh terbang bebas di ruangan angkasa ditemani kerlipan bintang-bintang apabila menaiki Space Fantacy. Terdapat juga Hollywood Dream, The Flying Dinasour, Jurassic Park, dan JAWS yang akan membuat jantung anda berdegup kencang. Jangan lupa beratur di Single Rider Lines untuk menjimatkan masa.

Despicable Me Minion Mayhem
The Amazing Adventures of Spider Man 

4. Show Attraction

Anda boleh menonton wayang 3D dan 4D di bahagian Show Attraction. Terdapat 6 jenis tayangan di sini iaitu Terminator 2:3-D, WaterWorld, Backdraft, Universal Monsters Live Rock and Roll Show, Shrek’s 4D Adventure, dan Sesame Street 4D Movie Magic. Kami sarankan anda menonton tayangan Terminator yang mengisahkan pertembungan antara manusia dan cyborg. Tayangan ini amat digemari ramai. Pemegang Pass Ekspres bertuah kerana tidak perlu beratur panjang untuk menonton tayangan ini. Selain itu, Backdraft juga antara yang digemari ramai. Backdraft mengisahkan tentang kebakaran yang berlaku di depan mata. Anda akan merasa seolah-olah sedang terbakar.

WaterWorld
Backdraft

5. Stage Shows and Street Shows

USJ juga turut diserikan dengan persembahan pentas dan juga persembahan jalanan. Antara persembahan yang ada adalah Minion Hacha Mecha Greeting, R&B The Voice, dan Sesame Street Ultimate Dance.

AKSES

Sekiranya anda ingin ke USJ dari Stesen Osaka, pilihan yang terbaik adalah dengan menaiki keretapi.

  1. Keretapi (JR Osaka Loop Line -> JR Yumesaki Line): Bertolak dari Stesen Osaka, transit di Stesen Nishikujo, tiba di Stesen Universal Studio.  Perjalanan ini adalah yang paling pendek iaitu selama 27minit sahaja. Tambang adalah sebanyak 180yen. Anda hanya perlu berjalan kaki lebih kurang dua minit untuk sampai ke USJ.

Jika anda bertolak dari Lapangan Terbang Kansai (KIX), cara yang paling mudah adalah juga menaiki keretapi.

  1. Keretapi (JR Kansai Air Rapid -> JR Yumesaki Line): Bertolak dari Stesen Keretapi Lapangan Terbang Kansai, transit di Stesen Nishikujo, tiba di Stesen Universal Studio. Perjalanan mengambil masa sejam 27minit. Tambang adalah sebanyak 1190yen.

Bagi yang ingin bertolak dari Shin Osaka pula, anda perlu menaiki keretapi JR Tokkaido-Sanyo Main Line menuju ke Stesen Osaka. Perjalanan hanya mengambil masa selama 9minit dan kosnya hanyalah sebanyak 160yen. Pengunjung yang bertolak dari Kyoto juga boleh menaiki keretapi dari Stesen Kyoto menuju ke Stesen Osaka yang mengambil masa selama 37minit dan kos sebanyak 560yen.Seterusnya boleh rujuk perjalanan dari Stesen Osaka ke USJ yang dinyatakan sebelum ini.

Kereta Api

Jika anda dari Tokyo, kami sarankan anda menaiki keretapi laju.

  1. Keretapi laju (Keikyu Kukou Kaitoku Line -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak daripada Terminal Lapangan Terbang Domestik Haneda (Tokyo Ekspres), transit di Stesen Shinagawa, tiba di Shin Osaka. Perjalanan selama 3jam 18minit ini berkos 14027yen.
  2. Keretapi laju (JR Limited Narita Express -> JR Shinkansen Nozomi): Bertolak daripada Stesen Keretapi Lapangan Terbang Narita, transit di Stesen Tokyo, tiba di Shin Osaka. Perjalanan selama 4jam 25minit ini berkos 15980yen.
Shinkansen

MAKANAN HALAL

Anda mungkin tidak akan menjumpai kedai makanan halal di dalam USJ. Anda juga tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Jadi, kami menasihatkan anda untuk mengalas perut sebelum masuk ke USJ. Minuman seperti air mineral dan jus boleh dibeli di dalam USJ jika anda dahaga. Selepas anda keletihan berseronok di dalam USJ, anda boleh menjamu selera di Restoran Red Lobster yang terletak berhampiran dengan USJ (5minit berjalan kaki). Restoran ini menyediakan hidangan halal.

Restoran Red Lobster

TEMPAT SOLAT

USJ tidak menyediakan ruangan solat khas untuk muslim. Namun, anda boleh meminta ruang untuk solat di kaunter perkhidmatan tetamu. Ruang yang diberikan selalunya tidak ada bilik air, jadi kami sarankan anda mengambil wudhu di tandas terlebih dahulu.

Selain itu, untuk pengunjung yang mahukan kelainan, anda boleh sahaja solat secara terbuka di kawasan perkelahan yang disediakan di luar pintu utama USJ. Hanya perlu pastikan kawasan tersebut bersih dan tidak menggangu laluan pengguna lain.

RUJUKAN

  1. http://www.usj.co.jp/
  2. http://www.travelcaffeine.com/universal-studios-japan-tips/
  3. http://www.teaconnect.org/images/files/TEA_235_103719_170601.pdf
  4. https://www.halal-navi.com/