Kiriman

,

Nippori

INFO DAN SEJARAH

Nippori atau dikenali sebagai Nishi-Nippori terletak berdekatan dengan Wilayah Arakawa di timur Tokyo. Nippori menjadi laluan bagi pelbagai kereta api termasuk Yamanote, Keisei dan Joban Line dengan kedua-dua stesen Nishi-Nippori, Nippori dan Mikawashima. Selain itu, stesen Nishi Nippori juga merupakan terminal Keisei Skyliner ke Lapangan Terbang Narita.

Di Nippori terdapat spot untuk anda melihat pemandangan Gunung Fuji tanpa memanjat kawasan tinggi, iaitu Nippori Fujimizaka. Dari sini anda akan dapat melihat fenomena ‘Diamond Fuji’. Fenomena ini terjadi apabila matahari terbit tepat di atas puncak gunung.

Nippori juga sangat terkenal dengan bandar tekstil kerana di sini terdapat lebih kurang 100 buah kedai yang menjual pelbagai jenis kain dan alatan menjahit. Pelancong yang berkunjung ke Nippori biasanya akan singgah di sini untuk membeli-belah.

APA YANG MENARIK

  • Nippori Sen-i Gai

Nippori Sen-i Gai dikenali sebagai bandar tekstil di Nippori di mana terdapat banyak kedai kain yang menjual pelbagai jenis fabrik. Kami mencadangkan agar anda tetapkan jenis kain yang anda mahukan kerana anda pasti akan rambang mata apabila berada di hadapan deretan kedai kain. Pelbagai variasi warna, jenis dan fungsi kain dijual di sini.

Kami sarankan untuk anda meluangkan lebih masa di sini untuk membuat perbandingan harga kain atau alatan jahit yang anda inginkan. Setiap kedai menawarkan harga yang berbeza walaupun untuk barangan yang sama. Jadi anda perlu bijak membuat pilihan dan cari kedai yang biasa mengadakan promosi.

Tomato Fabric adalah antara kedai kain yang sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dan penduduk tempatan. Selain terdapat pelbagai pilihan kain, kedai ini juga menawarkan fabrik dengan harga yang berpatutan. Kami syorkan anda untuk berkunjung ke sini jika ingin mendapatkan kain yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Kedai Kain Sekitar Nippori
Kedai Fabrik Tomato
  • Kuil Tennoji

Kuil Tennoji merupakan salah satu kuil yang tertua di kawasan Yanaka, Tokyo. Kuil ini merupakan kuil Tendai Buddha dan dibina pada tahun 1274. Ianya terletak di sempadan Perkuburan Yanaka dan menghadap Stesen Nippori. Sekarang kuil ini mempunya reka bentuk moden dan landskap yang mengagumkan. Untuk pengetahuan anda, ianya dibuka seawal jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Kuil Tennoji
  • Muzium Asakura Choso

Muzium ini merupakan tempat kediaman Asakura Fumio, iaitu seorang tokoh arca Jepun moden yang terkemuka. Muzium ini terdiri dari 3 tingkat bangunan yang direka pada tahun 1936. Reka bentuknya menggabungkan tema seni bina moden, kontemporari dan juga tradisional Jepun.

Batu-batu yang indah serta taman air yang terdapat di sini menjadi tumpuan utama para pelancong. Anda hanya perlu berjalan kaki sejauh 300m dari Stesen Nippori untuk sampai ke sini. Muzium ini dibuka dari jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Muzium Asakura Choso
  • Kuil Nezu

Kuil Nezu telah dibina pada tahun 1705 dan merupakan sebuah kuil Shinto yang terletak di Bunkyō, Tokyo. Untuk pengetahuan anda, ia terkenal dengan Festival Azalea yang diadakan dari awal April hingga awal Mei.

Di sini anda akan dapat melihat keindahan bunga Azalea di lereng bukit dari bulan Mac sehingga Mei. Jadi jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke sini jika anda melawat Nippori sepanjang tempoh tersebut. Jarak Kuil Nezu dari Stesen Nippori ialah sekitar 1.3km.

Kuil Nezu

AKSES

Stesen Nippori adalah hab kereta api utama utara barat Ueno dan stesen akses utama untuk melawat kawasan bersejarah Yanaka. Stesen ini merupakan persimpangan utama laluan JR dan Keisei, JR Yamanote, Joban Line dan Keihin-Tohoku Line. Laluan Utama Keisei untuk ke Ueno, Aoto, Funabashi, dan Lapangan Terbang Narita juga bersilang di Stesen Nippori. Laluan Keihin-Tohoku menghubungkan Nippori ke stesen Tokyo, Shinagawa, Kawasaki dan Yokohama.

  • Dari Tokyo ke Nippori: Anda boleh menaiki kereta api JR Yamanote ke Stesen Nippori selama 12 minit dengan kadar tambang sebanyak 160 yen.
  • Dari Akihabara ke Nippori: Anda boleh menaiki kereta api JR Yamanote dari Stesen Akihabara ke Stesen Nippori selama 12 minit dengan kadar tambang sekitar 160 yen.
  • Dari Lapangan Terbang Narita ke Nippori: Nippori adalah antara destinasi yang agak mudah untuk diakses dari Lapangan Terbang Narita. Dari lapangan terbang ini anda perlu menaiki kereta api Keisei Skyliner selama 36 minit dengan tambang sebanyak 2,470 yen.
Stesen Nippori

MAKANAN HALAL

  • Restoran Halal Sakura

Ia merupakan restoran Uyghur asli yang dibuka oleh pemilik dari Uyghur, dan memperoleh pensijilan halal dari Nippon Asia Halal Association (NAHA). Semua makanan dan ramuan di sini bebas dari alkohol dan daging babi. Restoran ini juga tidak menyediakan minuman beralkohol. Ianya terletak berdekatan Stesen Nippori dan Stesen JR Uguisudani.

Terdapat pelbagai pilihan makanan Jepun seperti ramen, yakiniku, Uyghur BBQ dan beberapa menu lain lagi di restoren ini. Restoran ini dibuka dari jam 11 pagi sehingga 11 malam. Menu daging lembu Jepun (Wagyu) juga terdapat di restoran ini dengan harga sekitar 2580 yen.

Restoran Halal Sakura

TEMPAT SOLAT

Bagi memudahkan anda untuk menunaikan solat, kami mencadangkan untuk anda menggunakan ruang solat yang disediakan oleh pihak Restoran Halal Sakura. Ruang solat di restoran ini terletak di tingkat 2.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://www.fun-japan.jp/my/articles/1540
  2. https://www.halalmedia.jp/archives/28373/halalsakura/
  3. https://www.gotokyo.org/en/spot/940/
  4. https://tokyocheapo.com/locations/central-tokyo/nippori/
,

Nikko

INFO DAN SEJARAH

Nikko merupakan sebuah bandar kecil yang berada di Wilayah Tochigi. Bandar ini terletak di pintu masuk Taman Negara Nikko yang terkenal dengan Kuil Toshogu. Kuil ini dihiasi dengan perhiasan mewah dan merupakan makam Tokugawa Ieyasu iaitu pengasa Shogun Tokugawa.

Taman Negara Nikko juga menawarkan pemandangan landskap yang menarik, tasik, air terjun, binatang liar serta laluan pendakian yang menarik. Nikko telah menjadi pusat ibadat Shinto dan Buddha selama beberapa abad sebelum terbinanya Toshogu pada tahun 1660-an. 

Kuil Nikko Toshogu siap dibina pada tahun 1617 dan menjadi tarikan utama pelancong untuk berkunjung ke sini pada zaman Edo. Tokoh Tapak Warisan Dunia Unesco telah terhasil dengan gabungan Nikko Toshogu, Kuil Futarasan dan juga Rinnoji. Nikko telah dinaik taraf kepada status Bandar apabila digabungkan dengan kampung Okorogawa pada tahun 1954.

Tiada banyak perbezaan cuaca di Nikko dengan cuaca di Utara Kepulauan Hokkaido walaupun kedudukan Nikko adalah hampir dengan Tokyo berbanding Hokkaido. Kebiasaanya suhu di Nikko adalah sekitar 7 °C dan semasa musim panas suhu akan meningkat kepada 22 °C. Suhu terendah yang tercatat di Nikko adalah sekitar -8 °C.

Tapak bersejarah dan pemandangan alam semulajadi yang indah serta resort peranginan air panas menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber eknomi kepada penduduk di Kota Nikko. Selain itu pengeluaran tenaga hidroelektrik, pemprosesan makanan, dan industri logam kekal menjadi komponen penting yang menyumbang kepada sumber ekonomi di Nikko.

APA YANG MENARIK

Nikko terkenal dengan spot menarik untuk anda melihat pemandangan musim luruh. Namun anda perlu tahu waktu puncak musim luruh untuk tempat yang bakal anda lawati bagi memastikan lawatan anda berbaloi. 

Warna musim luruh biasanya tiba di Okunikko pada sekitar awal Oktober, dan seterusnya di Tasik Chuzenji pada pertengahan Oktober. Pada akhir Oktober kawasan di sekitar Jalan Winding Irohazaka akan dipenuhi warna-warna musim luruh yang sangat cantik. Seterusnya pada awal November, bandar Nikko akan mula di kelilingi warna indah musim luruh.

Namun anda mungkin akan sedikit kecewa jika anda melawat bandar Nikko untuk melihat pemandangan musim luruh. Biasanya bandar Nikko tidak dipenuhi warna musim luruh kerana kawasan tersebut didominasi oleh pokok malar hijau. Tempat yang terbaik untuk anda menikmati pemandangan musim luruh di Nikko ialah di sekitar Okunikko. 

Musim Luruh Di Nikko

Bagi peminat sejarah, sudah pasti anda tidak akan menyesal berkunjung ke sini. Selain itu, di sini juga terdapat beberapa tempat menarik seperti Air Terjun Kinifuri dan tempat peranginan air panas. Di sini kami senaraikan beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi serta aktiviti yang dapat dilakukan sepanjang anda berada di Nikko.

  • Toshogu Shrine (Kuil Toshogu)

Toshogu Shrine ataupun Kuil Toshogu merupakan kuil yang didedikasikan kepada Leyasu Tokugawa yang merupakan pengasas Tokugawa Shogunate yang memerintah Jepun lebih daripada 250 tahun sehingga 1868. Bangunan kuil ini dihiasi dengan ukiran kayu serta dedaun emas. Seni bina kuil ini juga menekankan kesederhanaan dan mengekalkan ciri-ciri tradisional.

Muzium Nikko Toshogu yang terletak diluar kawasan kuil yang berbayar dibuka secara rasmi pada tahun 2015 bagi memperingati ulang tahun kematian Tokugawa Leyasu yang ke 500 tahun. Di dalam muzium ini dipamerkan koleksi peribadi yang digunakan oleh beliau seperti perisai, pedang serta perkakas dan surat yang ditulisnya.

Kuil Toshogu
  • Kuil Rinnoji

Kuil yang terpenting di Nikko adalah Kuil Rinnoji yang diasaskan oleh Shodo Shonin. Beliau merupakan rahib Buddha yang bertanggungjawab memperkenalkan agama Buddha di Kota Nikko pada abad ke-8. Bangunan utama kuil, Sanbutsudo, rumah besar, emas, patung kayu Amida, Senju-Kannon (“Kannon dengan seribu senjata”) dan Bato-Kannon (“Kannon dengan kepala kuda”).

Bersebelahan dengan Sanbutsudo terdapat rumah harta karun yang mempamerkan sejarah berkaitan dengan Tokugawa dan Buddha. Di kawasan belakang rumah ini terdapat taman yang ditanam dengan pokok maple yang banyak di tengah kolam. Taman ini sangat terkenal semasa musim luruh terutamanya semasa waktu puncak iaitu awal  bulan November.

Kuil Rinnoji
  • Kanmangafuchi Abyss

Kanmangafuchi Abyss dibentuk oleh letusan Gunung Nantai dan jurang ini berada di tengah Kota Nikko dan panjang jurang ini hanya beberatus meter. Pengunjung boleh menikmati pemandangan yang menakjubkan dengan berjalan kaki di laluan pejalan kaki yang terletak di tepi sungai.

Kanmangafuchi juga terkenal dengan barisan 70 arca batu Jizo yang terletak di sepanjang sisi bukit ini. Legenda mengatakan bahawa patung-patung itu berubah tempat dari semasa ke semasa.  Kedudukan patung-patung ini adalah menghadap ke arah sungai dan seberang ke Taman Botani Nikko tetapi Taman Botani Nikko tidak termasuk dalam jurang ini.

 Barisan Arca Batu Jizo 
  •  Taman Botani Nikko

Taman Botani Nikko dimiliki dan diselenggara oleh Universiti Tokyo dan secara tidak langsung taman ini telah menjadi cabang taman penyelidikan utama universiti. Taman ini dibuka pada tahun 1902 bertujuan untuk mengumpul dan mengkaji tumbuhan alphine. Taman ini agak luas dan anda akan merasai ketenangan yang mengasyikkan dengan adanya kepelbagaian tumbuhan hijau di sini. Anda juga dapat menikmati pemandangan Kanmangafuchi Abyss dari taman ini. 

Taman botani ini mempamerkan lebih daripada 1500 spesis tumbuh-tumbuhan yang berbeza. Selain daripada pelbagai jenis pokok alphine dan gunung, taman ini juga mempunyai pelbagai jenis pokok daripada seluruh negara yang boleh anda pelajari.

Taman Botani Nikko
  •   Air Terjun Kirifuri

Air Terjun Kirifuri dengan ketinggian 75 meter terletak di bawah Tanah Tinggi Kirifuri beberapa kilometer ke arah timur laut Kuil Nikko. Kirifuri bermaksud “jatuh kabus”. Ia merujuk kepada kabus halus yang tercipta apabila air terjun yang jatuh menghempas batu dibawah. Pemandangan ini kadang kala tidak dapat dilihat dengan jelas apabila kabus tebal menutupi lembah ini.

Suatu ketika dahulu, aktiviti pendakian ke dasar air terjun dapat dilakukan namun sekarang laluan pendakian telah ditutup kepada umum akibat keruntuhan beberapa tahun yang lepas. 

Anda masih boleh menikmati pemandangan air terjun yang mengujakan daripada dek pemerhatian kayu yang dibina diatas gunung diseberang lembah air terjun ini. Anda hanya perlu berjalan kaki 10 minit untuk sampai ke dek ini. Waktu yang paling sesuai untuk anda melihat keindahan musim luruh di sini ialah sekitar akhir bulan Oktober sehingga awal bulan November.

Air Terjun Kirifuri

Selain tempat-tempat yang kami nyatakan di atas, terdapat beberapa lagi tarikan di Nikko untuk anda lawati. Antaranya ialah Edo Wonderland Nikko Edomura, air terjun Yudaki dan Nikko Tamozawa Emperial Villa Memorial Park.

AKSES

Nikko terletak kira-kira 125 kilometer di Utara Tokyo dan dihubungkan dengan Tokyo melalui kereta api Tobu dan kereta api Jepun.

  • Melalui Kereta Api Tobu daripada Stesen Asakusa

Stesen Tobu Asakusa adalah untuk kereta api ke Nikko yang boleh diakses dengan kereta api bawah tanah (Ginza dan Asakusa Subway Lines). Pelancong boleh membuat pilihan antara kereta api ekspres terhad yang lebih cepat tetapi mahal atau kereta api ekspress dan tempatan yang lebih murah tetapi lebih perlahan.

Hanya satu atau dua kereta api ekspres terhad boleh didapati setiap jam antara stesen Asakusa dan Tobu-Nikko yang akan memakan masa 2 jam perjalanan dengan kos perjalanan kira-kira 2700 hingga 2800 yen sehala.

Sekiranya anda memilih untuh mengembara dengan menggunakan kereta api ekspres tempatan, perjalanan sehala hanyalah berharga 1360 yen. Masa yang diambil sekurang-kurangnya setengah jam lebih lama dan anda perlu melakukan pemindahan dari kereta api ke kereta api yang lain sebanyak tiga kali sebelum sampai ke destinasi. Laluan pas Jepun dan laluan JR yang lain tidak sah untuk kereta api Tobu ini.

Kereta Api
  • Melalui Kereta Api Terhad dari Stesen Shinjuku

Kereta api ekspres terhad yang dikendalikan oleh Japan Railway (JR) dan Kereta Api Tobu menghubungkan stesen kereta api Shinjuku dengan stesen Tobu Nikko. Perjalan sehala mengambil masa dua jam dengan kos perjalanan sebanyak 4000 yen. Oleh kerana kereta api antara Shinjuku dan Nikko sebahagiannya menggunakan trek kereta api Tobu, Japan Rail Pass tidak membiayai sepenuhnya kos perjalanan.

  • Melalui JR

Anda perlu mengambil Kereta Api Tohoku (dari Tokyo atau Stesen Ueno) ke Stesen Utsunomiya dan anda perlu menukar ke Kereta Api Nikko Line. Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 100 minit sahaja. Oleh kerana kos perjalanan yang tinggi kira-kira 5500 yen satu hala pilihan ini hanya sesuai untu pemegang pas JR sahaja.

  • Dari Lapangan Terbang Narita

Terdapat bas yang disediakan daripada Lapangan Terbang Narita dan Nikko yang mengambil masa kira-kira 3 jam setengah dengan kos sebanyak 4500 yen sehala.

Anda juga mempunyai pilihan lain dengan menaiki bas dari lapangan terbang ke Stesen Kereta Api Utsonomiya (kira-kira 3 jam perjalanan dengan kos 4000 yen dan berlepas setiap 60-90 minit). Seterusnya dari Kereta Api Nikko ke Nikko (45 minit masa perjalanan dengan kos perjalanan 760 yen dan berlepas dua kali setiap jam).

Lapangan Terbang Narita
  • Antara Gunma Prefecture dan Nikko

Sekiranya anda melancong ke sini pada bulan Mei hingga akhir Oktober, anda boleh menggabungkan dua destinasi atau memasuki/meninggalkan Nikko melalui Gunma Prefecture. Semua bas beroperasi sekurang-kurangnya di antara Yumoto Onsen di Okunikko dan Kamada di pintu masuk ke Oze.

Selain itu terdapat beberapa bas menghubungkan Chuzenji Onsen atau Stesen Nikko. Terdapat juga bas untuk ke Hatomachitoge di bahagian Oze. Perjalanan satu sama lain antara Yumoto Onsen dan Kamada mengambil masa satu jam dengan kos 1900 yen.

MAKANAN HALAL

Pelancong yang beragama islam tidak perlu risau untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana terdapat beberapa pilihan kedai makanan halal di Nikko.

  • Kafe Kamaya du Reverbere

Kafe ini sangat terkenal dikalangan pelancong dan juga penduduk tempatan dan terletak berdekatan dengan Stesen Nikko. Mereka menyajikan makanan halal dengan menggunakan bahan tempatan.

Selain itu, anda juga boleh menikmati gula-gula tanpa alkohol yang dibuat oleh tukang masak pastry. Jangan ketinggalan untuk merasai ais kepal dengan buah strawberi beku yang dicincang dari wilayah Tochigi.

Kafe Kamaya du Reverbere
  • Shizensaryo Meguri

Sekiranya anda menggemari sayuran organik tanpa bahan kimia,anda harus mengunjungi restoran ini. Restoran ini menyajikan makanan yang organik dan semuanya berasaskan sayuran tanpa bahan kimia. Bahan perasanya juga berasakan bahan tradisional dan semula jadi yang menjadikan hidangan yang disajikan sihat dan menyelerakan.

Shizensaryo Meguri
  • Heian

Heian terletak didalam Tobu World Square iaitu sebuah taman tema di Jepun dan menyajikan makanan halal. Makanan tempatan yang terkenal di sini adalah kulit tofu yang dimasak untuk tempura atau sashimi. Kulit tofu juga sedap dimakan bersama soba atau udon.

Heian Di Tobu World Square
  • MASUYA 

MASUYA merupakan restoren makanan Jepun yang menyediakan hidangan dari ikan segar yang di tangkap dari Tasik Chuzenji. Mereka menyajikan makanan tradisional dengan Yuba (kulit tauhu) yang terkenal di Nikko. Restoren ini terletak di hadapan Tasik Chuzenji.

Harga untuk satu hidangan makan tengah hari dan malam sekitar ialah sekitar 1500 yen. Anda boleh terus bersolat di sini kerana restoren ini menyediakan ruang solat bagi muslim.

Menu Hidangan Di MASUYA

TEMPAT SOLAT

Tempat solat juga menjadi keutamaan bagi pelancong muslim apabila melancong ke luar negara. Anda tidak perlu risau kerana di Nikko terdapat beberapa tempat yang menyediakan ruangan solat yang menjadi kemudahan kepada pelancong muslim.

Hotel Kinugawa Park ada menyediakan ruangan solat beserta tempat untuk mengambil wudhuk. Tempat solat untuk wanita dan lelaki juga diasingkan. Ruang solat di sini dibuka kepada umum.

Selain itu, Taman Tema Tobu (Tobu World Square) juga ada menyediakan ruang solat untuk pengunjung muslim. Selepas penat bermain dan bersuka ria anda boleh menunaikan solat disini. Dengan adanya kemudahan mengambil wudhu membuatkan anda dapat menunaikan solat dengan selesa disini.

Stesen Tobu Nikko juga ada menyediakan ruangan solat untuk wanita dan lelaki di tingkat 2 bangunan tersebut. Anda perlu ke pusat maklumat pelancong maklumkan kepada kakitangan terlebih dahulu untuk menggunakan ruang solat di sana. 

Stesen Tobu Nikko

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e3805.html
  2. http://www.tobujapantrip.com/en/features/muslim/
  3. https://www.halalinjapan.com/tochigi-halal-food-restaurants.html#nikko
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Nikk%C5%8D,_Tochigi
  5. https://tokyocheapo.com/travel/tokyo-to-nikko/
  6. https://wikitravel.org/en/Nikko
  7. https://matcha-jp.com/en/1342

,

Enoshima

INFO & SEJARAH

Apabila melancong ke Jepun, biasanya tempat yang sering menjadi tumpuan ialah banda-bandar besar dan tempat-tempat bersejarah. Mungkin ramai yang tidak tahu tentang kewujudan Pulau Enoshima namun tempat ini sangat terkenal dengan pemandangan pantai yang cantik dan pelbagai tarikan termasuk kuil, taman, gua dan menara pemerhatian. Pantai Enoshima merupakan pantai yang paling hampir dengan Tokyo dan sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Enoshima merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di muara Sungai Katase di Wilayah Kanagawa, Jepun. Ianya merupakan sebahagian daripada bandar utama Fujisawa dan dihubungkan dengan tanah besar melalui jambatan. Biasanya pelancong hanya berjalan kaki di sekitar pulau ini yang membolehkan mereka sampai ke kuil kuno, taman botani, muzium, taman serta menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.

Enoshima dibahagikan kepada pelabuhan kapal layar yang boleh diakses dengan kenderaan bermotor dan juga berjalan kaki serta basikal. Pulau ini dikelilingi oleh tebing laut tinggi dan ketulan batu. Jika anda melancong ke Tokyo dan ingin berehat dari kesibukan kota, Pulau Enoshima merupakan tempat yang wajib anda singgah terutama semasa musim panas.

Pelabuhan Kapal Layar

APA YANG MENARIK

Bagi peminat pantai dan pulau, sudah pasti tempat ini bakal meninggalkan memori yang indah dengan aktiviti-aktiviti pantai yang dapat dilakukan di sini. Namun jangan risau jika anda tidak menggemari aktiviti di dalam air kerana terdapat beberapa tempat menarik yang boleh anda lawati sepanjang meluangkan masa di Enoshima. Di sini kami senaraikan beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi serta aktiviti yang dapat dilakukan di sini.

  • Kuil Enoshima:

Di sini terdapat 3 kuil yang dinamakan Kuil Enoshima dan ketiga-tiga kuil tersebut dibina sempena mengingati dewi Benzaiten. Kuil-kuil ini dikenali sebagai Hetsumiya, Nakatsumiya dan Okutsumiya. Ketiga-tiga kuil ini terletak di tempat yang berasingan di sekitar Pulau Enoshima.

Menurut mitos Jepun, Benzaiten telah mencipta pulau tersebut dalam usaha untuk menghadapi pertempuran dengan naga laut yang banyak membawa masalah di pulau tersebut.  

Kuil Hetsumiya
Kuil Nakatsumiya
Kuil Okutsumiya

Dewi Benzaiten dikenali sebagai dewi cinta. Selain itu ia juga dikenali sebagai dewi kekayaan, sesetengah pengunjung akan mencuci wang mereka di kolam kuil tersebut. Kuil-kuil ini dibuka dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang setiap hari. Masuk adalah percuma kecuali jika anda ingin melihat patung Benzaiten, anda perlu membayar sebanyak 200yen.

  • Gua Iwaya:

Terdapat 2 buah gua di sepanjang tebing arah selatan pantai Enoshima. Gua yang pertama merupakan tempat terletaknya beberapa patung Buddha, manakala gua yang kedua pula didedikasikan kepada naga lagenda yang dikatakan telah mengganas di kawasan tersebut.

Anda boleh mengunjungi gua-gua tersebut dari jam 9 pagi sehingga 6 petang, kecuali pada musim tertentu contohnya dari pertengahan bulan Oktober sehingga Februari ianya ditutup seawal 4 petang. Bayaran masuk sebanyak 500yen akan dikenakan.

Gua Iwaya
Gua Iwaya
  • Aktiviti Pelayaran:

Enoshima yang terletak di Teluk Sagami ini merupakan tempat yang sangat sesuai untuk aktiviti pelayaran. Di sini terdapat pelabuhan kapal layar yang besar yang dibina sempena acara pelayaran Sukan Olimpik Tokyo 1964. Bagi anda yang meminati aktiviti ini, pastikan anda tidak terlepas peluang untuk mencubanya di Enoshima.

Aktiviti Pelayaran 
  • Taman Sameul Cocking

Di taman ini terletaknya sebuah menara pemerhatian dengan ketinggian 60 meter yang turut berfungsi sebagai rumah api yang dikenali sebagai ‘Sea Candle’. Ianya telah dibina di atas tapak bekas kediaman Samuel Cocking yang merupakan seorang pedagang Inggeris.

Sekiranya cuaca mengizinkan, anda akan dapat melihat pemandangan indah Gunung Fuji dari menara ini. Taman ini dibuka pada setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 8 malam. Bayaran masuk sebanyak 200yen dikenakan untuk taman dan 500yen untuk masuk ke taman dan menara pemerhatian.

Sea Candle
  • Akuarium Enoshima

Jika anda ingin melihat hidupan laut dengan lebih dekat, anda perlu berkunjung ke akuarium yang terdapat di seberang jambatan dari Enoshima. Sebahagian besar akuarium ini memaparkan hidupan akuatik yang terdapat di Teluk Sagami.

Selain itu, anda juga berpeluang untuk melihat pameran ikan lumba-lumba serta anjing laut. Akuarium ini dibuka dari jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari dengan bayaran masuk sebanyak 2100yen.

Akuarium Enoshima
  • Loceng Cinta

Jika anda berkunjung ke Enoshima bersama-sama pasangan anda, jangan lupa untuk singgah di atas bukit Enoshima. Selain dapat melihat pemandangan laut yang indah, anda juga boleh menulis nama anda dan pasangan pada kunci yang akan ditinggalkan pada pagar yang terdapat di sana. Biasanya pasangan yang datang ke sini turut membunyikan loceng bersama-sama yang membawa simbol cinta.

Loceng Cinta

AKSES

Enoshima terletak berdekatan dengan Kamakura dan Yokohama, kira-kira 75 minit dari bandar Tokyo dengan menaiki kereta api. Antara stesen kereta api yang terdekat ialah Shonan Enoshima, Enoshima dan Katase Enoshima.

  • Dari Tokyo menggunakan Odakyu Railways:

Dari stesen Shinjuku: Anda perlu menaiki kereta api laju untuk ke Stesen Fujisawa dan seterusnya menaiki kereta api tempatan untuk ke stesen terakhir iaitu Stesen Katase Enoshima. Perjalanan ini akan mengambil masa selama 65-75 minit dengan kos sebanyak 630yen.

Jika anda inginkan perjalanan yang lebih lancar dan mudah, anda boleh menaiki kereta api Romance Car dari Stesen Shinjuku terus ke Stesen Katase Enoshima. Perjalanan ini mengambil masa selama 60 minit dengan kos sebanyak 1250yen.

Romance Car
  • Dari Tokyo menggunakan Japan Railways (JR)

Dari Stesen Tokyo, anda perlu menaiki kereta api JR Tokaido Line untuk ke Stesen Fujisawa. Jika anda dari Stesen Shinjuku, anda perlu mnaiki JR Shonan-Shinjuku Line untuk ke stesen ini. Kedua-dua perjalanan mengambil masa selama 45-50 minit dengan tambang sebanyak 970yen. Seterusnya anda perlu menaiki kereta api Enoden (10 minit, 220yen) atau Odakyu (7 minit, 160yen) untuk ke Enoshima.

Anda boleh mendapatkan pas perjalanan Kamakura Enoshima dengan bayaran sebanyak 700yen yang menawarkan perjalanan tanpa had menggunakan Enoden dan Shonan Monorail. Selain itu, pas ini juga boleh digunakan untuk menaiki kereta api JR untuk ke Fujisawa, Ofuna dan Kamakura.

Anda tidak perlu risau tentang alat pengangkutan semasa berada di Pulau Enoshima kerana anda boleh berjalan kaki untuk ke sesuatu tempat kerana jarak antara satu tempat dengan tempat yang lain agak dekat. namun Bagi anda yang tidak mampu untuk mendaki bukit, anda tidak perlu risau kerana di sini juga disediakan eskalator berbayar iaitu Enoshima Escar. Tambang yang dikenanakan sebanyak 360yen.

Enoshima Escar

MAKANAN HALAL

Untuk mendapatkan makanan halal di Jepun pada masa sekarang tidaklah begitu sukar kerana semakin banyak restoren halal dan ‘muslim friendly’ yang dibuka di Jepun sesuai dengan pertambahan pelancong muslim ke negara ini.  

  • Enoshima Harumi Shokudo

Jika anda ingin mencuba makanan tempatan Shonan Enoshima yang asli, anda boleh nikmatinya di restoren ini yang terletak berdekatan Stesen Katase Enoshima. Pelbagai menu makanan tradisional Jepun disediakan di sini. 

Anda boleh mendapatkan makanan tengah hari di sini dengan harga bawah 1000yen. Untuk makan malam pula setiap menu hidangan berharga dari 1001yen-2000yen. Antara menu yang terdapat di sini ialah Enoshima Bowl, Asashio Don, Kaisen Ayami Don dan banyak lagi.

Antara Menu Yang Terdapat Di Restoren Ini
  • Beef House GYUS, Fujisawa

Restoren ini menyediakan wagyu (daging lembu) halal yang terkenal di Jepun dan telah mendapat sijil halal pada tahun 2017. Restoren ini menyediakan menu dalam bahasa Inggeris dan juga pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. 

Jadi anda tidak perlu risau jika anda tidak tahu membaca tulisan Jepun dan tidak dapat bertutur dalam bahasa Jepun. Anda hanya perlu berjalan kaki selama 5 minit dari Stesen Fujisawa untuk ke restoren ini.

Namun harus diingatkan anda perlu membuat tempahan lebih awal jika anda berhajat untuk mencuba wagyu di sini. Harga untuk set menu ialah antara 5,000yen-8,000yen.

Daging Wagyu

Untuk pengetahuan anda, terdapat pelbagai jenis gerai makanan di sekitar Enoshima yang menyediakan makanan laut serta makanan Jepun yang lain. Antaranya ialah Tobiccho yang menyediakan menu hidangan makanan laut segar dan Kaisaku yang menyediakan makanan laut panggang.

Selain itu, terdapat beberapa lagi gerai makanan yang terdapat di sekitar Enoshima antaranya ialah Nakamuraya Yōkanten, Asahi Honten, Inoue Sōhonpo dan banyak lagi.

Jika anda ingin mencuba makanan yang terdapat di gerai-gerai tersebut, anda disyorkan untuk memilih makanan laut dan bertanyakan kepada penjual gerai tentang isi kandungan sesuatu menu.

Gerai Makanan Di Enoshima

TEMPAT SOLAT

Tempat solat pasti menjadi keutamaan bagi pelancong muslim yang melancong ke luar negara khususnya. Hanya sesetengah tempat yang ada menyediakan ruang untuk solat bagi muslim. Di sini kami ingin kongsikan kepada anda tempat untuk menunaikan solat apabila mengunjungi Enoshima.

Anda boleh ke Pusat Pelancongan Bandar Fujisawa kerana di sini disediakan ruang untuk anda solat. Anda perlu bertanya kepada staf yang bertugas untuk menggunakan bilik tersebut. Namun harus diingatkan ruang tersebut mungkin tidak dapat digunakan untuk anda solat untuk masa tertentu kerana ianya mungkin digunakan untuk mesyuarat.

Selain solat di ruang yang dikhaskan, anda juga boleh solat di mana-mana tempat lapang yang bersih dan tidak mengganggu orang awam. Selain itu, anda juga boleh solat di kawasan parkir kereta atau mana-mana ruang dan sudut yang jarang dilalui oleh orang ramai. Anda hanya perlu membawa sejadah atau kain nipis untuk dijadikan alas semasa hendak solat.

Ruang Solat

RUJUKAN

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Enoshima
  2. https://www.odakyu.jp/english/sightseeing/enoshima_kamakura/
  3. https://www.japan-guide.com/e/e3117.html
  4. https://wikitravel.org/en/Enoshima
  5. https://tokyocheapo.com/lifestyle/enoshima-island-sandy-beachy-getaway-from-tokyo/
  6. http://www.youcojapan.com/restaurant/enoshima-harumi-shokudo/
  7. https://www.halalmedia.jp/id/archives/29575/recommended-place-go-visit-fushisawa-enoshima-can-eat-authentic-halal-wagyu-beef-beef-house-gyus/
,

Ikebukuro

INFO DAN SEJARAH

Selain melihat budaya Jepun dengan lebih dekat dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah di negara ini, anda pasti tidak mahu terlepas peluang untuk mengunjungi bandar-bandar besar yang sememangnya sering menjadi tumpuan utama. Selain Shinjuku dan Shibuya, Ikebukuro juga tersenarai sebagai sebuah bandar besar di Jepun.

Ikebukuro yang dikenali sebagai daerah hiburan dan komersial ini terletak di Toshima, Tokyo. Ikebukuro pada asalnya merupakan sebuah kampung kecil yang berkembang menjadi sebuah bandar yang dinamakan ‘Sugamo’.

Bandar ini dinamakan Ikebukuro yang bermaksud ‘Pond Bag’ atau ‘Beg Kolam’ kerana terdapat banyak kolam di sekitar kawasan tersebut. Stesen Ikebukuro, pejabat-pejabat daerah Toshima, restoren serta gedung-gedung besar terletak di kawasan bandar.

Stesen Ikebukuro merupakan stesen bagi kereta api biasa dan kereta api bawah tanah yang menjadi laluan kereta api termasuk Fukutoshin, Seibu, Tobu-Tojo dan Japan Railway (JR). Stesen ini mengendalikan lebih dari satu juta penumpang setiap hari dan mennjadikannya stesen kereta api kedua paling sibuk selepas stesen Shinjuku.

Apa yang menariknya di sini terdapat beberapa daerah yang berbeza iaitu daerah hiburan di sekitar Ikebukuro Nishiguchi, kemudahan kebudayaan dan kawasan pelajar di mana terletaknya universiti-univesiti.

APA YANG MENARIK

Di sini kami kongsikan beberapa tempat menarik yang wajib anda lawati di Ikebukuro. Pilihlah tempat yang sesuai dengan citarasa anda dan pastikan anda merancang perjalanan anda dengan baik sepanjang berada di sana bagi memastikan perjalanan anda berbaloi.

1. Sunshine City

Sunshine City merupakan bandaraya di dalam bandar yang pertama di Tokyo. Tarikan utama disini pastinya bangunan pencakar langit Sunshine 60 dengan ketinggian 240 meter. Terdapat pelbagai kedai, restoren, akuarium, muzium, planeterium, taman tema, pejabat dan juga Hotel Sunshine Prince.

Sunshine City
  • Sunshine 60 Observation Deck

Dek Pemerhatian Sky Circus terletak di tingkat atas bangunan pencakar langit Sunshine 60. Selain dapat melihat pemandangan sekitar bandar, terdapat juga  tarikan udara VR (realiti maya). Dengan hanya memakai peranti VR anda boleh meneroka dunia maya seperti ‘Tokyo Bullet Flight’ yang membawa anda meneroka ke masa depan di Tokyo.

Kami syorkan untuk anda mencubanya kerana ianya sangat menarik serta mendebarkan. Bayaran masuk ke dek pemerhatian ini ialah 1200yen sahaja. Ianya dibuka dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.

Pemandangan Yang Dapat Di Lihat Dari Dek Pemerhatian Sunshine 60
  • Bandar Namja

Bandar Namja merupakan taman tema dalaman oleh Namco iaitu pencipta Pacman dan permainan arked. Tempat ini telah diubah suai dengan memasukkan beberapa tarikan untuk menarik perhatian para pelancong. Selain itu, terdapat dua sudut makanan untuk gyoza dan pencuci mulut yang dibina bertemakan persekitaran bandar Showa.

Bandar Namja dibuka setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 10 malam. Bayaran masuk ke sini ialah sebanyak 500yen sahaja. Jika anda ingin masuk dan bermain permainan yang disediakan, anda perlu membayar sebanyak 3500yen.

Bandar Namja
  • J-World Tokyo

J-World Tokyo merupakan satu lagi taman tema dalaman yang dibina oleh Namco yang telah dibina pada Julai 2013. Ianya dibina bertemakan cerita serta karakter dari siri manga seperti One Piece dan Naruto. Peminat siri manga wajib datang bagi melihat sendiri keunikan dan tarikan di sini yang pasti sangat mengujakan. Bayaran masuk ke sini ialah sebanyak 800yen sahaja.

J-World Tokyo
  • Akuarium Sunshine

Akuarium ini terletak di tingkat 10 Gedung World Import Mart Building dalam kompleks bandar Sunshine. Pelbagai hidupan laut dipamerkan di sini termasuk anjing laut, ular, ikan pari dan banyak lagi. Anda juga berpeluang untuk melihat pertunjukan dari kuda laut yang terlatih.

Anak-anak anda pasti sangat teruja apabila berkunjung ke sini kerana dapat melihat dengan lebih dekat hidupan laut yang mungkin sebelum ini hanya dapat dilihat di dalam buku atau kaca televisyen sahaja. Tempat ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 9 malam.

Akuarium Sunshine

2. Jalan Otome

Jalan Otome merupakan kawasan dimana terdapat banyak kedai yang menjual barangan anime. Apa yang uniknya kedai-kedai di sini berbanding kedai barangan anime di kawasan lain ialah kerana ianya lebih fokus menjual barangan anime untuk wanita. Terdapat pelbagai jenis pakaian dan rambut palsu untuk tujuan cosplay.

Jika anda peminat tegar anime, di sinilah tempatnya untuk anda mencari barangan unik anime yang jarang ditemui di tempat lain. Kami sarankan untuk anda jadikan Jalan Otome sebagai destinasi terakhir anda di Ikebukuro kerana anda mungkin akan meluangkan lebih masa di sini untuk mencuba pelbagai cosplay dan mencari barangan anime yang anda minati.

Kedai Di Jalan Otome

3. Kedai Elektronik

  • Bic Camera

Bic Camera merupakan salah satu kedai elektronik yang terkenal di Jepun dan memiliki sebuah cawangan utama di sebelah timur stesen Ikeburuko. Selain itu, mereka juga mempunyai cawangan kedai di kedua-dua belah stesen tersebut. Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan elektronik di sini namun anda harus membaca spesifikasi produk yang ingin dibeli bagi memastikan ianya sesuai digunakan di Malaysia.

Bic Camera
  • Yamada Denki

Selain Bic Camera, anda juga boleh mendapatkan barangan elektronik di Yamada Denki di sebelah timur stesen Ikeburuko. Sama seperti Bic Camera, kedai ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

Yamada Denki

AKSES

  • Dari stesen Tokyo:

Anda perlu menaiki kereta api Marunouchi Subway Line selama 15 minit dengan tambang sekitar 200yen atau JR Yamanote Line selama 25 minit dengan kadar yang sama iaitu 200yen.

  • Dari stesen Shinjuku:

Anda boleh memilih untuk menaiki kereta api JR Yamanote, Saikyo atau Shonan Shinjuku Shinjuku Lines untuk ke stesen Ikebukuro. 

  • Dari lapangan terbang Narita:

Anda perlu menaiki kereta api berkelajuan tinggi Keisei Skyliner selama 39 minit untuk ke Nippori dan seterusnya menaiki kereta api JR Yamanote Line selama 13 minit untuk ke stesen Ikebukuro.

  • Dari lapangan terbang Haneda:

Dari sini anda perlu menaiki kereta api ekspres di Keikyu Airport Line selama 12 minit untuk ke stesen Shinagawa. Seterusnya anda perlu menaiki kereta api di JR Yamanote Line selama 28 minit untuk sampai di stesen Ikebukuro.

Kereta Api

MAKANAN HALAL

Apabila melancong ke negara yang majoriti penduduknya bukan muslim, mencari makanan halal pasti menjadi keutamaan bagi pelancong muslim. Namun anda tidak perlu risau kerana terdapat semakin banyak pilihan kedai makanan halal khususnya di Jepun seiring dengan pertambahan pelancong muslim di negara tersebut. Di Ikebukuro sahaja terdapat beberapa restoren yang menyediakan makanan halal khas untuk muslim.

Berikut kami kongsikan beberapa pilihan restoren yang menyediakan makanan halal di sekitar Ikebukuro:

  • Malaychan: Restoren ini terletak berdekatan dengan stesen Ikebukuro, anda hanya perlu berjalan kaki selama 5 minit untuk sampai di restoren ini. Malaychan menyediakan masakan khusus Asia Tenggara dan juga kari. Harga untuk hidangan di sini ialah sekitar 1,000yen hingga 1,300 untuk seorang.
Restoren Malaychan
  • Turkuaz: Restoren ini juga terletak berhampiran dengan stesen Ikebukuro, anda hanya perlu berjalan kaki selama 2 minit dari pintu keluar arah barat untuk sampai ke sini. Restoren ini menyajikan makanan khusus dari Turki iaitu kebab. Kami sarankan anda untuk makan di sini kerana harganya yang berpatutan selain hidangan yang menyelerakan.
Restoren Turkuaz
  • Marhaba: Sebuah restoren makanan Pakistan yang terletak kira-kira 7 minit berjalan kaki dari pintu keluar arah utara stesen Ikebukuro. Anda boleh makan tengah hari di sini dengan bayaran sekitar 1,000yen. Restoren ini sangat sesuai bagi anda yang ingin mencuba masakan asli Pakistan dengan harga yang berpatutan.
Restoren Marhaba
  • Sunshine Halal Mart & Nahar Kebab: Kedai makanan halal ini terletak kira-kira 5 minit berjalan kaki dari stesen Ikebukuro dan dibuka dari jam 11 pagi sehingga 1 pagi. Anda boleh mendapatkan kebab di tingkat bawah bangunan ini manakala tingkat 2 dan 3 khusus untuk bahan-bahan mentah halal seperti daging lembu dan ayam.  
Sunshine Halal Mart & Nahar Kebab
  • The Manhattan Fish Market: Restoren makanan barat ini terletak berhampiran stesen Ikebukuro. Semua menu yang disediakan di sini adalah halal jadi anda boleh memesan mana-mana menu yang sesuai dengan citarasa anda.
The Manhattan FISH MARKET

TEMPAT SOLAT

Terdapat beberapa tempat solat di sekitar Ikebukuro bagi memudahkan pelancong muslim untuk menunaikan solat. Di sini kami senaraikan tempat untuk solat bagi memudahkan perjalanan anda sepanjang berada di sana.

  • Musala Ikebukuro: Terdapat sebuah musala yang disediakan berhampiran stesen Ikebukuro. Anda hanya perlu berjalan kaki selama 2 minit untuk sampai ke sini.
  • Ruang solat di Manhattan Fish Market: Restoren ini menyediakan ruang solat bagi memudahkan pelanggan muslim untuk menunaikan kewajipan 5 waktu. Namun di sini mereka tidak mengasingkan tandas lelaki dan wanita jadi mungkin agak sukar bagi kaum wanita untuk berwudhu.
  • Bilik solat di Hotel Sunshine City Prince: Bilik solat ini dikhaskan hanya untuk pelanggan hotel tersebut sahaja. Ianya dibuka dari jam 4 pagi sampai 9 malam dan anda perlu maklumkan kepada petugas hotel sebelum menggunakan bilik tersebut. Di sini turut disediakan sejadah, tempat berwudhu, kompas dan arah kiblat.
Bilik solat di Hotel Sunshine City Prince

Jika anda kesuntukan masa untuk menuju ke destinasi yang kami senaraikan di atas, anda boleh solat di ruang terbuka seperti di taman atau tempat parkir kenderaan asalkan tidak mengganggu orang sekeliling.

RUJUKAN

  1. https://www.japan-guide.com/e/e3038.html
  2. https://tokyocheapo.com/entertainment/free-things-to-do-in-ikebukuro/
  3. http://jpninfo.com/36549
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Ikebukuro
  5. https://favy-jp.com/topics/974
  6. https://www.halalmedia.jp/archives/21878/halal-groceries-kebab-ikebukuro/2/
  7. https://www.halalmedia.jp/archives/1677/manhattan-fish-market-report/

Masjid Di Jepun